Menu

 

A+ A A-

PERSONALITI TAUHID

SETIAP manusia dilahirkan unik. Islam mengiktiraf keunikan itu. Hakikat ini membuktikan keadilan dan keagungan Allah. Dalam erti kata lain, keunikan itu hakikatnya adalah keistimewaan yang dikurniakan kepada setiap manusia. ertinya, setiap manusia istimewa.

Tidak ada manusia yang sama–sama ada dari segi luaran atau dalaman sekalipun kepada pasangan adik-beradik yang dilahirkan dalam keadaan kembar siam. Sebab itu pakar-pakar kaji manusia kekadang cenderung mengatakan, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Yang ada hanyalah manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Dengan keistimewaan masing-masing itulah setiap manusia mempunyai “personal mission” dalam hidupnya, yang tidak mungkin digantikan atau diambil alih oleh manusia lain. Setiap seorang manusia ialah “pelengkap” kepada kesempurnaan dunia semasa hayatnya.

Manusia dibekalkan segala sumber oleh Allah untuk melaksanakan misi itu. Sumber itu sama ada yang bersifat “maknawi” (hati, akal, emosi dan nafsu), mahupun sumber yang bersifat lahiriah – pancaindera, hasil bumi, tumbuhan, haiwan dan alam ini. Justeru, setiap kita mempunyai bakat, kecenderungan, latar belakang dan sejarah hidup yang berbeza. Semuanya mempunyai maksud tersendiri atas tujuan-tujuan yang tersendiri juga. Islam ialah agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang unik itu. Setiap keunikan yang dikurniakan Allah, perlu disyukuri dalam erti kata “menggunakan kurniaan itu selaras dengan tujuan ia dikurniakan.” ertinya, setiap bakat, kecenderungan dan keistimewaan itu perlu dikembangkan ke tahap yang paling optimum.

Islam tidak menyekat, bahkan mendorong ke arah pengembangan bakat seseorang. sungguhpun begitu, Islam menunjukkan cara bagaimana seseorang individu boleh mengembangkan potensinya dan cara menggunakan kelebihan itu untuk memberi manfaat kepada dirinya, orang lain dan juga alam semesta. Apabila seseorang menerima Islam sebagai satu “acuan” untuk membentuk personaliti, peribadi atau karektornya, secara automatik terbentuklah sifat-sifat mukmin sejati. Yakni, peribadi yang berbeza daripada individu-individu yang tidak dibentuk oleh Islam dalam erti kata sebenar. Firman Allah yang bermaksud: “Celupan Allah, dan siapakah yang terbaik baik celupannya selain celupan Allah.”

Perbezaan ini menjadi ketara bukan sahaja dari segi keyakinan, cara berfi kir, menilai tetapi juga bertindak. Akhirnya, satu bentuk kehidupan akan tercorak secara automatik. Inilah yang dikatakan sebagai satu cara hidup Islam. Keunikannya akan terserlah dalam seluruh bidang kehidupan – ekonomi, sosial, pendidikan, budaya, hiburan dan lain-lain.

Pembentukan Personaliti Islam

Dalam tulisan ini, saya ingin menarik perhatian kepada soal teras dan asas dalam pembentukan cara hidup Islam yang begitu luas dan sempurna. Pembentukan masyarakat bermula dengan pembentukan keluarga. Dan pembentukan keluarga bermula dengan pembentukan diri. Oleh itu, nucleus bagi menggerakkan segala-galanya haruslah bermula dengan pembentukan peribadi. Justeru, ditegaskan bahawa sekiranya kita ingin menegakkan Islam tidak kira apapun bentuk, moto, slogan dan imejnya mestilah bermula daripada dalam diri, yakni dengan pembentukan personality Islam.

Personaliti ditakrifkan sebagai satu set tingkah laku yang unik tetapi stabil, yang membezakan seorang dengan seorang yang lain. Set tingkah laku bermaksud himpunan kelakuan. Stabil, maksudnya berterusan, konsisten, tidak berubah-ubah, pada semua tempat dan masa. Hingga dengan itu set tingkah laku itu menjadi identiti kepada individu tersebut. Oleh sebab personaliti terbentuk daripada set tingkah laku, maka untuk membentuk personaliti, kita perlu terlebih dahulu tahu bagaimana tingkah laku terbentuk.

Mengikut kajian psikologi, mekanisme perlakuan manusia boleh diumpamakan sebagai iceberg. Kelakuan yang kelihatan secara zahir hanya merupakan 10% sahaja daripada keseluruhan mekanisme itu. Baki 90% lagi adalah di bawah (tidak kelihatan). Bahagian yang tidak kelihatan itu menganungi elemen-elemen yang lebih fundamental – seperti soal keyakinan (belief), worldview atau mindset (pandangan alam), sistem nilai dan attitiude (sikap). Justeru, untuk membentuk kelakuan, maka elemen-elemen itu terlebih dahulu mesti ditangani. Prinsip asas yang perlu difahami ialah manusia bertindak “dari dalam ke luar” bukan sebaliknya. Oleh itu untuk membentuk lahiriah manusia, mesti bermula dari pembentukan elemen-elemen dalaman itu.

Dalam Islam, soal keyakinan ini merujuk terus kepada keimanan, yakni wajib meyakini Allah sebagai Tuhan dan dia sebagai hamba Allah. Keimanan juga merujuk kepada rukun-rukun iman yang lain seperti percaya kepada malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul dan hari Kiamat. Percaya dan yakin adalah dua perkara yang berbeza. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya dalam surah al- Nisa’ ayat 136: “Wahai orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya, dan kepada al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad s.a.w.) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu.

Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasul-Nya serta hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.” Dalam ayat ini Allah menyeru orang yang beriman supaya sekali lagi beriman iaitu tetapkanlah iman, membaharui iman, teguhkan iman dan lain-lain yang meliputi makna yang sama. Ini menunjukkan iman tahap “percaya” perlu ditingkatkan ke tahap “yakin”. Allah s.w.t. menjelaskan lagi hakikat ini dalam surah al-Hujurat ayat 14, yang bermaksud: “Golongan Arab itu berkata: ‘Kami telah beriman!’ Katakanlah (Wahai Muhammad), bahawa kamu belum beriman (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja, ‘Kami telah Islam’.”

personaliti tauhid1

Antara Percaya dan Yakin

Ya, sebenarnya perbezaan Iman dan Islam adalah merujuk kepada perbezaan antara percaya dan yakin. Para ulama Usuluddin menghuraikan hal ini dengan menggunakan kaedah: “Apabila istilah-istilah seperti Islam dan iman ini berkumpul setempat, maka maknanya terpisah, dan apabila dua kalimah itu terpisah maka maknanya terkumpul (menjadi dua perkataan dengan makna yang sama).” Justeru, percaya hanya berdasarkan fikiran yang bertapak di akal. Sesiapa yang “percaya”, maka imannya sah, tetapi iman itu tidak mantap.

Manakala keyakinan pula adalah berdasarkan penghayatan yang bertapak di hati. Ia lebih mantap dan berpengaruh pada diri seseorang. Kekuatan sistem keyakinan di dalam Islam terletak kepada kesimpulan iman iaitu: “Beriman dengan perkara-perkara yang Ghaib.” (Surah al-Baqarah 2: 3) Ghaib bukan bermaksud tidak kelihatan semata-mata. Ia bermaksud di luar jangkauan pancaindera manusia. Kemampuan seorang Muslim membina keyakinan terhadap hakikat sesuatu yang tidak tersentuh oleh pancaindera tetapi terbukti oleh hujah aqli dan wahyu menjadikan jiwanya mantap, teguh dan konsisten.

Hal ini berbeza dengan sistem membina kepercayaan dengan hanya berbekalkan sentuhan pancaindera seperti “mindsetting” golongan Yahudi yang telah berkata:

“Kami tidak akan sekali-kali beriman sehinggalah kami dapat melihat Allah dengan mata kami ini.” (Al-Baqarah: 55) Keyakinan yang mantap membentuk pandangan alam (mind-set) yang tepat. Inilah yang dinamakan “tauhidic mindset” — pandangan alam (worldview) berasaskan tauhid. Dengannya, seseorang melihat, menilai dan merasai segala-galanya dengan kesedaran adanya Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dia tidak akan merujuk pandangannya hanya kepada hati, akal dan emosi semata-mata tetapi hati, akal dan emosi itu akan dirujuk kepada Tuhan yang menciptanya.

Tauhidic mind-set” ini seterusnya akan membentuk sistem nilai berasaskan wahyu. Nilai ialah kepercayaan tentang apa yang betul dalam hidup. Persoalan ini menjadi topik utama diskusi ahli falsafah seperti Plato iaitu apakah yang menentukan satu-satu perbuatan ini bernilai, baik atau buruk serta apakah yang menentukan satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Golongan “consequentialist” beranggapan bahawa penentuan baik buruk adalah merujuk kepada natijah perbuatan tersebut. Jika ia menatijahkan kesenangan (kepuasan minat, kemahuan, kehendak dan keperluan) maka ia dianggap betul dan baik. Jika natijahnya adalah penderitaan (kekecewaan minat, kemahuan, kehendak dan keperluan) maka ia dianggap tidak baik, tidak bernilai dan salah. Oleh itu menurut golongan ini, manusia yang berjaya mengimbangi antara kesenangan dan kekecewaan itu tadi, ialah manusia yang mendukung nilai-nilai yang baik, bernilai dan benar.

Falsafah ini menafikan “nilai” yang wujud pada wasilah atau proses dan hanya mementingkan output semata-mata. Ia ialah konsep yang menekan manusia dan memudahkan manusia terjerumus ke lembah putus asa dan hidup secara pragmatic yang melampaui batas. Justeru, sistem nilai dalam Islam adalah lebih tepat, jelas dan kekal berbanding sistem nilai yang lain kerana ia berasaskan wahyu. sistem nilai dalam Islam berpandukan kepada apa yang Allah tentukan sama ada dalam bentuk suruh atau larang, suka atau benci.

Ini juga disebut pahala atau dosa, makruf atau mungkar, mahmudah atau mazmumah, halal atau haram. Inilah term of reference dalam hidup seorang Muslim. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 59, yang bermaksud: “Dan sekiranya kamu berselisih pendapat dalam apa-apa perkara, maka rujuklah kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman dengan Allah dan hari Akhirat.

Demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok kesudahannya.” Apabila elemen dalaman menghayati sistem nilai, ia akan membentuk tenaga penggerak dalam jiwa atau perasaan dalaman yang menjurus kepada lahirkan sesuatu perlakuan. Inilah yang diistilahkan sebagai sikap. Dan perlakuan yang dilakukan secara berterusan dan berulang-ulang itulah yang akhirnya akan menjadi personaliti. Keseluruhan ajaran Islam adalah untuk membentuk perilaku manusia yang baik. sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Aku diutus untuk memperbaiki akhlak manusia.”

Definisi akhlak menurut Imam al-Ghazali ialah, perlakuan baik yang selaras dengan syariat, dihasilkan dengan mudah tanpa pertimbangan fikiran lagi. Maksudnya perlakuan baik itu dihasilkan secara “auto-pilot” yakni secara automatik tanpa perlu “diakalakalkan” lagi, justeru sudah sangat serasi dan sebati dengan diri. Jika dilihat secara terperinci jelas sekali perkaitan di antara sikap, kelakuan, personaliti dan akhlak. Sikap melahirkan kelakuan. Kelakuan yang dilazimi secara berterusan akan membentuk personaliti.

Personaliti itu pula ialah sebahagian daripada akhlak. Inilah hujung akhir atau tujuan beragama. sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Mukmin yang terbaik, ialah Mukmin yang baik pekertinya.” secara ringkas, bagaimana Islam membentuk personaliti adalah bermula dengan persoalan bagaimana Islam membentuk kelakuan. Hubung kait itu boleh dilihat secara mudah: Bermula dengan pembentukan sistem keyakinan (belief system), worldview (pandangan alam), sistem nilai (value system) dan sikap.

Dalam ajaran Islam, Rukun Iman ialah pembentuk sistem keyakinan, pandangan alam, sistem nilai dan sikap. Manakala, Rukun Islam pula adalah set amalan (latihan yang sistematik dan rutin) yang perlu dilazimi dengan penuh penghayatan bagi melahirkan kelakuan yang baik. Kelakuan baik yang dilahirkan secara berterusan, mudah dan berkekalan hasil penghayatan Rukun Iman dan pengamalan Rukun Islam inilah yang membentuk personaliti Islam (akhlak Islamiah). Personaliti ini khusus bagi umat Islam yang membezakannya daripada orang bukan Islam.

Secara menyeluruh kaedah membentuk personaliti secara Islam adalah seperti berikut: Rukun Iman sebagai input, Rukun Islam sebagai proses dan Ihsan sebagai output. Ihsan itu hasil akhir yang boleh dibahagikan kepada tiga – takwa (hubungan manusia dengan Allah), akhlak (hubungan manusia sesama manusia) dan itqan (hubungan manusia dengan pekerjaan). Inilah sebenarnya inti pati ajaran Islam yang dirumuskan dalam hadis yang dikenali juga dengan nama hadis Jibrail yakni apabila Rasulullah s.a.w. ditanya dan diperjelaskan satu persatu tentang Islam, Iman dan Ihsan oleh malaikat Jibrail.

Iceberg (Bongkah Ais) Kelakuan Manusia

Pembentukan kelakuan manusia bermula dari dalam. Sistem keyakinan (iman) akan membentuk pandangan hidup, yang kemudiannya membentuk nilai seseorang (apa yang dirasainya benar, baik dan betul). Nilai ini kemudiannya membentuk sikap. Sikap itulah yang melahirkan kelakuan. Kelakuan yang dilazimi akan melahirkan karektor. Karektor yang sinonim dengan peribadi seseorang itulah yang membentuk personaliti!  

 

personaliti tauhid2        

Pahrol Mohd Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

_________________________________________________________________

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas