Menu

 

A+ A A-

YAKINI KUASA DOA DI BAITULLAH

SAYA teringat satu ketika, tatkala masih di bangku sekolah rendah. Dalam keheningan suasana malam penuh maghfirah pada bulan Ramadan, saya bersama ayah [kini arwah] menonton siaran langsung solat tarawih yang disiarkan lewat tengah malam di saluran televisyen ketika itu.

Tatkala sedang asyik mendengar kelunakan suara imam Masjidilharam mengalunkan bacaan al-Quran dalam solat tarawih itu, saya mengocak suasana dengan memulakan bicara: “Abah! Seronok tak pergi ke Makkah?” Lalu ayah saya menjawab: “Seronok, sampaikan sesiapa yang telah pergipun pasti rindu nak pergi sekali lagi.

Inilah berkat doa Nabi Allah Ibrahim a.s.” Saya menyambung: “Kalau saya nak pergi sana boleh tak Abah?” Jawab beliau: “Boleh, insya-Allah. Tapi Husni kena belajar rajin-rajin dari sekarang tambah niat nak pergi. Nanti Abah doakan suatu hari Husni boleh pergi...”

Alhamdulillah, akhirnya tanggal Ramadan 1419 Hijrah, sewaktu menuntut di Madinah al-Munawwarah, saya menjejakkan kaki buat pertama kalinya di bumi Makkah, ketika menunaikan umrah yang julung kalinya. Terima kasih arwah abah, atas doa yang tak kunjung putus. Semoga Allah Taala merahmatimu di alam barzakh sana.

Cerita itu tadi saya nukilkan untuk sama-sama kita renungi. Inilah yang dikatakan kehebatan doa dan kekuatan niat, lebih-lebih lagi doa untuk mengunjungi Kota Makkah. Walaupun doa itu dilafazkan jauh beribu batu, namun yakinilah bahawasanya Allah Taala tidak menghampakan doa tulus hamba-Nya, apatah lagi jika ingin ke Baitullah.

haramain3

 

Kepulangan yang Dinanti

Masih ingat pada bulan lalu, ramai dalam kalangan kita yang sedang berdebar-debar menanti kepulangan ahli keluarga yang menjadi tetamu Allah pada musim haji yang lalu. Ada yang sudah terlalu rindu, ada juga yang ingin tahu dan banyak juga ole-ole yang ditunggu-tunggu. Walau apa pun alasan dan sebab kita, namun kepulangan mereka tetap disambut meriah dengan iringan doa Hajjan Mabruran wa Sa’yan Masykuran wa Zanban Maghfuran (semoga memperoleh haji yang diterima, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni).

Namun begitu, hakikat haji yang telah dilaksanakan hanya mereka yang tahu. Apakah doa yang dipohon itu sampai menemui taufik Tuhan atau sebaliknya? Harapan kita tentulah tinggi dan hebat namun hakikatnya terserah kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Makkah Sebagai Sentral Doa

Apabila doa dianggap sebagai aktiviti ibadah yang utama, maka hampir setiap jenis ibadah kita punya kaitan rapat dengan doa. Solat kita merupakan doa, salam kita juga doa, zikir kita juga doa, al-Quran yang dibaca itu juga doa, sudah semestinya tempat terbaik dan terunggul untuk seseorang itu berdoa ialah tatkala berada face to face dengan Baitullah itu sendiri.

Tidaklah dinafikan apabila Makkah al-Mukarramah itu dilafazkan sebagai pusat untuk berdoa, atau kita istilahkan “sentral doa”. Ini bermaksud, terhimpun beberapa hot spot sebagai tempat yang afdal dan mustajab untuk berdoa. Bayangkanlah di dalam Masjidilharam sahaja terdapat beberapa tempat yang utama antaranya di Multazam (bahagian antara Hajar al-Aswad dan pintu Kaabah), Mizab (saluran air yang keluar dari bumbung Kaabah), Hijir Ismail, Maqam Ibrahim dan di bukit Safa dan Marwah.

Antara tempat yang sering diabaikan atau mungkin kurang popular dalam kalangan jemaah haji atau umrah dari Malaysia ialah Multazam, yakni kawasan di antara Hajar al-Aswad dan pintu Kaabah. Multazam adalah salah satu tempat yang diperkenankan doa dan sunat berdoa serta meletakkan pipi, dada dan lengan serta dua tapak tangan.

Amalan ini sering dilakukan oleh Abdullah bin ‘Amr r.a., salah seorang daripada sahabat Nabi s.a.w. Selepas melakukan tawaf di Kaabah, solat dan mengucup Hajar al-Aswad, beliau berdiri di antara Hajar al-Aswad dan pintu Kaabah dan meletakkandada, muka dan kedua-dua belah tangan dengan tapak tangannya di pintu Kaabah. “Demikianlah aku melihat rasulullah s.a.w. melakukannya,” katanya.

Senario yang dilihat ini seolah-olah orang yang sedang “bergayut” di pintu Kaabah. Hakikatnya bukan kepada pintu itu yang dipinta doa, tetapi semuanya ditujukan dan dipohonkan kepada Allah Yang esa. Antara lain, disebutkan juga di bawah Mizab (pancuran air Kaabah) sebagai kawasan mustajab doa. Perlu diingat, yang dituntut adalah berdoa dibawahnya, bukan disuruh untuk berebut-rebut minum air hujan yang turun darinya.

Begitu juga Hijir Ismail sebagai tempat mustajab doa dan menjadi salah satu tanda bahawasanya kawasan itu dahulunya sebahagian daripada binaan Kaabah. Oleh itu jika kita tawaf secara short cut, lalu masuk melaluinya dianggap tidak sah tawaf tersebut. Pada masa tidak melakukan tawaf, disunatkan untuk kita masuk ke dalam kawasan itudan mendirikan solat sunat serta membanyakkan berdoa.

Antara Kita dan Doa

Apabila seorang hamba berbicara dengan Tuhannya menerusi doa, segala harapan, pengaduan, rintihan, kemusykilan dan puji-pujian terkandung dalam tempoh yang cukup bermakna itu. Inilah tanda seorang hamba yang benar-benar rasa bertuhan dalam hidupnya. Bukti seseorang itu tidak sombong dengan Allah adalah ketika dia menzahirkan doa tulusnya kepada Allah.

Seperkara yang menjadi kelemahan umat Islam hari ini adalah malasnya untuk berdoa. Di Tanah Suci pun kita berasa berat untuk beriktikaf sambil memperbanyakkan berdoa, tetapi agak “ringan” pula untuk berjalan-jalan sambil memohon diskaun di sekitar deretan kedai dan kawasan perniagaan di sekitar Kota Makkah. Kalau pun berdoa, ada yang seolah-olah berasa rimas untuk berada lama di atas sejadah dan ingin segera bingkas bangun.

hot spot

Akhirnya doa yang kita pohon terlalu ringkas bunyinya seperti: “Ya Allah! Hari ini doaku sama seperti yang lepas-lepas. Macam biasa! Amin.” Subhanallah! Walaupun Allah itu Maha Mengetahui yang zahir dan yang batin, tetapi janganlah sampai doa kita persis memesan sarapan pagi di kedai mamak bunyinya!

          Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.4


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas