Menu

 

A+ A A-

ISTINJAK DENGAN TISU

Kalimat Bahasa Arab

Setahu saya perkataan istinjak itu ialah kalimat bahasa Arab. Boleh ustaz jelaskan apa maksud istinjak dan hukum istinjak bagi seseorang Muslim?

Jawapan : Maksud istinjak ialah menghilangkan najis daripada tempat keluarnya iaitu qubul atau dubur.

Hukum istinjak adalah wajib kerana seorang Muslim yang ingin mengerjakan ibadah hendaklah memastikan tubuh badannya suci daripada najis. Tubuh badan yang masih berbaki najis padanya masih terhalang untuk melakukan ibadah sehinggalah ia dibersihkan terlebih dahulu. Istinja boleh dilakukan dengan air dan batu. Nabi bersabda, “Apabila salah seorang daripada kalangan kamu membuang air besar, maka bawalah tiga ketul batu bersamanya agar dia bersuci dengannya. Sesungguhnya ia sudah memadai untuk membersihkannya.”

Alat Beristinjak

Adakah beristinjak hanya boleh menggunakan air dan batu? Apakah bahan yang dilarang menggunakan untuk beristinjak? Mohon penjelasan.

Jawapan: Alat utama yang digunakan ialah air mutlak. Selain itu, bahan yang pejal dan kasar turut boleh digunakan seperti batu, daun, dan sebagainya dengan syarat ia dapat menghilangkan najis. Adapun bahan-bahan yang tidak boleh digunakan sebagai alat untuk beristinjak ialah:

istinjak1

Teknik Beristinjak

Bolehkah ustaz jelaskan bagaimana cara yang betul melakukan istinjak?

Jawapan: Cara yang paling utama ialah istinjak dengan menggunakan batu dan air. Mula-mula bersihkan tempat najis dengan menggunakan batu. Kemudian air dialirkan ke kawasan tersebut. Jika batu atauseumpamanya tidak didapati, maka penggunaan air adalah paling utama pada waktu itu. Dalam keadaan air tidak didapati pula, batu dan seumpamanya boleh digunakan dengan menepati syarat-syarat berikut:

1. Benda kering.

2. Batu yang mempunyai tiga permukaan yang berbeza. Batu bulat sebanyak tiga ketul boleh digunakan.

3. Ia digunakan ketika najis masih basah.

4. Najis tidak melewati kawasan lain daripada tempat keluarnya.

5. Tidak kurang daripada tiga kali sapuan dengan tiga permukaan yang berbeza. Jika najis masih belum bersih, tambahlah alatan istinjak bagi membersihkannya. Sunat bilangan ganjil ketika menghilangkannya seperti lima, tujuh, dan seterusnya sehinggalah najis hilang.

istinjak

Beristinjak dengan Tisu

Saya sering bermusafir ke luar negara. Tandas-tandas di luar negara jarang sekali menyediakan air. Hanya tisu yang terdapat di dalam tandas tersebut. Bagaimanakah caranya beristinjak dengan menggunakan tisu?

Jawapan : Seperti yang disebutkan sebelum ini, istinjak boleh dilakukan dengan menggunakan bahan yang kesat seperti batu dan sebagainya. Tisu termasuk daripada salah satu bahan yang dibolehkan untuk beristinjak.

Cara beristinjak dengan tisu sama seperti beristinjak dengan batu. Iaitu gunakan tiga permukaan tisu yang berlainan. Dengan membalut tisu ke jari, bersihkan tempat keluar najis tersebut. Sapuan itu dikira satu kali. Maka, ulangilah perbuatan inisebanyak tiga kali. Jika najis masih belum bersih juga, sapuan itu mesti diulangi hingga benar-benar bersih.

 

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas