SAMBUTAN HARI IBU DALAM ISLAM
- Ditulis oleh Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid
- Kategori Hukum
- Read 23915 times
HARI ibu didefinisikan sebagai sambutan dan penghargaan buat semua ibu. Pada hari itu, para ibu akan diraikan serta diberi hadiah sebagai tanda kasih sayang seorang anak kepada ibunya. Dalam kelekaan kita menyambutnya, pernahkah kita berfikir tentang asal usul Hari Ibu ini? Adakah cukup sehari untuk kita menghormati dan menggembirakan ibu kita? Adakah Islam menyarankan kita meraikan hari ini?
Sejarah Hari Ibu
Hari Ibu merupakan satu perayaan pada musim bunga. Masyarakat Greece meraikannya sebagai tanda penghormatan mereka terhadap‘Rhea’, iaitu ibu kepada tuhan mereka.
1600 Masyarakat di England merayakan satu hari yang mereka namakan sebagai ‘Mothering Sunday’. Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap ‘Lent’. Lent ialah tempoh masa selama 40 hari sama ada dalam bulan Februari atau Mac.
Dalam tempoh ini, masyarakat yang beragama Kristian akan berhenti melakukan perkara tertentu atau memakan makanan tertentu atas dasar agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap ‘Mother Mary’. ‘Mother Mary’ ialah Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s. atau Jesus yang dianggap mereka sebagai tuhan. Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut.
Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahi dengan ‘Mothering Cake’ sempena perayaan tersebut. Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan kini disambut sebagai penghormatan kepada ‘Mother Church’. ‘Mother Church’ dianggap sebagai satu kuasa spiritual yang agung. Sejak itu, perayaan ‘Mothering Sunday’ diraikan dengan upacara di gereja.
1872 Hari Ibu di Amerika Syarikat disambut hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau seorang aktivis social dan telah menulis puisi “The Battle Hymn of The Republic”. Puisi ini telah dijadikan lagu patriotik yang popular dalam kalangan warga Amerika.
1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Sejak itu, Hari Ibu dirayakan setiap tahun di Philadelphia. Anna Jarvis dan penyokongnya telah menulis surat kepada presiden, ahli korporat dan ahli politik mencadangkan agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. 1911 Hampir keseluruhan rakyat Amerika menyambut Hari Ibu.
1914 Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti diraikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland,Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.
Sambutan Setiap Masa
Hari Ibu disambut di Barat sebagai tanda penghormatan kepada ibu tuhan mereka dan ibu mereka. Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah berkata: “Hari Ibu ini timbul kerana pihak orientalis atau doktrin barat memikirkan bahawa inilah cara terbaik untuk mereka menarik minat remaja barat agar menghormati orang tua mereka. Umum mengetahui, masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan atau mengkhususkan hari-hari tertentu, sekali gus dapat memupuk remaja mereka agar menyayangi dan menghormati orang tua mereka.”
Persoalannya, adakah kita perlu meraikan ibu dalam tempoh sehari sahaja? Tidak, kerana Islam menuntut kita untuk menghargai dan menyayangi ibu setiap masa. Islam juga mewajibkan kita berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapa, tetapi perlu melebihkan ibu sepertimana nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Hukum Menyambut Hari Ibu
Sambutan Hari Ibu sering mengundang kontroversi dan Islam sering membahaskan tentang hukum menyambutnya. Beberapa orang ulama terkenal telah membahaskan hukum menyambut Hari Ibu.
Kesimpulannya, sambutan ini diharuskan tetapi bersifat setiap masa. Sambutan ini juga perlu diraikan secara islamik dan tidak meniru mana-mana agama. Kita harus peka dalam mengamalkan budaya asing kerana dikhuatiri terjerumus kepada kehancuran kerana perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak dan keimanan seseorang, bahkan ia akan menjatuhkan maruah Islam itu sendiri.
Bagaimana Menghargai Ibu?
Islam telah berabad-abad lamanya mempercayai kedudukan seorang ibu yang mulia. Daripada Jahimah al-Sulami, beliau menemui Rasulullah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, saya ingin berperang, dan saya datang untuk berbincang.”Rasulullah bertanya: “Adakah engkau mempunyai ibu?” Beliau menjawab: “Ya.” Rasulullah bersabda: “Dampingilah dia.
Sesungguhnya syurgamu terletak di bawah kedua kakinya.” Betapa mulianya kedudukan seorang ibu,sehinggakan syurga yang mulia itu terletak dibawah telapak kaki seorang ibu. Imam al-Qurtubi juga ada berkata: “Seorang ibu berhak mendapat lebih penghormatan berbanding seorang bapa dan seorang ibu lebih berhak diutamakan daripada seorang bapa jika dibuat pilihan.” Kita boleh menghargai ibu kita setiap masa dengan mendoakan kesihatannya, meringankan beban kerjanya dan menelefon bertanya khabar sekiranya duduk berjauhan. Walaupun ia tidaklah seberapa dibandingkan dengan jasa serta pengorbanan seorang ibu,tetapi ia adalah kunci untuk kita ke syurga.
USTAZ FAUZI ABDUL HAMID
Sumber artikel daripada GEN-Q 10
Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid
Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti).
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.