Menu

 

A+ A A-

TIADA SOLAT YANG TIDAK BERGUNA

SAYA mendengar sebuah hadis lebih kurang maksudnya: “Sesiapa yang solatnya tidak menegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar, maka ia tidak menambah melainkan semakin jauh daripada Allah.” Namun saya perhatikan ramai orang mengerjakan solat tetapi masih menipu dan menganiayai orang lain. Bolehkah kita katakan kepada mereka: “Janganlah kamu solat. Selama ini pun solat kamu itu tidak berguna!”?

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ankabut ayat 45, yang bermaksud: “...dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar...”

Maknanya, jika solat itu ditunaikan secara sempurna rukun, syarat dan khusyuknya, maka ia menguatkan iman kepada Allah s.w.t., diri menjadi takut melakukan maksiat kepada-Nya, dan akhlaknya menjadi baik. Namun jika sebaliknya, maka ia tidak memberi manfaat kepada orang yang mengerjakannya. Tidak kepada akidah dan akhlaknya. Setinggi mana kualiti solatnya, maka sebesar itulah pahala dan kesan solat yang diperolehnya.

Hal ini disebut dalam hadis Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibn Hibban bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik seseorang itu selesai mengerjakan solat, tidak dicatatkan baginya melainkan 1/10 daripada solatnya, 1/9, 1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3, atau 1/2.” Justeru kita hendaklah berusaha menunaikan solat dengan semua rukun serta syarat yang sempurna dan yang paling pentingnya ialah ikhlas dan khusyuk.

tiada-solat-yang-tidak-berguna-1

Status Hadis

Hadis yang dinyatakan dalam soalan itu ialah hadis mawquf (kata-kata yang diucapkan oleh sahabat) kepada Ibn Mas‘ud. Ia bukan hadis daripada Nabi s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya. Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tabarani dan Ibn Mardawaih dengan isnad (rantaian perawi) yang tidak kuat sepertimana yang disebut dalam takhrij al-‘Iraqi yang mentakhrij hadis-hadis yang ada dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din.

Maksud Sebenar Hadis

Hadis mawquf tersebut bukannya bermaksud kita tidak perlu lagi mendirikan solat jika solat yang dilakukan tidak boleh membaiki akhlak kita. Ia juga bukan bermaksud solat itu tidak sah. Kita juga tidak boleh menetapkan bahawa Allah s.w.t. tidak menerima solat itu. Soal penerimaan amalan itu diserahkan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Tanggungjawab kita ialah terus menunaikan solat sambil berusaha dan bermujahadah menyempurnakan solat sepanjang masa. Mana tahu Allah akan buka hati disebabkan usaha tanpa jemu itu. Tetap berhubung dengan Allah walau sekecil mana pun caranya, lebih baik daripada terputus terus daripada-Nya.

Nukilan asal oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqr (1914-2006)

Terjemahan oleh Ustaz Muhammad Ridwan bin Syahdan al-Azhari

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Last modified onTuesday, 28 June 2016 09:55
Syeikh ‘Atiyyah Saqar

Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr. Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.

Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca. Jawapan beliau terhadap soalan yang diajukan kepadanya adalah sangat kemas, disiplin dan berwibawa. Di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus adalah antara tokoh ilmuwan yang mengkagumi Syeikh Atiyyah Saqr, dan sering menyandarkan rujukan jawapannya kepada ulama besar ini.

Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.

Kembali ke atas