Menu

 

A+ A A-

MELARAT DALAM MAKSIAT

BERTEMU kembali di ruangan yang indah ini. Semoga bertambah iman dari hari ke hari. Realitinya, bukan mudah untuk melihat graf Iman bertambah Dan terus meningkat. Akhir zaman, dugaan Dan cabaran yang terbentang bukan sedikit.

Salah satu punca iman meruncing ialah maksiat. Cinta yang tidak halal antara penyumbang utama maksiat membarah di dalam hati. Barangkali cinta itu dikatakan manis buat insan yang sedang dilamun dan dibuai perasaan. remaja yang bercinta tidak mungkin akan bertunang atau bernikah pada usia 13, 14 atau 15 tahun. Umur 17 tahun selepas tamat SPM juga tidak mungkin terus naik pelamin. Jadi, hendak dibawa ke mana cinta pada usia muda ini? Dulu, remaja ditangkap di sekolah kerana menyimpan dan mengarang sekian banyak surat cinta. sekarang di zaman teknologi, sMs cinta memenuhi telefon bimbit para remaja dan ada yang berbaur lucah sehingga berani mengajak buat maksiat. Menakutkan bukan? Muda-muda lagi sudah ‘miang’ dan ‘berpotensi’ rosak akhlak di usia dewasa kelak.

Akses dari dunia luar Dengan pelbagai pendedahan dunia luar melalui laman-laman web yang mudah diakses dan dilayari, tragedi maksiat pada usia muda dilihat kian parah dan kritikal. Anak-anak remaja belasan tahun sudah ramai yang hamil di luar nikah. Yang berani, akan buang bayinya setelah melahirkan. Yang takut, lapor pada ibu bapa lantas dihantar ke pusat-pusat kebajikan untuk merawat diri dengan bimbingan agama. Namun, jumlah yang diselamatkan agak kecil.

Kasihanlah pada ibu bapa yang susah payah membesarkan kita. Mereka bakal menanggung aib yang besar bila diri mereka dituduh tidak pandai menjaga anak. Siapa yang mahu anaknya ditangkap berkhalwat? siapa yang mahu anaknya diberkas dalam pesta seks? siapa yang mahu anaknya mabuk di kelab malam? siapa yang mahu anaknya hamil anak luar nikah? siapa yang mahu anaknya dipenjara kerana merogol?

“Maksiat aduhai maksiat

Sebelum dapat fantasi tak ingat

Sudah dirasa bertambah lazat

Bila sudah jadi tabiat

Manisnya iman menjadi kelat

Hendak bersolat sudah tak larat

Hati hitam lagi berkarat

Bila ketagih tidak dirawat

Hidup pasti tambah melarat

Takut Allah turunkan laknat”

Bila remaja menyantap bahan lucah saban hari, bersentuhan bukan mahram tanpa henti, melayan nafsu sehingga ke pagi…maka akhirnya ingatan akan menjadi lemah. Fikiran sukar untuk fokus dan ibadah akan dilihat sebagai beban. Jika hal ini berterusan, maksiat akan menjadi makanan seharian. Nauzubillah… 

MAKSIATGelaran Yang Hina

Mahukah orang memanggil kita sebagai ahli maksiat? Pedih bunyinya bukan? usahalah sebaik mungkin untuk hindari maksiat. syaitan sentiasa menyesatkan. Gambaran yang diberi syaitan memang indah tetapi semuanya palsu dan tipu semata-mata. Kepada yang sudah terjebak, masih ada ruang untuk berubah. Mulakan dengan memperbanyak amalan kebaikan dan taubat adalah jawapannya.

Jika rasa berat, mulakan dengan pergi ke majlis-majlis ilmu, ke masjid, ke surau atau ke tempat-tempat yang berfaedah. sediakan jadual setiap hari. Biar padat dengan hobi dan aktiviti yang berfaedah sehingga kita terlupa dan letih untuk melakukan maksiat.

Cari sahabat-sahabat yang baik. Bergaul dengan mereka. Jangan malu. Sahabatsahabat yang berakhlak mulia – insya-Allah akan memberi aura kepada diri kita. Jika saban hari kita melihat dan bermesra dengan amalan-amalan kebaikan, lama-lama pasti kita sayang dan rindu padanya lantas ‘tak sampai hati’ untuk melakukan maksiat lagi. Lihat maksiat sebagai sesuatu yang menakutkan dan jijik. Baca buku-buku yang menceritakan tentang balasan kepada pelaku maksiat. Ambil iktibar.

Insya-Allah, usia yang muda ini penuhilah dengan agenda yang indah. Kita tambahkan koleksi kawan-kawan yang baik, kita cipta hobi yang memberi pulangan berbaloi dan kita sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang mengalih tumpuan daripada maksiat. Lihat wajah ayah bonda selalu dan berdoa agar kita menjadi anak-anak soleh yang mampu menghadiahkan syurga dunia akhirat untuk insan tercinta.

“Maksiat itu khayalan syaitan

Dosa bertambah diri merana

Usah terjebak segala hasutan

Kuatkan diri perteguh agama”

Ahmad Fedtri Yahya

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 04

 


 

Ahmad Fedtri Yahya

Ahmad Fedtri Yahya merupakan seorang pengacara Malaysia Hari Ini. Beliau juga merupakan personaliti TV3. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Dunia Baru The Movie sebagai pelakon cameo. Antara program lain yang pernah dihoskan beliau ialah Dari Masjid Ke Masjid, Madrasah, Scoreboard, Kafe Aktif, Keluarga Bijak Everyday, Khurafat, Sebalik Malam dan pelbagai lagi.

Beliau ialah lulusan Sarjana Muda Komunikasi ( Filem & Penyiaran ) USM dengan minor Pengajian Islam. Beliau menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor USM ketika istiadat Konvokesyen USM 2003.

Beliau juga aktif menjadi pengacara pelbagai majlis dan menulis buku bertajuk 'Haruman Puisi Cinta' dan 'Pantun Penyeri Pengantin'. Beliau juga aktif menulis dalam majalah seperti Remaja, Gen-Q dan Tunas Cipta. Beliau ialah salah seorang bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS) atau lebih dikenali sebagai KUSESS.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas