Menu

 

A+ A A-

MAKAN ULAT DALAM BUAH

DALAM kitab-kitab fiqah klasik ada disebutkan, ulat dalam buah boleh dimakan kalau bersama buah. Tetapi kalau ulat itu sudah diceraikan daripada buah ia tidak lagi boleh dimakan.

Alasan yang diberikan ialah kerana ulat dalam buah terjadi daripada buah. Semua orang maklum, buah boleh dimakan. Begitu juga semua orang maklum, ulat tidak boleh dimakan. Bagaimanapun, mengikut kitab berkenaan lagi, oleh sebab ulat itu terjadi daripada buah maka hukumnya ialah hukum buah. Ia boleh dimakan selagi tidak pernah dipisahkan daripada buah itu. Tapi jika sudah dipisahkan, dikembalikan balik kepada buah itu pun tidak boleh menjadikan ia halal dimakan. Kerana ia sudah pun menjadi ulat yang sebenar. Prinsip penting dalam fatwa ini ialah apa saja yang terjadi daripada yang halal maka hukumnya halal. Buah itu hukumnya halal dimakan. Maka oleh sebab ulat buah itu terjadi daripada buah, maka hukumnya halal.

Ulat Sagu

Beberapa tahun lepas timbul persoalan sama ada ulat sagu boleh dimakan ataupun tidak. Di suatu daerah di negeri Sarawak para penduduknya suka makan ulat seperti itu. seorang pemberita sebuah stesen TV tempatan mencubanya. Katanya memang sedap. Di antara pendapat yang diberikan ialah ulat itu halal hukumnya kalau dimakan bersama sagu. Kerana ulat itu terjadi daripada sagu berkenaan.

Tetapi kalau sudah diceraikan daripada sagu itu hukumnya tidak halal lagi. Kerana ia sudah menjadi ulat yang sebenarnya. Tentu sekali pandangan berkenaan berasaskan fatwa para ulama klasik tentang hukum ulat buah sepertimana disebut di atas. Begitu juga, tentu sekali pandangan hukum seperti itu diyakini penuh oleh masyarakat. Kerana ia berdasarkan pandangan dalam kitab.

Prinsip

Prinsip bahawa apa yang terjadi daripada yang halal itu hukumnya halal merupakan prinsip umum yang tepat dan boleh diterima. Ia mempunyai asas yang kuat dalam teori hukum Islam. satu daripada aplikasi kepada prinsip ini ialah hukum telur penyu. Para ulama mazhab syafii berpendapat ia boleh dimakan. Kerana ia terjadi daripada mani penyu itu.

Sebagaimana dimaklumi, mani hukumnya bersih. Ada hadis yang menyebutnya begitu. Yang tidak bersih ialah mazi. Berasaskan prinsip yang sama para fuqaha mazhab Hanafi memberi pandangan yang berbeza. Bagi mazhab ini, telur penyu tidak boleh dimakan kerana ia terjadi daripada darah daging penyu itu sendiri.

Berasaskan kepada formula ini mereka mengkritik pandangan mazhab syafii. Kata mereka, pelik sekali pandangan dalam mazhab syafii tentang penyu. Ibu tidak dimakan tetapi telur dimakan. Perbezaan pendapat di antara mazhab syafi i dan mazhab Hanafi dalam masalah ini bukan disebabkan berbeza prinsip. Prinsip mereka sama, iaitu apa saja yang terjadi daripada yang halal hukumnya halal. Sebaliknya apa yang terjadi daripada yang haram maka hukumnya haram juga. Apa yang membezakan antara mereka ialah aplikasi kepada prinsip berkenaan. Kata mazhab syafi’i, telur terjadi daripada mani, sementara mazhab Hanafi pula berpendapat ia terjadi daripada darah daging penyu itu sendiri.

Ulat Buah

Kembali kepada persoalan asal, iaitu hukum makan ulat buah. semua fuqaha berpendapat ulat tidak boleh dimakan. Tetapi ulat buah lain pula hukumnya. Ia bukan ulat biasa yang lahir daripada telur ibu ulat. Sebaliknya ia terjadi daripada buah berkenaan. Di sini juga sama. Bukan soal prinsip. Kerana secara prinsipnya ulat tidak boleh dimakan. Tetapi dalam kes yang satu ini berbeza sekali. Memang ia adalah ulat, tetapi bukan ulat biasa yang dilahirkan oleh ibu ulat. Ia terjadi daripada buah.

Maksudnya ia berasal daripada buah yang terpisah daripada buah itu, hukumnya haram dimakan walau pun dikembalikan semula kepada buah berkenaan. Biasanya prinsip hukum berasaskan kepada al-Quran dan Sunah. Sementara sebahagian daripada aplikasinya berasaskan kepada maslahah atau ‘uruf. Maslahah bermaksud lebih kurang kepentingan masyarakat umum. Sementara ‘uruf pula secara umumnya bermaksud amalan atau pandangan popular semasa. Berasaskan konsep ini ‘uruf ada pelbagai. Ada ‘uruf budaya, ada ‘uruf bahasa dan berbagaibagai ‘uruf lagi termasuk ‘uruf ilmu, sains dan teknologi. Dalam persoalan tentang ulat buah ini, yang terlibat ialah ‘uruf sains dan teknologi. Maksudnya, ketentuan telah dibuat berasaskan pandangan sains yang diterima umum pada waktu itu.

teori ulat dlm buah

'Uruf Sains dan Teknologi

Berasaskan kepada ‘uruf sains dan teknologi pada hari ini, ulat buah sebenarnya bukan terjadi daripada buah. Sebaliknya berasal daripada serangga yang bertelur dalam buah berkenaan. Berasaskan kepada ‘uruf ini, ia sepatutnya difatwakan haram, sama ada dimakan tanpa atau bersekali dengan buah berkenaan. Kerana ia bukan sebahagian daripada buah itu, tetapi sebaliknya ia adalah anak serangga yang bertelur di dalam buah itu.

Ini bererti, fatwa dalam kitab berkenaan tidak tepat bagi kita sekarang. Kerana kemajuan ilmu telah memberi jawapan bahawa anggapan ulat itu terjadi daripada buah adalah salah. Namun bukan bererti fatwa itu tidak pernah betul. Pada masa fatwa itu dikeluarkan, ia adalah fatwa yang betul. Kerana ia berdasarkan ilmu yang ada pada waktu itu yakni ulat buah terjadi daripada buah. Dalam kes telur penyu pun sama. Adakah ia terjadi daripada mani penyu atau daripada darah daging sang penyu? Jawapan kepada persoalan ini sekali lagi memerlukan panduan ilmu semasa tentang sains pemakanan. Ia bukan persoalan tentang prinsip, tetapi aplikasi.

Dari segi prinsip jelas, iaitu apa yang berasal daripada yang halal hukumnya halal. Sebaliknya pula yang berasal aripada yang haram hukumnya haram.Tulisan ini bukan bertujuan untuk menghuraikan hokum makan ulat buah atau ulat sagu atau telur penyu. Sebaliknya ia bertujuan untuk memperkatakan tentang perubahan hukum akibat daripada perubahan hakikat keilmuan. Dalam bahasa Usul Fiqah, iaitu kaedah penyelidikan hukum Islam, hakikat keilmuan ini termasuk dalam ‘uruf yang diterima sebagai sumber pelengkap kepada hukum Islam. ¤

 

       Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi 

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

_________________________________________________________________

 

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Dilahirkan di Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Maa’had Muhammadi Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Akademi Islam Universiti Malaya. Mendapat sarjana dari Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah, dan University of Kent, England dalam bidang Pengajian Asia Tenggara, dan Ph.D dari Universiti Malaya dalam bidang Syariah. Pernah menjawat Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya dan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kini sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah menghasilkan 23 buah buku dan menyumbang artikel dalam 22 buah buku.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas