Menu

 

A+ A A-

INGAT,LUPA ATAU TAKUT MATI?

Dalam Islam kita tidak disuruh untuk takutkan mati. Sebaliknya kita disaran untuk selalu mengingati mati. Demikian itu adalah anjuran Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadisnya. Antaranya, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

 “Cukuplah kematian itu sebagai peringatan.”

Daripada Ibnu Umar, bertanya seorang Ansar kepada Rasulullah, “Wahai Nabi Allah, siapakah orang yang paling cerdik dan paling teguh?”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mereka yang banyak mengingati mati dan bersedia untuknya, mereka itulah orang yang cerdik.” (Kitab Baghyatul Haris, vol.1) 

Berdepan dengan “isu” kematian, kita dapat lihat manusia umumnya boleh dikategorikan kepada tiga:

  • Orang yang lupa mati.
  • Orang yang takut mati.
  • Orang yang ingat mati.

 

Nasihat Nabi s.a.w. dengan sabdanya:

“Ingatlah mati! Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya,

kalau kamu tahu apa yang aku ketahui, tentulah kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”

Orang yang lupa mati

Orang yang begitu benci dengan kematian, akan cuba melupa-lupakannya agar dia dapat terus bergembira dengan kehidupannya. Mati baginya seolah-olah tidak perlu difikirkan sangat. Soal dosa dan pahala dianggap remeh, dan amat mengganggu dalam usahanya untuk meraih kenikmatan dan kesenangan duniawi.

“Kalau asyik ingat mati sahaja, macam mana kita nak maju dan nak berjaya?” Begitulah antara dakwaan yang biasa kita dengar daripada lidah mereka. Itulah prinsip songsang yang dijadikan pegangan hidup mereka.

Mereka akan ingat mati, hanya apabila mereka ditimpa sakit tenat atau mengalami kemalangan. Itupun bukan kerana memikirkan nasib dirinya yang akan “meninggalkan” dunia, tetapi lebih dibimbangkan nasib ahli keluarga dan dunia yang akan “ditinggalkan”. Siapa yang akan menjaga isteri, anak-anak, saham, syarikat atau perniagaannya?

Dia bukan bersedih kerana perjalanan panjang yang bakal dilaluinya di hadapan (akhirat), tetapi bersedih dengan perjalanan yang bakal ditinggalkannya di belakang (dunia). Padahal jika dia sedari apa yang akan dihadapinya selepas mati, pasti dia akan menangisi nasib dirinya, sendiri bukan orang lain!

Sikap lupa mati ini disebabkan keyakinan (iman) yang amat tipis kepada Allah dan hari Akhirat. Lingkungan fikiran mereka hanya sebatas persoalan material dan fizikal. Alam roh, alam barzakh, akhirat, mahsyar, syurga atau neraka yang tidak terjangkau oleh pemikiran, dinafikan. Apabila diperingatkan tentang kematian, mereka mencebir dan mencemik, “Kalau ingat mati sahaja, bila hendak maju?”

Pada satu hari Rasulullah s.a.w. pergi ke masjid, tiba-tiba ada sekelompok orang ramai sedang asyik bergurau dan ketawa, lalu baginda bersabda: “Ingatlah mati! Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, kalau kamu tahu apa yang aku ketahui, tentulah kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”

Mengenai nasib golongan yang lupa mati, pernah suatu ketika sahabat bertanya Baginda keadaan seseorang yang selalu disebut-sebut namanya. Mereka sering memuji lelaki tersebut di hadapan Rasulullah s.a.w. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. bertanya, “Bagaimana temanmu itu dalam soal mengingati kematian?” Mereka menjawab, “Kami hamper tidak pernah mendengarnya mengingati mati.” Rasulullah s.a.w. lantas bersabda: “Sesungguhnya temanmu itu tidak ada di sana (kebaikan).”

Orang yang takut mati 

Golongan ini ingat mati, namun kesan ingatan itu sangat negatif. Mereka bukan mendapat “peringatan” dari kematian bahkan ketakutan yang amat sangat. Kematian bagi orang yang takut mati begitu membimbangkan. Mati menjadi trauma yang begitu meresahkan. Mengapa perlu ada mati? Ke mana pergi setelah mati? Alangkah baiknya jika mati itu “mati”?

Mengingatkan kematian menyebabkan fikiran, jiwa, perasaan malah segala anggota badannya menjadi lemah tidak berdaya. Ia jadi murung dan pemenung. Apa yang dibuat serba tidak ceria dan tidak lagi bersemangat untuk hidup dan bekerja. Apa gunanya, nanti semua itu akan ditinggalkan jua? Begitu bisik hati mereka.

Pernah anda bertemu dengan orang yang sakit barah atau sakit kronik yang diramalkan hanya ada beberapa tahun atau bulan untuk hidup? Jika mereka tidak mendapat tarbiah rohaniah yang betul pasti mereka sudah “mati” sebelum mati. Hilang semangatnya untuk menghabisi sisa-sisa nyawa. Hidupnya muram, hilang makna. Dan acap kali jika berterusan begitu mereka mati lebih awal daripada yang dijangkakan!

Takut mati bukan hanya menimpa orang yang mengalami penyakit kronik, malah orang yang sihat juga ramai yang takutkan mati. Akibat jiwa yang mati mereka hidup seperti yang sering disebut dalam pepatah Melayu – hidup segan mati tak mahu. Orang bijaksana juga sering mengungkapkan bahawa si pengecut mati beberapa kali sebelum mati sebenarnya. Manakala orang berani tidak pernah “mati” – the brave never die!

Sikap takutkan mati ini berpunca daripada kurang ilmu tentang kematian. Pepatah Arab ada menyebut, “Manusia menjadi musuh pada apa yang tidak diketahuinya.” Golongan ini memusuhi kematian kerana mereka tidak ada ilmu tentangnya. Orang yang begini takut mati kerana dia tidak tahu ke mana “dirinya” akan pergi selepas mati? Apa perlunya mati itu? Apa yang terjadi menjelang kematian, semasa dan selepasnya?

Jadi, mereka perlu disedarkan bahawa mati itu bukan pengakhiran tetapi hanyalah satu proses perpindahan daripada satu alam ke alam yang lain. Kematian hakikatnya adalah satu proses perpindahan – sama seperti kelahiran. Yang harus “ditakutkan” bukanlah perpindahan itu tetapi apakah bekalan dan persiapan untuknya telah disediakan? 

 wt

Ada juga yang takut mati disebabkan dosa-dosanya. Dia begitu bimbang menghadapi pembalasan  atas segala kejahatan yang dilakukannya. Akibat kalah dalam melawan hawa nafsu, hidup diburu rasa takut bertemu dengan Allah dan pembalasan-Nya. Mereka ini begitu takut menghadapi mahkamah Allah, Hakim yang Maha Adil.

Tidak ada penawar bagi golongan ini melainkan menyegerakan taubat dengan segala syarat-syaratnya. Hanya selepas bertaubat, rasa takut menghadapi kematian itu akan hilang secara beransur-ansur. Bersedialah menghadapi kematian dengan bertaubat atas segala dosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya, “Adakah setiap kamu ingin masuk syurga?” Jawab mereka, “Ya.” Kemudian Baginda s.a.w. bersabda, “Pendekkan angan-anganmu dan malulah kepada Allah.” Mereka (para sahabat) berkata: “Kami telah malu kepada Allah.” Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Demikian itu bukanlah malu sebenarnya. Akan tetapi malu kepada Allah ialah apabila engkau dapat mengingati kubur dan seksanya...”

Orang yang mengingati mati

Ulama Nusantara yang terkenal, Hamka menulis: “Orang yang ingat kematian dengan akal dan hikmahnya, tidak ubah seperti orang yang ingin pergi haji. Selama dalam perjalanannya dia tidak lupa bahawa dia akan menunaikan haji. Dihafal manasik, disediakan bekalan dan belanja, jangan sampai hajinya kecewa.”

Begitulah... Seperti orang yang akan mengerjakan haji. Fikiran tertumpu pada matlamatnya. Tidak banyak was-was dan panjang angan-angan lagi. Masa dirasakan sebagai nyawa yang tidak akan disia-siakan melainkan untuk melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan dan ketaatan. Inilah rahsia mengapa Rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengingati mati.

Ingat mati bukan sesuatu yang pasif dan jumud bahkan sesuatu yang aktif, dinamik dan produktif. Bukan soal kematian itu sahaja yang menjadi fokus tetapi bekalan untuk melalui dan melepasinya itu yang lebih utama. Ini kerana persediaan untuk “hidup selepas mati” adalah dilakukan semasa hidup, yakni sebelum mati.

Alhasil, seseorang yang ingat mati akan melakukan segala sesuatu dengan terbaik. Dia merasakan peluang untuk melakukan kebaikan itu adalah yang terakhir buatnya. Bagaimana perasaan kita sekiranya kita “mengetahui” solat yang akan kita dirikan adalah solat yang terakhir? Atau salam kita dengan ibu itu adalah buat kali terakhir? Apakah kita akan melaksanakannya sambil lewa?

Tentunya kita akan laksanakannya dengan terbaik. Justeru, Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya, apabila hendak memulakan solat rasakan solat itu yang terakhir seperti sabdanya: “Lakukan solat kamu seolah-olah solat yang terakhir.”

Dengan semangat itulah, baginda dan para sahabatnya sentiasa solat dalam keadaan yang terbaik, setiap masa, setiap ketika, di mana jua, hanya kerana merasakan mati boleh datang tiba-tiba!

Sehubungan dengan itu, Dr. Yusuf Qaradhawi menjelaskan bahawa antara tanda seseorang itu beriman dan mempunyai sifat kasih sayang ialah mencintai mati. Katanya: “Orang beriman bukan mencintai hidup sebagai cinta orang yang tamak kepada harta benda dunia, yakni cinta orang yang takut menemui kematian dan menghantarnya ke liang lahad, tetapi ia mencintai hidup supaya dapat menegakkan kewajipan kepada Allah di muka bumi dan mencintai mati kerana kematian itu akan membawanya segera menemui Tuhan.”

Itulah, tiga golongan dalam menghadapi kematian.

Soalnya, di mana kita? Syaitan laknatullah sentiasa menipu manusia lebih-lebih lagi dalam soal kematian. Salah satu caranya ialah dengan menipu daya ingatan manusia yang kononnya kematian masih jauh.

Dalam kitab Ihya Ulumuddin, dinukilkan seorang pemuda yang taat telah ditipu oleh syaitan bahawa detik kematiannya masih jauh.Pemuda itu dihasut untuk melakukan kejahatan terlebih dahulu, dan kemudian barulah bertaubat, sebelum saat kematiannya tiba. Pemuda itu pun mula melakukan kejahatan. Tiba-tiba, kematian datang tiba-tiba, dan dia mati dalam melakukan kejahatan tanpa sempat bertaubat.

Betapa ramai manusia yang lalai dengan angan-angan dan menganggap mati masih jauh. Padahal di hadapan mata sering kali berlaku bahawa kematian datang tiba-tiba. Sakit, tua, kemalangan adalah antara beberapa penyebab kematian. Namun, di sisi Allah, masih terlalu banyak perkara yang boleh menyebabkan kematian.

Contohnya, bencana alam. Berapa ramai orang yang sihat, masih muda dan kuat, mati akibat bencana tsunami, letusan gunung berapi, bah besar, gempa bumi dan sebagainya? Begitu juga dengan wabak penyakit yang menyerang tiba-tiba. Influenza A, Selsema Burung, Chinkunkunya (sekadar menyebut beberapa contoh), seharusnya semakin menyedarkan kita bahawa mati itu datang tiba-tiba.

Menyedari bahawa mati boleh datang tiba-tiba itu adalah satu kaedah untuk melembutkan hati. Kata Imam al-Ghazali: “Carilah hatimu di tiga tempat… Carilah hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Safiyah berkata, “Seorang wanita berkata kepada Aisyah r.ha. mengenai hatinya yang keras. Kemudian Aisyah menjawab, ‘Banyak - banyaklah mengingati mati, tentu hatimu akan lembut.’ Wanita itu lalu melakukannya, hingga hatinya jadi lembut dan dia datang lagi mengucapkan terima kasih kepada Sayidatina Aisyah r.ha.

Mudah-mudahan kita dapat menteladani para salafussoleh yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Mudah-mudahan mati sentiasa “hidup” di hati kita!

tt 

 

 

 

Pahrol Mohamad Juoi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas