Menu

 

A+ A A-

BOLEHKAH MANUSIA MELIHAT MALAIKAT

Ada orang yang mendakwa bahawa ia pernah melihat malaikat? Bolehkah kita mempercayainya?

Jawapan :Kita perlu ingat bahawa malaikat dicipta daripada cahaya sebagaimana yang disebut dalam hadis yang bermaksud: “Malaikat diciptakan daripada cahaya.” (Riwayat Muslim) Maka tidak mungkin ada orang yang dapat melihatnya dalam rupa yang sebenarnya melainkan Rasulullah s.a.w.

MALAIKATTetapi jika ia menyerupai manusia, tidak mustahil orang ramai dapat melihatnya. Perkara ini telah diriwayatkan dalam banyak hadis sahih. Ia pernah berlaku pada umat Muhammad dan umat nabi-nabi terdahulu.

Orang kafir pula hanya akan melihat malaikat ketika menjelang kematian atau ketika diseksa. Seandainya mereka ditakdirkan boleh melihat malaikat selain daripada waktu itu, sudah pasti mereka akan hancur binasa saat itu juga.

Allah s.w.t. berfirman mafhumnya: “(Ingatkanlah) hari di mana mereka melihat malaikat. Ketika itu tiada sebarang berita gembira bagi orang yang bersalah.” (Surah al-Furqan: 22)

Tradisi Khurafat

Apa hukum Islam berkenaan amalan tradisi Melayu seperti menepung tawar, memuja pantai dan mandi Safar. Adakah ia tergolong dalam perbuatan syirik?

Jawapan :

Adat tradisi lama seperti tepung tawar dan sebagainya merupakan perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Manakala mandi Safar itu berasaskan kepercayaan khurafat yang wajib dibuang dan dikikis daripada masyarakat Melayu kerana bercanggah dengan hadis yang menyatakan tidak ada nahas dalam bulan Safar.

Sementara memuja pantai itu perbuatan yang membawa kepada syirik kerana menganggap bahawa makhluk itu boleh membawa bencana dan sebagainya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada kepercayaan adanya jangkitan, tidak ada kesialan, tidak ada hal-hal yang tidak baik dek burung hantu dan kesialan pada bulan Safar.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Khatam al-Quran Sendiri

Apakah cara yang terbaik untuk melakukan khatam al-Quran sendiri-sendiri? Kini saya sudah sampai pada juzuk 30.

Jawapan :

Berkhatam al-Quran itu sunat. Sebaik-baiknya cara berkhatam al-Quran adalah:

1.Mengumpulkan anak-anak dalam satu keluarga sambil berdoa sebagaimana sahabat Nabi, Anas melakukannya.

2.Dilakukan pada awal siang ataupun awal malam. Lagi elok pada hari Jumaat atau malam Jumaat.

3.Seelok-eloknya berpuasa untuk menyucikan diri.

4.Tamatkan dengan membaca surah al-Fatihah dan awal surah al-Baqarah dan disudahi dengan membaca doa khatam al-Quran.

Cium Tangan Mentua

Apakah hukum mencium tangan ibu mertua?

Jawapan :

Tidak salah jika menantu mencium tangan ibu mentuanya selagi ciuman itu tidak diiringi nafsu. Jika tidak, ia diharamkan kerana boleh mengundang bahaya yang berpanjangan.

Rakaat Solat Duha

Sebenarnya berapakah rakaat solat Duha yang disunatkan? Ada orang mengatakan dua rakaat dan ada yang mengatakan lapan. Bilakah waktu akhir solat Duha?

Jawapan :

Minimum rakaat solat Duha dua rakaat manakala maksimumnya menurut majoriti ulama lapan rakaat. Namun ada juga yang mengatakan sampai dua belas rakaat. Waktunya bermula apabila matahari naik segalah (iaitu 24 minit selepas terbit matahari), manakala akhir waktunya dengan tergelincirnya matahari atau beberapa saat sebelum Zuhur.

Pandang Tempat Sujud

Ada orang mengatakan bahawa disunatkan memandang ke tempat sujud ketika rukuk. Betulkah ustaz?

Jawapan :

Sebenarnya kita hendaklah mengarahkan pandangan kita ke tempat sujud dalam seluruh pergerakan solat, bukan semasa rukuk sahaja. Ini merupakan pandangan majoriti ulama termasuk Imam Abu Hanifah, Syafi‘i dan Ahmad.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Rasulullah masuk ke Kaabah dan Baginda tidak pernah memalingkan pandangannya selain ke tempat sujud sehingga Baginda keluar.” (Riwayat Ibn Hibban)

MALAIKAT1

Tidak Perlu Tunggu 7 Tahun

 

Anak saya yang berumur tiga tahun sudah pandai mengikut gerak geri solat. Dia juga sudah boleh menyanyi dan menghafal lagu pop. Adakah kita masih perlu menunggu hingga umur anak tujuh tahun, baru ajarkannya solat? Budak-budak sekarang cepat belajar.

Jawapan : Kecenderungannya anak yang berumur tiga tahun lebih kepada permainan. Maka ibu bapa dan guru hendaklah memberi ruang kepadanya untuk bermain. Namun jangan kita lupa bahawa melalui permainan, kita boleh mengajar banyak perkara kepadanya. Jadi prinsipnya, anak kecil perlu diajar melalui permainan dan dididik melalui kebiasaan.

Pada hemat saya, pada usia tiga tahun, amatlah baik jika si anak dapat menyaksikan ibu bapanya solat. Memang sifat anak akan suka meniru perbuatan ibu bapanya. Sekiranya ibu dan bapa rajin solat dan membaca al-Quran, si anak akan meniru perbuatan tersebut.

Elok juga jika dibelikan untuknya pakaian solat namun usah membebankannya dengan kewajipan solat.

Di samping itu, ajarkan mereka surah-surah atau doa-doa pendek tanpa membebaninya melebihi kemampuan usianya. Jelaskan juga kepada anak anak bahawa dia solat sebagai tanda terima kasih kepada Allah. Dengan kebiasaan yang berterusan ini diharapkan ketika usia 10 tahun dia telah mengetahui cara dan tujuan solat.

Wallahu a‘lam.

 

 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

 

Dato’ Haji Ismail Kamus

Lulusan Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menjadi guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selama 15 tahun di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan akhir beliau ialah sebagai pakar rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan. Kini sebagai pendakwah bebas di samping menjadi peniaga dan pengamal perubatan Islam Darus Salam.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas