Menu

 

A+ A A-

SOAL RAMBUT DAN WUDUK

Rambut Tiruan Penghalang Wuduk

SAYA seorang perempuan berusia awal 20-an dan masih belum berkahwin. Saya ada masalah keguguran rambut yang sangat kritikal. Doktor menyarankan supaya saya menjalani rawatan menanam rambut. Bolehkah saya melakukannya? Bagaimana dengan wuduk saya nanti?

MUKADIMAH: Rawatan menanam rambut merupakan salah satu kaedah rawatan moden yang melibatkan pembedahan kecil pada kulit kepala untuk menanam rambut tiruan di kawasan yang kekurangan rambut.

RINGKASNYA: Diharuskan dengan bersyarat.

HURAIAN: Kebanyakan ulama daripada mazhab Hanafi dan Syafi‘I berpendapat perbuatan tersebut hukumnya harus dengan beberapa syarat seperti berikut:

1 Untuk tujuan perubatan sahaja.

2 Dilakukan oleh doktor yang pakar dalam bidang berkenaan.

3 Tiada sebarang niat untuk menipu orang lain.

4 Menutup aurat kepalanya setelah rawatan dilakukan.

5 Tidak memudaratkan.

6 Bulu yang digunakan bukan daripada bulu haiwan bernajis (seperti bangkai) dan bukan daripada rambut manusia lain baik lelaki mahupun wanita.

7 Bulu yang hendak digunakan itu juga mestilah daripada bulu haiwan yang suci dan telah disamak dengan sempurna sama ada dengan bahan-bahan pencuci tradisional atau moden.

Jika perbuatan tersebut tidak menepati salah satu daripada syarat-syarat di atas, maka hukum berbuat demikian adalah haram. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang melaknat golongan yang menyambungkan rambut orang lain dan golongan yang meminta agar rambutnya disambung. Larangan tersebut merangkumi kaum lelaki dan wanita. (Riwayat Ahmad)

Kesempurnaan Wuduk

Sesiapa yang menjalani rawatan tersebut mesti mengambil perhatian hal ini. Wuduk hanya dikira sah apabila dia menyapu air wuduk pada rambut yang berada bertepatan di bahagian kepala. Jika dia menyapu air pada rambut yang berada di luar kawasan tersebut seperti pada hujung rambut tiruannya yang panjang, maka wuduknya itu masih tidak sah (dia belum menyempurnakan rukun menyapu air pada rambut).

soal-rambut-dan-wuduk-1

Solekan Muka Penghalang Wuduk

Suami suka saya bersolek untuknya di rumah. Jadi boleh dikatakan sepanjang masa muka saya tebal dengan bahan solekan. Kadangkala saya rasa renyah terutamanya ketika hendak berwuduk. Saya difahamkan bahan solekan muka menghalang air daripada terkena kulit. Mohon nasihat ustaz.

Berhias untuk suami sangat digalakkan dalam Islam. Perkara ini telah pun dibincangkan oleh kebanyakan ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘I dan Hanbali. Mereka semua mengharuskan perbuatan tersebut selagi ia bertujuan untuk memikat hati dan kehendak suami. Walau bagaimanapun, puan juga perlu peka berhubung soal pembersihan muka daripada kesan alat solekan tersebut. Ini kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan wuduk puan tidak sah akibat bahan kimia yang menghalang air wuduk daripada membasahi muka. Sehubungan dengan itu, menjadi kewajipan ke atas puan untuk memiliki bahan-bahan pencuci yang mampu menghilangkan segala jenis kesan alat solekan di muka. Melalui cara ini, dua tanggungjawab puan akan terlaksana iaitu tanggungjawab dengan suami dan tanggungjawab dengan Allah s.w.t. Semoga hidup puan diberkati Allah selalu.

Pewarna Rambut dan Wuduk

Saya inginkan kepastian. Ada orang kata bahawa mewarnakan rambut dibenarkan dalam Islam? Jika ia dibenarkan bagaimana pula dengan wuduknya?

MUKADIMAH: Sebenarnya terdapat dua kaedah mewarnakan rambut. Pertama; mewarnakan rambut dengan bahan semula jadi seperti inai. Kedua; mewarnakan rambut dengan bahan pewarna buatan untuk warna-warna tertentu. Setiap daripada dua kaedah ini mempunyai hukum yang tersendiri.

PENJELASAN:

Pewarna Rambut Semula jadi

Mewarnakan rambut dengan bahan semula jadi seperti inai sehingga menyebabkan rambut seseorang itu berwarna keperangan diharuskan. Bahkan ia termasuk sunnah Nabi s.a.w. Namun begitu, bagi isteri yang ingin berbuat demikian disyaratkan meminta keizinan daripada suami mereka terlebih dahulu. Jika diizinkan, barulah mereka layak berbuat demikian. Jika sebaliknya, maka hukumnya tetap haram. Sah wuduk seseorang jika dengan rambutnya diwarnakan dengan inai. Ini kerana warna yang terdapat pada inai akan meresap masuk ke dalam rambut dan ia tidak akan menghalang air wuduk daripada terkena rambut.

Pewarna Rambut Buatan

Mewarnakan rambut dengan pewarna buatan yang mengandungi pelbagai bahan kimia menjadi perbahasan yang cukup hangat dalam kalangan ulama. Mereka berpendapat, sekiranya bahan pewarna tersebut tidak menghalang air daripada terkena atau membasahi rambut, maka hukumnya harus. Sebaliknya jika dipastikan bahawa bahan pewarna tersebut menghalang air daripada terkena rambut, maka haram memakainya. Ini kerana ia menyebabkan wuduk seseorang itu tidak sah.

TAMBAHAN: Walau bagaimanapun, setakat ini Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) tidak memberi sebarang pengesahan halal kepada produkproduk pewarna rambut buatan selain inai. Jika pengesahan halal diberikan, dikhuatiri trend mewarnakan rambut dengan pelbagai warna akan semakin berleluasa. Walhal ia subbudaya yang bercanggah dengan budaya orang Melayu dan Islam. Kita wajib mengelakkan diri daripada terjebak dengan perkara-perkara syubhah. Justeru dinasihatkan supaya tidak membeli sebarang produk kecantikan yang tidak mempunyai logo halal JAKIM. Bagi mereka yang berhasrat mewarnakan rambut, inai ialah pilihan terbaik.

Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5


Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.

Kembali ke atas