Menu

 

A+ A A-

SOLAT SUNAT HAJAT BOLEH BERJEMAAH?

BAGI menghuraikan masalah ini, saya merujuk pada penjelasan pengarang al-Majmu‘ (jil. 3.hlm. 449) mengenai solat-solat sunat. Beliau berkata: “Al-Ashab berkata: ‘Solat sunat itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

1. Yang disunatkan untuk  ditunaikan secara berjemaah:

Solat dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha). Solat gerhana (gerhana matahari atau gerhana bulan). Solat minta hujan. Solat Tarawih (mengikut pendapat yang lebih sahih. Menurut pendapat kedua, ianya sunat ditunaikan secara bersendirian (seperti sunat Rawatib).

2. Yang tidak disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah:

Iaitu Solat-solat sunat selain daripada solat sunat yang empat di atas. Walaubagaimanapun  jika ditunaikan secara berjemaah sah hukumnya.

Dalam juzuk yang sama, di halaman 548 pula, Imam al-Nawawi menambah lagi: “...adapun solat-solat sunat yang lain seperti sunat Rawatib, sunat Duha dan sunat Mutlak, maka tidak disyariatkan atau tidak mustahab ditunaikan secara berjemaah, tetapi jika dikerjakan secara berjemaah harus hukumnya, dan tidak dikatakan makruh.” Begitu juga yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i rhm. Dalam kitab Mukhtasar al-Buwaiti dan Al-Rabi‘  bahawa tidak mengapa dikerjakan secara berjemaah solat nafilah sunat).

solat sunat berjemaah

Dalil-dalil yang berpandangan solat sunat boleh dibuat secara berjemaah

Dalil yang membuktikan keharusannya itu ialah himpunan hadis yang banyak terdapat alam kitab-kitab sahih. Antaranya ialah hadis-hadis berikut:

Hadis pertama: Daripada Itban bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah datang ke rumahnya bersama Abu Bakar semasa cuaca panas terik. Maka Nabi Muhammad s.a.w. meminta izin  masuk, lalu Itban izinkan. Baginda tidak duduk sehingga Baginda bertanya, “Di mana tempat yang kamu suka aku solat di rumah kamu?” Maka ia mengisyaratkan kepada Baginda tempat yang ia suka untuk Baginda solat. Maka Baginda pun berdiri dan kami berbaris di belakang Baginda. Kemudian Baginda s.a.w. memberi salam dan kami memberi salam selepas Baginda memberi salam (selesai solat). Sumber: Terjemahan Sahih al-Bukhari, Jabatan Perdana Menteri (jil. 2 hlm. 320)

Hadis kedua: Daripada Ibn Abbas r.huma. katanya:
“Pada suatu malam, aku telah solat mengikut Nabi s.a.w. dengan berdiri di sebelah kiri Baginda. Maka (apabila Baginda mendapati aku melakukan yang sedemikian) lantas Baginda mengambil atau memegang tanganku atau lenganku (dan seterusnya menarikku) di sebelah kanan Baginda dan berkata (mendapatkan aku) dengan tangan Baginda dari belakangku (menarikku melalui belakang Baginda). (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Hadis ketiga: Daripada Anas bin Malik, bahawa neneknya Mulaikah menjemput Baginda s.a.w. untuk jamuan makan yang dibuat khas untuk Baginda. Baginda pun makan sebahagian daripada makanan itu dan selepas itu Baginda bersabda: “Berdirilah kamu semua supaya aku mengimami solat kamu. Anas berkata: ‘Aku pun bangun menuju ke arah sehelai tikar yang disediakan untuk kami.

Tikar itu kelihatan kehitam-hitaman kerana sudah lama tidak digunakan. Aku pun merenjiskannya dengan air lalu Rasulullah s.a.w. pun berdiri dan aku pun berbaris bersama anak yatim di belakang Baginda, dan orang tua itu (Mulaikah) berdiri di belakang kami. Rasulullah s.a.w. solat dua rakaat menjadi imam kepada kami. Setelah selesai solat, Baginda pun beredar.’” Sumber: Terjemahan Sahih al-Bukhari (jil. 2 hlm. 28)

Hadis keempat: Daripada Huzaifah r.a. beliau berkata: “Aku pernah solat bersama Rasulullah s.a.w. pada suatu malam, lalu Baginda memulainya dengan surah al-Baqarah. Aku menduga Baginda akan rukuk ketika sampai ayat ke-100, tetapi tidak, bahkan Baginda meneruskan bacaan. Aku menduga lagi iaitu kemungkinan Baginda membahagi dua surah al-Baqarah itu (separuh pada rakaat pertama dan separuh lagi pada rakaat kedua) tetapi tidak, bahkan Baginda meneruskan bacaan. Lantas aku menyangka Baginda akan rukuk setelah selesai membaca surah al-Baqarah, tetapi tidak, bahkan Baginda terus menyambung surah an-Nisa’ dan terus membacanya hingga akhirnya dan menyambung surah Ali Imran.

Rasulullah membacanya secara bersahaja (tidak cepat dan tidak lambat). Apabila membaca ayat yang ada tasbih, Baginda bertasbih, dan apabila membaca ayat yang ada permintaan, Baginda meminta, dan apabila membaca ayat yang ada meminta perlindungan Baginda meminta perlindungan. Kemudian Baginda rukuk, dan ketika rukuk, Baginda membaca “ "سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ kadar lama rukuk Rasulullah s.a.w adalah seperti lama masa Baginda berdiri. Selepas itu, Baginda membaca “ " سَمِعَ اللّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ kemudian baginda berdiri lama sedikit, hamper-hampir sama dengan masa baginda rukuk. Kemudian baginda sujud dan membaca “ " سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأ عْلَى وَبِحَمْدِهِ . kadar lama sujud baginda hampir-hampir sama dengan baginda berdiri. (riwayat Muslim, Ahmad dan al-Nasa’i)

Kesimpulan yang boleh dibuat daripada dalil-dalil tersebut

Daripada apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi rhm. tadi, dapat kita ambil  kesimpulan secara mantik (lojik) seperti berikut: Semua solat sunat (daripada kumpulan kedua iaitu yang tidak disunatkan ditunaikan secara berjemaah) itu, harus ditunaikan secara berjemaah.
Solat sunat hajat adalah salah satu daripada solat-solat sunat yang tidak disunatkan ditunaikan secara berjemaah. Namun solat sunat hajat harus ditunaikan secara berjemaah.

Ustaz Mohammad Haidzir bin Husain
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.1


Ustaz Mohammad Haidzir bin Husain

Lulusan Universiti al-Azhar Mesir. Antara guru beliau adalah Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir), Syeikh Muhammad Nuruddin bin Abdullah Marbu al-Makki al-Banjari, Sohibus Samahah Dato’ Hj. M. Tahrir b. Dato’ Hj. Samsudin (Mufti Negeri Johor) dan lain-lain. Beliau telah mentahqiq beberapa kitab turath seperti Sabilul Muhtadin dan telah mengarang beberapa buku, antaranya Ensiklopedia Imam dan Makmum.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas