Menu

 

A+ A A-

ORANG ISLAM YANG ENGGAN BERZAKAT

ENGGAN BERZAKAT

APAKAH hukumnya seorang Muslim yang menunaikan solat, tetapi tidak mahu menunaikan zakat dan tidak suka hartanya dikenakan zakat? Bagaimana apabila dia mati, adakah perlu disolatkan jenazahnya?

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Sesiapa yang meninggalkannya secara sengaja dengan mengetahui kewajipannya, maka wajiblah kita mengingatkan dan menasihatinya agar segera bertaubat.

Sekiranya dia masih kekal dalam keadaan ingkar, maka dia dianggap telah kufur dengan perbuatannya itu. Jika hal ini berlaku, maka tidak harus kita menunaikan solat bagi jenazahnya dan tidak pula ditanam di tanah perkuburan orang Islam.

Tetapi, sekiranya dia meninggalkan kewajipan zakat kerana kebakhilan dan pada masa yang sama dia mengakui dan mengetahui kewajipan berzakat, dia dianggap melakukan maksiat yang besar dan dikira fasiq tetapi tidak jatuh kafir. Jenazahnya berhak dimandikan, disolatkan dan ditanam di perkuburan orang Islam sekiranya dia mati dalam keadaan tersebut. Urusan akhiratnya hanya dalam pengetahuan Allah Taala.

(Fatawaal-Lajnah al-Daimah, no. 6147)

ORANG YANG PATUT DIBERIKAN ZAKAT

Saya sering mengalami masalah untuk mengeluarkan zakat. Kepada siapakah boleh saya berikan zakat dan apakah kaedah terbaik untuk saya menunaikan zakat harta saya?

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya, zakat itu hanyalah untuk orang fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat, golongan mualaf yang dijinakkan hatinya (dengan Islam), hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan. Ia sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah. (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (surah Tawbah 9: 60)

enggan-berzakat-1

Skop agihan dan pemberian zakat berdasarkan panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Ia mempunyai lapan asnaf  zakat iaitu:
• Fakir
• Miskin,
• Amil (pemungut zakat),
• Muallaf,
• al-Gharimin (berhutang),
• al-Riqab (hamba) ibnu sabil, dan
• Fisabillah.

Asasnya, menunaikan ibadah zakat ini terdiri daripada dua konsep yang mesti dipenuhi: 1

1 Aspek qada’an (penunaian zakat mengikut perundangan).

2 Diyanatan (penunaian zakat mengikut ketetapan tanggungjawab beragama).

Sekiranya seseorang itu membayar zakat kepada pihak pemerintah menerusi baitulmal, para amil dan mereka yang diberi kuasa mengutip zakat, maka dia telah menyempurnakan kedua-dua aspek tersebut.

Tetapi, jika dia membayar terus secara langsung kepada asnaf zakat, maka dia telah menyempurnakan tanggungjawabnya dalam urusan agama, namun aspek tanggungjawabnya kepada pemerintah tidak dipenuhi. Zakatnya tetap sah, namun kesempurnaannya berlaku apabila dibayar secara bersistem kepada pemerintah.

Nasihat saya, jika mahu membayar terus kepada asnaf, hanya sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat kita salurkan terus. Selebihnya serahkan ia kepada pihak berwajib demi memelihara maslahat yang lebih umum dan menyeluruh terutama dari aspek agihan zakat.

enggan-berzakat-2

BERI ZAKAT KEPADA IBU BAPA MISKIN

Bolehkah saya memberikan zakat kepada keluarga terdekat? Contohnya ibu atau bapa saya yang miskin. Adakah saya boleh berzakat kepada mereka? Bagaimana pula dengan adik-beradik dan saudara terdekat yang lain?

Perkara yang sering menjadi persoalan khasnya dalam kalangan pembayar zakat adalah mengenai keharusan membayar zakat kepada keluarga terdekat terutama ibu bapa atau anak sendiri. Menurut fatwa oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz rhm., zakat tidak boleh dibayar atau diniatkan untuk diberikan kepada golongan berikut daripada kalangan ahli keluarga:

• Al-Usul: Terdiri daripada ayah, ibu, datuk, nenek dan ke atas sama ada lelaki atau perempuan sebagaimana dalam kategori ilmu faraid.

• Al-Furu‘: Terdiri daripada anak lelaki atau perempuan, cucu lelaki atau perempuan dan ke bawah sebagaimana dalam kategori ilmu faraid.

Suami kepada isteri

Mereka ini tidak boleh diberikan sesuatu pemberian dengan niat membayar zakat harta kerana mereka adalah dalam kategori yang wajib diberi nafkah. Justeru, jika diniatkan zakat, maka akan terbatal niat tersebut kerana yang wajib atas mereka ialah nafkah dan bukannya zakat walaupun termasuk dalam kategori asnaf yang berhak menerima zakat.

Tetapi, sekiranya asnaf itu terdiri daripada kalangan adik-beradik, bapa atau ibu saudara, sepupu, ipar-duai dan seumpamanya ataupun daripada seorang isteri kepada suami, maka mereka boleh menerima zakat daripada kita kerana bukan daripada kategori yang berhak diberi nafkah wajib.


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2

 


 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas