Menu

 

A+ A A-

ADAT MENYAMBUT KELAHIRAN: ANTARA SYARIAT DAN KHURAFAT

Adat Melenggang Perut

Di kampung saya masih diamalkan adat melenggang perut. Namun ada orang kata bahawa adat itu bercanggah dengan syariat tetapi saya tidak pasti. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

Memang tidak dinafikan bahawa amalan ini telah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat Melayu sejak dahulu. Maka pertama sekali, kita hendaklah mengetahui latar belakangnya dahulu. Kebiasaannya, apabila ada perempuan yang mengandung anak sulung, bidan dipanggil untuk melakukan upacara melenggang perut terhadapnya setelah kandungan berusia tujuh bulan.

Caranya, direntangkan kain sepanjang tujuh helai yang disusun secara berlapis-lapis. Kemudian, ibu yang hamil itu disuruh berbaring. Bidan kemudiannya akan menarik sehelai demi sehelai kain tersebut. Kain pertama akan ditarik ke arah kanan. Kain yang berikutnya pula akan ditarik arah ke kiri. Begitulah seterusnya kain itu ditarik secara berselang seli.

Di sesetengah tempat pula, tiga biji buah kelapa akan dibelah dua ketika upacara tersebut. Mengikut kepercayaan, budak dalam kandungan tidak akan selamat kalau tidak dilakukan upacara ini. Sebaliknya, anak dalam kandungan itu akan selamat sekiranya belahan kelapa itu elok.

Maka jelas sekali bawa upacara melenggang perut dan membelah buah kelapa ini tidak pernah wujud dalam Islam. Apatah lagi ia mengandungi kepercayaan karut dan khurafat. Seolaholahnya, keselamatan anak dalam kandungan bergantung pada upacara tersebut.

Kepercayaan seumpama ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke lembah syirik. Allah sahaja yang berkuasa membuat ketentuan terhadap hamba-hamba-Nya.

Oleh yang demikian, nyatalah bahawa amalan seumpama ini berlaku kerana terpedaya dengan tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha menjauhkan manusia dari jalan Allah dengan menjerumuskan manusia ke dalam lembah syirik dan khurafat.

Adat Tanam Uri

Ibu saya ada menceritakan bahawa orang dahulu menanam uri bersama sama dengan asam, garam dan paku. Kadang-kadang, ada orang kampung yang membuat unggun api berdekatan tempat uri ditanam dan dibiarkan semalaman.

Apa pendapat ustaz tentang amalan ini?

Jawapan:

Adat masyarakat kita, urinya akan ditanam. Sebelum ditanam, ia dibersihkan dahulu. Amalan ini adalah baik selagi tidak mengandungi kepercayaan kepercayaan tertentu yang bercanggah dengan syariat.

Namun ada beberapa adat yang bercanggah dengan ajaran Islam dalam menanam uri tersebut seperti situasi yang saudari bawakan.

Jika diselidik, adat itu sebenarnya berasaskan kepercayaan bahawa jika uri bayi perempuan ditanam bersama asam dan garam, budak itu akan pandai memasak apabila dewasa nanti. Manakala bagi anak lelaki pula diletakkan paku agar budak tersebut pandai bertukang apabila dewasa.

Adat seumpama ini tidak dapat diterima oleh akal yang waras dan tidak menepati ajaran Islam yang murni. Jika demikian, adakah perlu ditanam bersama uri itu buku matematik dan sains sekiranya mahu anak menguasai bidang ilmu tersebut? Atau ditanam bersama uri sebuah komputer atau laptopdemi memastikan anak tersebut menguasai bidang IT. Ini semua kepercayaan yang tidak ada asasnya dalam ajaran Islam.

Begitu juga penyalaan api di sekitar tempat penanaman uri itu tidak akan memberi kesan apaapa pada bayi tersebut. Ia suatu kepercayaan yang khurafat yang sepatutnya dijauhi.

Jelasnya, syaitan sentiasa berusaha untuk memperdaya manusia dengan amalan-amalan khurafat dan syirik agar manusia terpesong dari jalan yang diredai Allah. Apatah lagi bagi manusia yang tidak berilmu, maka semakin mudah bagi syaitan untuk memesongkan aqidah dan kepercayaan seseorang itu sehingga sanggup melakukan sesuatu yang tidak ada asas dalam ajaran Islam.

Bersyariat Menyambut Kelahiran

Saya bakal menyambut kelahiran anak sulung saya bila-bila masa sahaja lagi. Apakah sunnah Nabi yang patut saya lakukan apabila tiba saat itu?

Jawapan:

Pepatah Melayu sendiri ada menyatakan: Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Seorang bapa perlu prihatin dengan sunnah Nabi dalam menyambut kelahiran anaknya. Mudah-mudahan dia dapat mendidik dan membentuk anak menjadi anak yang soleh. Ada dua tindakan segera yang menjadi sunah Rasulullah sempena kelahiran bayi:

1.   Azan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kiri.

Tiada beza sama ada bayi itu lelaki atau perempuan. Ini supaya kalimah pertama yang masuk ke dalam pendengaran bayi itu ialah kalimah tauhid. Azan juga dapat mengusir dan menjauhkan syaitan, bukannya dengan adat meletak paku, gunting atau benda-benda di bawah bantal atau tilam.Abu Rafi‘ menyatakan bahawa beliau melihat Rasulullah mengazankan pada telinga Hasan bin Ali ketika dilahirkan oleh Fatimah.(Riwayat Abu Daud)Oleh yang demikian, amat malang sekali apabila si bapa tidak berada di sisi si ibu ketika anaknya dilahirkan, dan seterusnya kalimah-kalimah suci tidak diperdengarkan di telinga anaknya itu.

2.   Tahnik bayi atau “belah mulut” iaitu menyuapkan bayi tersebut dengan sesuatu yang manis. Sebaik-baiknya, bawakan bayi tersebut kepada orang soleh untuk ditahnik.

Dalam sebuah hadis, Abu Musa berkata: “Saya telah mendapat seorang anak lelaki lalu saya membawanya kepada Rasulullah. Baginda menamakannya Ibrahim dan melakukan tahnik dengan sebiji kurma. Baginda juga telah mendoakannya semoga diberkati Allah.

Selepas itu barulah Baginda memberikan semula anak itu kepada saya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

32-ADAT MENYAMBUT KELAHIRAN

Wallahu a‘lam

 

   Dr. Mohd Sukki Othman

   Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas