Menu

 

A+ A A-

FIQAH PELIHARA HAIWAN

Memerhatikan trend terkini, masyarakat kita sedang mengembangkan perhatian kepada haiwan peliharaan. Jika sebelumnya, orang Islam hanya memelihara kucing dan ikan, pada masa ini kita melihat anak-anak muda yang suka memelihara haiwan-haiwan eksotik seperti sugar glider, hamster, iguana dan guinea pig. Bahkan ada juga yang cuba-cuba memelihara haiwan berbahaya seperti ular dan labah-labah.

Sebagai Muslim, kita mesti merujuk kepada Islam dalam setiap perilaku kita. Maka dalam soal pemeliharaan haiwan juga tidak terkecuali. Cinta kepada haiwan mesti terikat dengan hukum Islam. Ia tidak boleh dikaitkan dengan perasaan hati yang sangat subjektif. Sikap sebegini boleh membuka ruang untuk menentang hukum-hukum Allah sama ada secara sengaja atau tidak.

Hukum Pelihara Haiwan

Saya sangat suka kepada haiwan. Bolehkah ustaz sebutkan prinsip-prinsip umum dalam memilih haiwan yang boleh dijadikan peliharaan dan yang tidak boleh?

Jawapan :

Asal hukum memelihara haiwan terdapat dalam hadis Nabi s.a.w. tentang kucing. Sabda Baginda maksudnya: “Sesungguhnya ia bukan najis. Ia hanyalah termasuk daripada haiwan-haiwan yang suka berkeliaran bersamamu.” (Riwayat Abu Dawud)

Daripada hadis ini kita boleh merumuskan bahawa sifat utama haiwan belaan mestilah suci dan tidak membahayakan. Selain itu, haiwan itu juga mestilah bermanfaat secara syarak. Rasulullah sendiri sangat mencintai kuda sebab ia haiwan yang boleh digunakan untuk berjihad. Begitu juga unta dan keldai, sebab kedua-duanya boleh menjadi kenderaan.

Adapun haiwan yang najis dan berbahaya, begitu juga haiwan-haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia tidak boleh dibela walau secomel manapun rupanya. Sebab membela haiwan-haiwan ini dikira melanggar perintah Islam.

HUKUM HAIWAN DALAM ISLAM

 hukum haiwan

Perasaan Haiwan

Dalam Islam, adakah haiwan memiliki perasaan?

Jawapan :

Ya. Islam mengiktiraf perasaan yang dimiliki haiwan. Jiwa mereka memang lebih rendah daripada manusia, namun mereka punya perasaan. Mereka merasakan sakit, lapar, takut, suka dan lain-lain. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan berlaku ihsan kepada haiwan dan tidak memperlakukannya dengan kejam.

Ya‘la bin Murrah menceritakan kisah seekor unta yang datang kepada Nabi dengan berlinangan air mata. Rasulullah bertanya: “Di mana pemilik unta ini? Ia mengadu kepadaku banyaknya kerja dan sedikitnya makanan yang diberikan kepadanya. Berbuat baiklah kepadanya.” (Riwayat Ahmad)

Perhatikan pula arahan para ulama berkenaan dengan berbuat ihsan kepada haiwan:

1.Jangan menyembelih haiwan di hadapan haiwan yang lain.

2.Jangan mengasah pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih.

3.Jika seekor kucing atau anjing sedang memakan sesuatu, maka tidak boleh merebut makanan itu daripadanya melainkan makanan itu milik seseorang.

Semua ini dapat kita temukan dalam kitab-kitab fuqaha.

Belanja untuk Haiwan

Saya berhasrat untuk membela seekor kucing parsi. Namun menurut teman saya, kos penjagaan bulannya sekitar RM200. Itu pun tidak cukup sebenarnya. Sekali fikir macam tidak patut pula. Apa nasihat ustaz?

Jawapan :

Berbuat ihsan kepada haiwan peliharaan satu tindakan terpuji. Hukum ini berubah menjadi wajib apabila haiwan tersebut dikurung sehingga tidak dapat mencari makanan sendiri. Pada saat itu, pemiliknya mesti menyediakan semua keperluannya seperti makan, minum dan lain-lain.

Berkata Ibn Hajar al-Haitami dalam Fatawa: “Disunatkan untuk bermurah hati kepadanya (kucing). Dan wajib atas pemiliknya memberi makan kepadanya jika ia tidak dapat mencari sendiri makanannya.”

Namun begitu, hendaklah perbelanjaan untuk haiwan ini dalam had yang berpada. Jangan terlalu berlebih dengan mencarikan makanan yang mahal, membuatkan sangkar yang mewah dan sebagainya. Perbuatan berlebihan seperti ini dikhuatiri termasuk dalam pembaziran yang terlarang. Apalagi jika dalam masa yang sama ada anggota keluarga atau jiran tetangga yang memerlukan bantuan kita.

Berbuat ihsan dan bersedekah kepada haiwan memang terpuji. Namun berbuat ihsan dan bersedekah kepada manusia yang memerlukan lebih terpuji.

Tanggung Jawab Pemilik

Saya ada seorang jiran yang memelihara kucing. Masalahnya kucingnya membuang najis merata-rata. Beberapa kali saya sendiri terpijak najisnya ketika hendak ke masjid. Apa hukumnya membela haiwan hingga mengganggu keselesaan orang lain?

Jawapan :

Perbuatan seperti ini tentu sahaja tidak elok dari sudut hukum dan akhlak. Secara prinsipnya, pemilik haiwan peliharaan berkewajiban memastikan haiwan peliharaannya tidak mengganggu orang lain. Apabila haiwan tersebut menyebabkan kerosakan atau kerugian pada orang lain, maka pemiliknya bertanggungjawab atas perkara tersebut.

Berkata Taqiyudin al-Hisni dalam Kifayat al-Akhyar: “Menurut pendapat yang sahih, jika seseorang memiliki seekor kucing yang suka menangkap burung dan membalikkan kuali, lalu kucing itu merosakkan barangan orang lain, maka pemiliknya wajib menanggung ganti rugi sama ada hal itu berlaku pada waktu malam ataupun siang.

“Ini kerana kucing seperti ini sepatutnya diikat dan dikurung. Begitu juga hukum haiwan-haiwan yang suka mengganggu. Namun, jika kucing atau haiwan itu tidak memiliki sifat kebiasaan seperti itu, maka tidak ada kewajipan ganti rugi mengikut pendapat yang rajih. Sebabnya makanan biasanya mesti dijaga, bukan kucing mesti diikat.”

Namun begitu, saudara sangat dianjurkan untuk tidak mengambil pendekatan hukum. Bawalah berbincang dengan semangat ukhuwah dan kejiranan, insya- Allah masalah ini dapat diatasi dengan baik.

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas