Menu

 

A+ A A-

JOM KITA JENTIK SIFAT MALAS

KALI ini abang badr akan bawa anda semua menyusuri pengalaman abang badr bersama para pelajar sekolah menengah dan ipt dalam seminar ‘brilliant students’. Rata-rata seminar yang dijalankan, ada satu masalah pelajar yang sama walaupun berlainan sekolah dan ipt, iaitu malas. Ya, malas!

Apabila Abang Badr kaji, hampir 80% pelajar di setiap institusi pendidikan yang abang badr jelajahi menghadapi penyakit popular ini. Malas baca buku, ulangkaji, sekolah, tuisyen, hinggakan dia sendiri tidak tahu yang dia itu pemalas. Dahsyat, kan? Kalau boleh, nak ambil periksa pun baring atas katil.

Baiklah, dalam setiap seminar, Abang Badr terangkan tentang usaha dan ikhtiar adalah elemen yang amat penting untuk meniti kejayaan. Namun, ada juga peserta yang lebih tinggi darjatnya daripada ulama tafsir yang mengatakan, “Ala…masa depan saya, jodoh pertemuan, hidup dan mati di tangan Tuhan. rilekslah! sekarang ni masih remaja. Kita enjoy dulu! Allah dah atur semua…” hebat, kan?

Sebenarnya, mereka menggunakan kefahaman cetek tentang agama untuk menjustifikasikan tindakan malas mereka. Sedangkan Allah sudah pun menjelaskan bahawa dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah sesuatu kaum itu mengubah nasib mereka sendiri.

Tawakal bukannya bermaksud serahkan segala-galanya kepada Allah tanpa usaha… merenung langit sambil menantikan bulan jatuh ke riba! Kita semua perlu faham tentang ketetapan Allah – sesiapa yang rajin berusaha dia akan berjaya, manakala yang malas berusaha hanya layak merangkul kegagalan

Dalam seminar Abang Badr juga, para peserta akan diberikan dua pilihan:

Pertama: Malas sekarang – ironinya ia menjanjikan kehidupan remaja yang menyeronokkan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. selain itu, masa untuk main ‘games’ dan ‘online’ serta bersosial sehingga lupa bab buku, belajar dan guru. Yang penting… ‘enjoy’.

Kemudian apabila usia semakin meningkat dan semakin matang, barulah menyesal dengan apa yang telah dilakukan. Keputusan peperiksaan yang menjengkelkan, ilmu dunia yang cetek, apatah lagi ilmu akhirat. Akhirnya, di hujung usia barulah bertungkus-lumus bina kehidupan.

MALAS 2           Kedua:   rajin sekarang – dalam usia yang masih muda, otak sedang segar dan sentiasa bersedia untuk mencerap ilmu. Badan pula sihat dan cergas, tidak berpenyakit, tanggungjawab juga masih sedikit sebab belum perlu keluar mencari nafkah untuk keluarga, malah bab duit – ibu ayah yang menjaga. Tugas kita hanya belajar, mendalami ilmu dan menguasai kemahiran.

Percayalah, jika rajin sekarang, usaha itu akan dibayar oleh Allah dengan kejayaan. Asalkan usaha itu ikhlas kerana Allah. Apa-apa pun, masa depan anda di tangan anda. Abang Badr sekadar berkongsi perspektif dan perancangan masa depan. Tapi akhirnya anda sendiri yang menentukan apa pilihan anda. Jangan lupa tentang fitrah alam. “Man jadda wa jada” – “siapa berusaha, dia yang mendapat hasilnya”.

Tadah tangan dan tundukkan hati. Pohon kepada Allah agar dilindungi daripada sifat hina ini. sifat malas ini yang selama ini membunuh potensi Muslim di seluruh dunia termasuk negara kita Malaysia. Kita terlalu berasa selesa dengan apa yang ada tanpa melihat di sebalik tembok masa depan yang menjanjikan ujian dan pancaroba.

Bayangkan, akibat malas, seorang gadis Muslimah yang sepatutnya menguasai ilmu rumah tangga seperti memasak akhirnya menjadi seorang wanita yang sekadar membeli dan tidak bijak mengambil hati suami. Institusi demi institusi roboh. Meskipun sifat malas ini nampaknya agak menjurus kepada peribadi, tetapi sebenarnya ia mampu merosakkan ummah dan pertiwi!

Insya-Allah, pada keluaran yang akan datang, Abang Badr akan kongsikan apa yang patut kita lakukan untuk mengatasi sifat malas sebelum ia terus berakar dalam sikap kita. Abang Badr percaya, sebelum kita cakap tentang mengubah dunia, memantapkan negara, memperkasakan bangsa dan mempertahankan agama, sifat malas ini perlu diperangi habis-habisan! Jom kita jihad. Jihad melawan nafsu! Atasi malas sebelum kita tewas!

 

Ahmad Badrul Sani Baharudin

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 04

 


 

Ahmad Badrul Sani Baharudin

Master Trainer Az-Zahrah - Multi Intelligence Academy

Kembali ke atas