Menu

 

A+ A A-

BAIKI DIRI SENTIASA,HIDUP AKAN BAHAGIA

Soalan: Saya seorang wanita yang berkerjaya dan setiap hari saya agak sibuk. Saya rasa kesal kerana saya tidak dapat memberikan perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Apakah yang patut dilakukan agar kerjaya dan rumah tangga saya terjaga?

Jawapan : Dikisahkan bahawa pada suatu hari ada seorang tua melihat tiga orang pemuda sedang menebang pokok. Selama tiga jam ketiga-tiga pemuda itu masih tidak berjaya menumbangkan pokok tersebut.

Maka orang tua itu tertanya-tanya: Mengapa pokok itu tidak  dapat ditebang? Lalu diperhatikan keadaan mereka lagi. Barulah dia mendapati bahawa gergaji yang digunakan oleh pemuda itu tumpul.

Orang tua itu bertanya: “Mengapa kamu tidak asah gergaji itu terlebih dahulu?”
“Kami sibuk gergaji sehingga tidak ada masa untuk asah gergaji tersebut!” Kisah di atas menggambarkan kehidupan manusia di dunia ini yang sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing. Saban hari kita disibukkan dengan menguruskan rumah tangga, urusan kerja, persekolahan anak dan sebagainya. Hinggakan kita tidak mengambil langkah untuk menjadikan kita seorang yang lebih berkesan. Orang yang berkesan itu adalah apabila dia membuat sesuatu perkara, usahanya mungkin dua namun hasilnya 10. Sedangkan orang yang tidak berkesan pula, dia berusaha sebanyak 10 namun hasilnya dua.

Kebanyakan daripada kita akan pergi menghadiri kursus untuk self promotion (promosi diri untuk kerjaya) seperti kursus untuk kenaikan pangkat. Dengan menghadiri kursus itu, gaji sebulan akan naik RM100, RM 200 atau RM300.

Namun apalah sangat RM300 sebulan? Kita cuma dapat tambahan RM10 sehari tetapi setiap hari dalam 24 jam itu kita tidak bahagia, tidak tenang, berserabut, berpenyakit, dibenci orang, anak nakal dan sebagainya. Namun ramai yang sibuk self promotion tetapi tidak self improvement (memperbaiki diri untuk kehidupan) seperti yang digambarkan dalam kisah di atas.

Di sini saya ingin mengajar konsep self promotion vs self improvement. Sudah diketahui bahawa kehidupan ini bukan hanya untuk kerjaya sahaja. Kita ada fizikal, mental, kerohanian, hubungan dengan manusia, kewangan dan sosial.

Apa makna kehidupan jika kita sibuk mencari kursus membaiki diri untuk kenaikan pangkat dan dapat gaji sedikit tetapi pada masa yang sama kita tidak memperoleh ketenangan hidup, keluarga bermasalah dan sebagainya?

Di sini saya ingin menjelaskan terdapat dua kategori manusia iaitu: Manusia interested dan manusia commitment. Manusia interested akan melakukan sesuatu perkara mudah yang diminatinya manakala manusia commitment akan sanggup bersusah payah untuk memperoleh sesuatu perkara yang dihajati.

Bagaimana cara untuk membaiki diri? Sesetengah daripada kita membaiki diri dengan menambah ilmu melalui pembacaan, mendengar ceramah motivasi, berdiskusi dan juga berinteraksi. Apabila kita berada bersama-sama dengan manusia yang positif, secara tidak langsung rohani kita dipengaruhi oleh aura yang positif sekaligus memudahkan diri kita untuk berubah ke arah kebaikan.

Baiki Diri Agar Berjimat

Saya seorang yang agak boros berbelanja. Tidak sampai pertengahan bulan, wang gaji saya tidak dapat menampung hidup saya selama sebulan. Saya berasa sangat kesempitan wang apabila sampai dihujung bulan sehinggakan terpaksa berhutang. Mohon nasihat profesor Muhaya.

Jawapan : Islam sangat memandang berat terhadap soal berjimat cermat kerana ia menjadi asas bagi kesejahteraan hidup. Maka Islam menyarankan kita supaya berjimat cermat dalam segala bidang kehidupan dan keadaan.

Kebanyakan daripada kita amat berjimat semasa menggunakan air di rumah tetapi apabila berada di tempat awam, air digunakan sesuka hati sehingga berlaku pembaziran. Begitu juga penggunaan elektrik di pejabat. Lampu dan penghawa dingin dibiarkan berfungsi walaupun tiada orang.

Sikap seperti ini tidak seharusnya dilakukan oleh Muslim yang sejati. Firman Allah mafhumnya: “Dan berikanlah kepada keluargamu yang dekat, orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing. Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu saudara syaitan dan syaitan itu makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’: 26-27)

Kita haruslah ingat bahawa harta yang kita guna dan miliki sebenarnya hak Allah yang dipinjamkan dan diamanahkan ke atas kita. Kita tidak lain hanyalah sebagai pengurus yang pastinya akan ditanya ke mana harta tersebut kita belanjakan. Apakah hujah kita di hadapan Allah sekiranya kita membelanjakan harta tersebut dalam perkara-perkara maksiat dan kemungkaran?

Namun harus diingat bahawa saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah bermaksud kita menjadi bakhil dengan apa yang ada.

Sepatutnya kita menjadi berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat. Namun harus diingat bahawa saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah bermaksud kita menjadi bakhil dengan apa yang ada. Sepatutnya kita menjadi berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.

Yang paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut. Firman Allah mafhumnya: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.”(Surah al-Furqan: 67)

Maka marilah kita sama-sama merancang dan berazam untuk berjimat cermat dan mudah-mudahan Allah memberkati kehidupan kita.
Wallahu a‘lam.


Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Prof. Dr. Muhaya Hj. Mohamad

Pakar Mata dan personaliti dakwah tanah air ini memegang PhD dalam bidang Ocular Immunology, University of London, 1998. Antara jawatan sekarang ialah Profesor Oftalmologi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Adjung Oftalmologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Menerima anugerah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas