Menu

 

A+ A A-

BIAR TAK MENYALA, BARANYA JANGAN PADAM

Api jihad tidak akan padam. Biarpun sekuat mana Barat dan orang-orang kafir membenci istilah dan konsep jihad, tetap akan ada para pejuang Islam yang bersedia memberikan darahnya untuk memastikan Islam tertegak dan terbela daripada kezaliman kuffar.

Kami orang-orang Islam, mencintai syahid sebagaimana orang-orang kafir mencintai kehidupan. Kematian kami di jalan Allah membawa ke destinasi syurga, kematian orang kafir yang memerangi Islam akan membawa ke destinasi neraka. Sebagaimana persoalan yang ditanya oleh Umar al-Khattab r.a., yang disahkan oleh Nabi s.a.w.:

“Bukankah orang yang mati dalam peperangan dalam kalangan kita berada di syurga dan orang yang mati dalam kalangan mereka berada di neraka?” (Riwayat al- Bukhari, Sahih Bukhari, Al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Jld. 3, no. 3011)

Inilah bakaran semangat saudara-saudara kita di Palestin. Selagi kecamuk perang dengan Yahudi belum berakhir, selama itulah api jihad akan terus berkobar biarpun kehidupan mereka dan keluarga menjadi taruhannya. Demi tanah suci al-Quds yang wajib dipertahankan, merekalah wakil kitasebagai pejuang jihad bagi umat ini.

Virus dalam Pemikiran

Beberapa bulan yang lalu, saya menonton rancangan “Inside Islam” di saluran History Channel. Satu persembahan menarik, bersifat objektif dan sangat baik kandungannya. Walaupun tidaklah semua faktanya bertepatan dengan perspektif Islam yang sebenar, namun ia diyakini berupaya mencerahkan pemikiran Barat tentang Islam.

Bagaimanapun, tanpa disedari ada satu virus yang disebarkan menerusi dokumentari itu, yang disampaikan melalui lidah seorang yang bergelar cendekiawan. Secara jujur, dokumentari ini mengkritik perjuangan jihad umat Islam yang dijenamakan dengan istilah terrorism. Lebih menarik, pentas kritikan itu bersandarkan satu bentuk pemikiran.

Kita petik kata-kata daripada video tersebut, sebagaimana berikut: But many Muslim scholars and practioners decry the simplistic war liked interpretation of the terms... “The greater jihad is the struggle against your base desire .The lesser jihad is the struggle against an enemy.” – Prof. Khaled Abou El-Fadl

Sungguh, kata-kata ini adalah lambang pemikiran yang melemahkan! Kesannya, masyarakat Barat melihat umat Islam yang berjuang menentang kezaliman pada hari ini, sama ada di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kahsmir, Chechnya, dan pelbagai tempat lagi adalah tidak memahami inti pati ajaran Islam. Hal ini kerana Islam sebenarnya lebih mengutamakan jihad menentang hawa nafsu, itu fikiran mereka. Sifir mudah orang kafir ini diterjemahkan kepada persoalan sebegini.

Mengapa orang Islam memilih jihad peperangan, gemar untuk membunuh orang yang berlainan agama, sedangkan ajaran Islam sendiri meletakkan jihad peperangan sebagai jihad kelas kedua? Mengapa umat Islam suka menumpahkan darah atas nama Tuhan dan agama, sedangkan hawa nafsu itu yang perlu dimujahadahkan?

Lalu, Barat lebih selesa dengan versi Islam yang hanya memegang tasbih di masjid, atau mengajak orang ke halaqah zikirnya. Barat lebih selesa dengan kelompok ini sehingga menjadi pakar rujuk Islam bagi pentadbiran White House di Amerika Syarikat. Sebaliknya, Barat begitu skeptis dan prejudis pada Islam versi fi sabilillah yang mengajak manusia berjihad di jalan Allah dan mempertahankan umat Islam daripada terus dizalimi.

Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa Islam menolak sebarang bentuk keganasan, pembunuhan orang awam, wanita dan kanak-kanak serta sebarang bentuk perlakuan yang melampaui batas. Justeru, perlu dipisahkan antara pejuang jihad dan golongan yang melampaui batas.

Pemikiran Bersandarkan Hadis

Pemikiran yang didukung oleh orang seperti Prof. Khaled Abou El-Fadl yang dirujuk oleh History Channel itu berakar umbi dalam kelompok dan aliran tertentu di kalangan umat Islam. Jika diteliti, pemikiran ini bersandar pada suatu pernyataan yang dianggap oleh umum sebagai “hadis”, sedangkan para ulama hadis menolaknya.

Hadis yang menjadi sandaran itu adalah seperti berikut:

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kami pulang daripada jihad yang kecil kepada jihad yang besar.”

Kami bertanya: “Apakah jihad yang besar itu?”

Nabi bersabda:“Jihad (membersihkan) hati.”

Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. pulang daripada satu peperangan, kemudian Nabi s.a.w. berkata kepada mereka: “Kalian pulang dengan sebaik-baik kepulangan. Kalian baru pulang daripada jihad kecil kepada jihad yang lebih besar.” Mereka bertanya: “Apakah jihad yang besar itu ya Rasulullah?” Nabi berkata: “Mujahadah (perjuangan) hamba melawan hawa nafsunya.”

Para ulama mengatakan bahawa hadis ini direkodkan oleh al-Baihaqi dalam al- Zuhd dengan sanad yang lemah daripada Jabir. Para ulama hadis menghukum hadis ini sebagai daif (lemah) dan hadis yang lemah tidak boleh menjadi asas kepada mana-mana dasar ajaran Islam. Justeru, kedaifan hadis ini tidak boleh menghilangkan fakta dan dalil bahawa jihad peperangan tetap utama dan pertama dalam Islam.

Antara para ulama hadis yang menghukumkan hadis ini sebagai daif ialah:

a. Al-Maqdisi, Muhammad bin Tahir bin Ahmad. Tazkirah al-Maudhu’at, Jld. 1.

b. Jalal al-Din al-Suyuti, Jami’ al-Ahadis, Jld. 15, No. 15164

c. Al-Iraqi, Takhrij Ahadith al-Ihya', Jld. 6, no. 2567.

d. Sulaiman bin Saleh al-Khurasyi, Ahadith La Tashih, Jld. 1, no. 63.

e. Al-‘Ajaluni, Ismail bin Muhammad al-Jarahi, Kasyf al-Khifa’ wa Mazil al- Ilbas ‘Amma Asytahara min al-Ahadis ‘ala Alsinah al-Nas, Jld. 1, 1362.

f. Muhammad Nasir al-Din al-Albani. Silsilah al-Dha‘ifah, Jld. 5, no. 2460.

Sebenarnya, kata-kata yang disangka hadis itu, bukanlah hadis tetapi kata-kata Ibrahim bin Abi ‘Ablah. Al-Suyuti menukilkan pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Tasdid al-Qaus: “Ia adalah suatu yang popular diperkatakan, dan ia adalah kata-kata Ibrahim bin Abi ‘Ablah, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Nasa’ie dalam kitabnya ‘Al- Kuna’.” (Al-Suyuti, al-Durar al-Muntathirah fi al-Ahadis al-Musytahirah, Jld. 1, hlm. 11)

Selain itu, Ibn Taimiyah mengulas hadis ini dengan menyebut, “Hadis ini tidak ada asalnya (tiada sumber) dan tidak didapati periwayatannya daripada seorang pun pakar yang berpengetahuan (ulama hadis) bahawa ia adalah kata-kata Nabi s.a.w. atau daripada perbuatan baginda. Dan jihad menentang orang-orang kafir itu adalah amalan yang paling besar, malahan ia adalah yang paling utama dalam ketaatan kepada Allah bagi manusia.” (Majmu’ Fatawa li Ibn Taimiyyah, Jld.2, hlm. 487)

Yang Utama Tetap Utama

Jihad dengan anggota badan, mengangkat senjata, memerangi orang kafir yang menzalimi Muslimin tetap utama dan lebih afdal daripada yang lain. Kejerihan dan kesukaran gerak perjuangan para pejuang ini sentiasa memartabatkan diri mereka lebih atas daripada orang yang hanya beribadah di atas tikar sembahyang dan membilang jumlah zikirnya.

Sememangnya, kita tidak dapat nafikan bahawa jihad mempunyai definisi yang luas dan meliputi pelbagai bidang. Jihad ekonomi, jihad pendidikan dan jihad politik adalah antara ruang untuk umat bergelanggang. Tetapi, kesemua jihad itu tidak pernah melebihi keutamaan jihad peperangan. Justeru, janganlah lisan kita berani menafikan keutamaannya atau menyembunyikan kepentingannya semata-mata untuk mengikut kehendak Barat.

Keutamaan jihad peperangan boleh difahami menerusi firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Taubah 9: 20)

Al-Nu’man bin Basyir berkata, aku berada di sisi mimbar Rasulullah s.a.w., maka berkata seorang lelaki: “Aku tidak peduli dengan tidak melakukan amalan selepas Islam melainkan dengan memberi minum orang-orang yang menunaikan.” Dan berkata pula yang lain, “Aku tidak peduli dengan tidak melakukan amalan selepas Islam melainkan memakmurkan Masjid al-Haram.” Berkatalah yang lain, “Jihad di jalan Allah lebih utama daripada apa yang kalian katakan.”

Maka Umar memarahi mereka: “Janganlah kalian meninggikan suara di sisi mimbar Nabi s.a.w.” Hari itu adalah hari Jumaat, dan jika aku solat Jumaat, aku memasuki masjid itu dan aku akan meminta fatwa daripada Nabi tentang apa yang diperselisihkan tadi. Maka,Allah menurunkan ayat (Surah al-Taubah 9: 19-20). (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, Jld. 12, no. 4979)

Jika kita menolak konsep jihad peperangan, ke manakah akan kita letakkan ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. tentang kewajipannya?

Jernihkan Pemikiran Ini…

Sekiranya pemikiran ini tidak dijernihkan, maka akan semakin ramai anak-anak Palestin  mati dibunuh Yahudi tanpa pembelaan. Jika ia tidak dibetulkan, akan bertambah berani kuffar melanggar negara-negara Islam, sebagaimana nasib di Bosnia, Chechnya, Afghanistan dan Iraq. Negara Islam akan jatuh satu persatu tanpa pejuang yang mempertahankannya. Seandainya “hadis” ini tidak diterangkan kedudukannya, akan ramai yang terus berdiam diri tanpa rasa pesona untuk turut berjihad.

Perlu ditegaskan, bahawa perjuangan mendidik hawa nafsu tidak pernah dinafikan kepentingannya. Namun, kedudukannya tidak diletakkan lebih utama daripada memerangi kuffar yang menzalimi umat Islam. Marilah teguh berdiri menyokong para pejuang jihad, kerana Islam subur dibajai dengan darah syuhadak dan syurga pula di bawah lembayung pedang! Ingatlah pesan

Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya syurga itu di bawah bayangan pedang.” (Riwayat al-Bukhari, al-Jami’ al- Sahih al-Mukhtasar, Jld. 3, no. 2663).

Kalaulah sepanjang hayat kita tidak berpeluang menyertai sebarang operasi jihad, janganlah padamkan apinya di hati kita. Biar baranya membahang dalam dada. Selagi iman ada di hati, bara semangat jihad janganlah terpadam! ¤.


Oleh Mohd Al-Adib Samuri
 
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Mohd. Al-Adib Samuri

Lulusan Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini bertugas sebagai tenaga akademik di Jabatan Syariah, UKM. Penulisannya boleh dibaca di blognya; www.aladib.net. Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D. dalam bidang Undang-undang Perbandingan.

Kembali ke atas