BIAR AURAT TERBUKA, ASALKAN SOLAT TERJAGA
- Ditulis oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
- Kategori Hukum
- Read 12088 times
SAYA beranggapan bahawa apa guna bertudung tetapi tidak ikhlas? Bukankah itu dinamakan munafik? Saya tidak mahu hipokrit dan berubah kerana disuruh.
Jawapan :
Pertama sekali sama-sama kita fahami bahawa Allah s.w.t. mengarahkan Muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung. Maka sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap wajib di sisi Allah untuk melaksanakan kewajipan itu.
Contohnya ada seorang pemandu warganegara Malaysia yang tidak berhemah menetap di United Kingdom (UK). Dia terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana pemandu di UK amat berhemah. Sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain. Malah ada kalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.
Maka pemandu yang asalnya brutal di Malaysia, terpaksa berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau sebagainya. Hakikatnya, dia mesti berubah kerana itu ialah peraturannya. Mengabaikannya akan memudaratkan diri sendiri dan pemandu lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu peraturan agama Islam. Mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain. Setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut!
Pendek kata hipokrit bukanlah penghalang untuk mengerjakan semua kewajipan agama sama sekali.
Usah Gandakan Dosa
Dalam apa jua keadaan, semua arahan dan larangan Islam wajib dipenuhi sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Selebihnya dia perlu terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan tuntutan itu. Seseorang itu akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Jika dia melaksanakan tuntutan itu, maka tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahir. Dengan kata lain, dia hanya berdosa kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas.
Namun jika dia enggan melaksanakan tuntutan agama atas apa sahaja alasan, maka dia berdosa dua kali ganda. Dosa itu pula akan berganda ganda lagi apabila menjadi penyebab kepada maksiat lain. Contohnya apabila ada mata lelaki bukan mahram yang melihat auratnya, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun orang yang menutup aurat tadi biarpun tidak ikhlas, paling kurang dia terselamat daripada penggandaan dosa ini.
Kesimpulannya, tanggapan ingin berubah hanya apabila ikhlas dan tidak mahu hipokrit itu semuanya hanya bisikan syaitan. Sengaja berterusan dalam dosa, besar kemurkaan Allah padanya.
Bertudung Tidak Berakhlak
Namun semua kawan yang menutup aurat yang saya kenali di pejabat bukannya baik akhlaknya. Mereka tidak segan silu keluar makan, bersentuhan dan bergurau senda bersama rakan sekerja lelaki. Memanglah mereka bertudung tetapi dalam masa yang sama berbaju kebaya ketat, berkain belah atau berseluar sendat. Setidak-tidaknya saya tidak suka cara dan terbabit sama dalam pergaulan mereka. Saya sentiasa ke pejabat dengan berbaju kurung.
Jawapan :
Nampaknya saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak golongan bertudung itu. Pada asasnya semua wanita yang bertudung yang saudari nyatakan itu sebenarnya tidak menutup aurat. Maka adalah salah saudari menganggap mereka sebagai golongan menutup aurat tetapi berakhlak buruk. Hakikatnya mereka memang tidak menutup aurat. Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah salah untuk merujuk kepada mereka dalam menetapkan pendirian sama ada saudari sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.
Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia ialah teknik syaitan untuk menghentikan seseorang daripada melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik. Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.
Rasulullah berpesan, maksudnya: “Dua perkara yang sesiapa dapat memperolehnya, maka akan dicatatkan bahawa dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar. Sesiapa yang gagal, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar.
“Iaitu sesiapa yang menilai agamanya dengan melihat mereka yang jauh lebih baik daripadanya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang daripadanya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperoleh.” ( Riwayat al-Tirmizi)
Yang Penting Jaga Solat
Seperkara lagi, biarpun tidak bertudung, saya amat menjaga solat. Saya tidak akan dan tidak pernah sengaja meninggalkan solat. Namun saya melihat ada juga rakan sepejabat yang bertudung tetapi solat pun tidak. Bukankah tidak menutup aurat tetapi menjaga solat itu lebih baik berbanding menutup aurat tetapi tidak solat?
Jawapan :
Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku. Namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun untuk melakukan dosa. Solat itu juga akan mendorongnya untuk tidak melengahkan daripada menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.
Jika saudari tetap berterusan mendedahkan aurat dalam masa yang sama menunaikan solat, ini bermakna solat saudari juga bermasalah. Namun janganlah pula mengatakan: “Kalau begitu, saya tidak mahu solat kerana tak mahu hipokrit!”
Jadi saudari mesti buktikan kepada diri bahawa solat saudari yang terjaga itu benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Seharusnya jika ia benar-benar sebuah solat hakiki, saudari akan terbuka hati untuk segera menutup aurat. Saudari tidak akan terkesan dek perangai buruk mereka yang bertudung.
Tambahan pula saudari mesti segera keluar daripada kelompok individu yang saudari sendiri benci. Ini kerana pada pandangan agama, orang yang menutup aurat tetapi tidak solat atau berperangai buruk itu sama sahaja mereka yang solat tetapi tidak menutup aurat! Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.
Sama-sama kita menginsafi diri bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba. Tiada sesiapa pun mendapat sebarang jaminan bahawa umur masih panjang biarpun buat sehari dua. Maka kebaikan dan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan. Kelak kita tidak akan kempunan di hadapan Allah.
Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini. Saya juga doakan saudari untuk segera berhijrah ke arah kebaikan. Sama-sama kita berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.
Wallahu a‘lam.
Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.