Menu

 

A+ A A-

HUKUM KORBAN HAIWAN YANG MAKAN KOTOR

Korban Lembu Pemakan Najis

Saya seorang penuntut di luar negara. Bolehkah kami mengorbankan seekor lembu yang memakan najis?

Haiwan yang tabiatnya suka memakan najis atau diberi makan najis secara berkala dikategorikan sebagai haiwan jalalah. Haiwan jalalah mempunyai hukum yang tersendiri. Ini kerana anggota haiwan terbabit telah dicemari dengan najis yang dimakannya itu.

Hukum memakan daging haiwan berkenaan adalah makruh. Ini sejajar dengan sebuah hadis yang bermaksud: “Nabi Muhammad melarang daripada menunggang unta jalalah dan meminum susunya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi melarang umatnya daripada meminum susu dan menunggang haiwan ternakan yang telah memakan najis. Walau bagaimanapun, para ulama telah mengklasifikasikan larangan tersebut sebagai makruh, bukan haram. Sehubungan dengan itu, hukum memakan dagingnya juga adalah termasuk dalam larangan Nabi apatah lagi untuk diberi makan kepada umat Islam yang lain.

hukum-korban-haiwan-makan-kotor-1

Justeru, bagi menyelesaikan permasalahan ini, mazhab Hanafi dan sebahagian fuqaha daripada mazhab Syafii seperti al-Nawawi, al-Mawardi serta al-Bujayrimi menyarankan agar haiwan jalalah dikurung terlebih dahulu dan diberi makan dengan bahan-bahan yang baik sebelum ia disembelih untuk korban atau untuk dimakan. Tujuan haiwan tersebut dikurung adalah untuk memastikan supaya kesan najis seperti bau, rasa dan warna yang terdapat padanya hilang sepenuhnya.

Secara umumnya tempoh kurungan yang disarankan ke atas kesemua haiwan jalalah ialah 48 jam atau dua hari dua malam. Namun sekiranya kesan najis hasil daripada pemakanannya itu masih lagi wujud pada anggota luaran dan dalamannya, maka tempoh kurungan perlu diteruskan sehingga melepasi tempoh-tempoh berikut:

a 40 hari untuk unta.

b 30 hari untuk lembu.

c 7 hari untuk kambing.

d 3 hari untuk ayam.

Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Umar.

hukum-korban-haiwan-makan-kotor-2

Ibadah Korban dengan Duit Rasuah

Bolehkah seseorang itu menggunakan duit hasil rasuah untuk membeli seekor kambing untuk dikorbankan? Adakah ibadah korban itu sah dan halal dimakan?

Perkara pertama yang perlu diingatkan bahawa perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah haram dan dilaknat oleh Nabi. Oleh sebab itu, segala sumber yang diperoleh daripada amalan rasuah adalah haram. Tidak cukup sekadar itu sahaja, hasil daripada pendapatannya juga akan menjadi darah daging kita dan keluarga. Paling menyedihkan lagi apabila keberkatan hidup golongan yang terlibat dengan rasuah akan ditarik oleh Allah sekaligus menyebabkan mereka sengsara di dunia dan akhirat.

Nabi bersabda dengan bermaksud: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Abu Dawud)

Berhubung dengan kambing korban yang dibeli dengan duit rasuah. Hukum memakan daging korban tersebut akan berbeza mengikut keadaan seperti berikut:

1. Halal. Daging korban tersebut adalah halal dimakan selagi mana orang yang memakan atau menerimanya tidak mengetahui sumbernya. Dr. Yusuf al-Qardhawi menegaskan: “Sesuatu yang terselindung daripada pengetahuan kita adalah tidak perlu diselidiki sehingga menyusahkan.”

2. Makruh. Daging tersebut makruh dimakan jika penerimanya mengesyaki sumber daging berkenaan daripada wang rasuah. Walau bagaimanapun, mengelak daripada memakannya ialah langkah terbaik agar tidak terjebak dengan perkara syubhah.

3. Haram. Daging berkenaan haram dimakan jika secara yakin diketahui bahawa ia dibeli dengan wang haram.

Cara Menghormati Haiwan Korban

Saya pernah menyaksikan lembu-lembu yang akan disembelih dicalit-calit dengan pewarna dan dipakaikan kain khas sebagai penghormatan untuknya. Benarkah ada anjuran sebegitu dalam Islam?

Menghias haiwan yang bakal dikorbankan dengan pakaian-pakaian tertentu adalah bidaah, bukan daripada sunnah Nabi. Bahkan ia sebahagian daripada budaya dan adat resam orang bukan Islam.

Sebenarnya, penghormatan tidak perlu ditunjukkan dengan perhiasan yang tiada sebarang erti itu. Penghormatan sebenar yang diberikan oleh Islam kepada haiwan berkenaan ialah pelaksanaan ibadah korban itu sendiri. Setiap darah yang keluar daripada tubuh haiwan itu akan datang di akhirat kelak sebagai syafaat untuk tuannya. Inilah yang dinamakan sebagai penghormatan yang tidak terhingga buat haiwan korban tersebut.

Justeru, dinasihatkan agar tidak melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan ibadah tanpa ilmu pengetahuan. Bertanyalah mereka yang arif terlebih dahulu sebelum sesuatu ibadah itu dilaksanakan.

Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, UKM. Kini sedang menyiapkan tesis PhD dalam isu fiqah makanan dan kepenggunaan semasa bagi produk halal. Pernah menetap di Syiria antara tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh itu, beliau sempat berguru dengan ramai ulama Syiria antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty dan Dr. Mustafa al-Bugha. Kini
pensyarah UKM.

Kembali ke atas