Menu

 

A+ A A-

DILEMA BERSENTUHAN KULIT SEMASA HAJI

Apakah pendapat yang sebenar dalam masalah bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ketika melaksanakan haji? Ada orang kata, wuduk terbatal dan ada juga yang mengatakan tidak. Mohon pencerahan.

Jawapan :

Ringkasnya: Sebenarnya para ulama tidak sependapat dalam isu ini. Dengan menghormati kesemua ijtihad mereka, saya memilih pendapat bahawa tidak batal wuduk jika bersentuhan kulit tanpa alas itu terjadi tanpa syahwat.

HURAIAN: Perbezaan pendapat antara ulama ini sebenarnya berpunca daripada perbezaan cara istinbat (kaedah mengeluarkan hukum) mereka dalam memahami firman Allah s.w.t. yang bermaksud:“Atau kamu telah menyentuh perempuan.” (Surah al-Nisa’: 43)Di sini dibawakan beberapa pendapat ulama:

 

Pendapat Pertama: Batal Jika dengan Syahwat

Mazhab Maliki, pendapat imam Ahmad yang masyhur dan salah satu pendapat imam Abu Hanifah menyatakan bahawa persentuhan kulit antara lelaki dan wanita tanpa alas adalah membatalkan wuduk sekiranya disertai dengan syahwat. Jika tidak disertai dengan syahwat,maka tidak batal.

1.Antara hujah mereka: Perkataan jawi yang terdapat dalam ayat tersebut bermaksud bersentuhan atau berasmara tanpa jimak.

2.Hadis yang menceritakan bahawa Aisyah berbaring dalam keadaan merentangi dihadapan Rasulullah yang sedang solat. Kemudian Rasulullah menyentuh kaki Aisyah sebagai isyarat agar beliau mengalihkannya. (Riwayat alBukharidan Muslim) Hadis ini menunjukkan bahawa sentuhan tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk.

3.Hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah mengucup sesetengah isterinya dan terus melakukan solat tanpa mengambil wuduk. (Riwayat Abu Daud danal-Nasa’i) Sekali lagi hadis ini menunjukkan bahawa persentuhan tidak beralas tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk.

 

Pendapat Kedua: Batal Secara Mutlak

Mazhab Syafi‘i dan satu pendapat dalam mazhab Imam Ahmad menyatakan bahawa persentuhan antara lelaki dan wanita tanpa alas membatalkan wuduk secara mutlak sekiranya kedua-dua pihak sudah baligh dan ajnabi (kedua-duanya boleh berkahwin). Maksud mutlak di sini adalah tanpa mengambil kira unsur sama ada persentuhan itu sengaja atau tidak atau dengan syahwat atau tidak.

 

Antara hujah mereka:

 

1.      Ayat al-Quran di atas tidak membezakan antara syahwat atau tidak, sengaja atau tersalah. Adapun menyentuh yang mahram atau kanak-kanak tidak mengapa kerana terdapat dalil yang mengecualikannya antaranya hadis riwayat Abu Qatadah yang menyatakan bahawa Baginda mendukung Umamah cucu Baginda semasa solat. Hadis ini menunjukkan bahawa tidak batal wuduk dengan menyentuh kanak-kanak dan mahram.

2.      Sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah mengarahkan seorang lelaki yang terbabit mengambil wuduk. Baginda tidak meminta penjelasan terlebih dahulu sama ada persentuhan itu dengan syahwat atau tidak. Ini menunjukkan bahawa persentuhan mutlak sama ada dengan syahwat atau tidak membatalkan wuduk.

3.      Hadis yang menunjukkan bahawa Baginda mengucup isterinya kemudian terus solat tanpa mengambil wuduk semula ialah hadis daif dan mursal.

 

Pendapat Ketiga: Batal Jika Sengaja

Mazhab Zahiri berpendapat bahawa wuduk akan terbatal jika persentuhan itu disengajakan sama ada dengan syahwat atau tidak. Hal ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak ada dosa keatasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) ialah apa yang disengajakan oleh hatimu.” (Surah al-Ahzab: 5) Ayat ini umum menunjukkan bahawa apa sahaja yang dilakukan dengan sengaja adalah diambil kira, termasuklah persentuhan sengaja antara lelaki dan perempuan dalam kes wuduk.

 

Pendapat Keempat: Tidak Batal Langsung

Imam Muhammad bin Hasanal-Syaibani dan satu pendapat lain daripada Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa persentuhan lelaki dan perempuan secara mutlak tidak membatalkan wuduk. Wuduk hanya terbatal dengan melakukan jimak.

TAMBAHAN: Untuk pengetahuan umum, dalam mazhab Syafi‘i sendiri pun ada pendapat yang menyatakan bahawa wuduk hanya terbatal jika berlaku persentuhan yang disertai syahwat. Namun pendapat ini dianggap lemah dalam mazhab Syafi‘i.

 

Pendapat Paling Tepat dengan Maqasid Syariah

Para ulama sepakat bahawa maslahat manusia menjadi salah satu maqasid syariah atau matlamat syariat dalam penetapan satu-satu hukum. Justeru pendapat pertama iaitu wuduk hanya terbatal jika persentuhan itu berserta syahwat merupakan pendapat yang paling dekat dengan maqasid syariah. Pendapat ini dapat memelihara maslahat dan mencegah kesulitan daripada jemaah haji. Di sini saya ingin menegaskan bahawa isu ini sudah dibahaskan oleh ulama dengan panjang lebar sejak dahulu lagi. Pihak Tabung Haji dalam satu Muzakarah Haji telah memutuskan bahawa sekiranya seseorang itu berada di dalam Masjidi lharam atau semasa melakukan tawaf pada musim haji, maka tidak batal wuduknya jika berlaku persentuhan tersebut kerana darurat dan sukar untuk memelihara wuduknya.

42al8

 


 

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08

 


 


Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas