Menu

 

A+ A A-

MALU DALAM IMAN

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:
“rasulullah s.a.w. telah bersabda: ‘malu itu sebahagian daripada kesempurnaan iman dan iman (pada seseorang) itu berada di dalam syurga. Percakapan yang buruk itu pula termasuk daripada kekasaran dan kekasaran itu berada di dalam neraka.’” - (riwayat at-tirmizi)

Malu yang dituntut
Sikap malu merupakan salah satu perlakuan yang biasa dilihat oleh semua orang. Ia merangkumi pelbagai ragam: malu kerana sesuatu perkara, malu bertanya, malu terhadap seseorang dan sebagainya. Malah, ia turut diiktiraf oleh agama islam berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. di atas. Bukan itu sahaja, sikap malu ini akan memasukkan diri seseorang ke dalam syurga Allah s.w.t. Mengapa? Kerana malu itu dikira sebahagian daripada kesempurnaan iman.

MALU

Tetapi, tidak semua orang yang bersikap dengannya dapat menggambarkan bahawa dia adalah seorang Mukmin yang sebenar. Hanya mereka yang mengetahui cirinya yang sebenar dapat mengamalkannya mengikut panduan Nabi s.a.w. Bagindalah contoh yang paling terbaik ke arah membentuk peribadi seorang Mukmin. Maka, para ulama memberikan takrifan yang selayaknya bagi sifat malu ini di sisi syarak iaitu: ‘suatu tabiat yang timbul di dalam diri untuk menjauhi perbuatan buruk dan menghalang seseorang daripada mencuaikan hak orang lain.’

Kepada siapa perlu malu?
Jika sikap malu ini dapat difahami dan dipraktikkan dengan sebaiknya, sudah tentu ia akan mengawal seseorang daripada segala perbuatan buruk dan keji. Inilah gambaran yang terbaik dalam menyatakan kesempurnaan iman seseorang. Bukanlah maksud hadis di atas menunjukkan seseorang yang tidak bersikap dengan malu itu tidak mempunyai iman. Namun, imannya masih belum sempurna dan perlu diperbaiki melalui pelbagai cara. Di dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “iman itu mempunyai 70 cabang dan lebih, dan malu adalah satu cabang daripada iman.”

Kepada siapa pula perlu malu? Inilah persoalan yang sering membuatkan ramai orang cuba mentafsirkan malu ini dengan pandangan yang salah. sebenarnya, ia mempunyai tiga bahagian iaitu:
• Malu kepada Allah s.w.t.;
• Malu kepada manusia yang lain; dan
• Malu kepada diri sendiri.

Malulah kepada Allah s.w.t. dengan cara mengamalkan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Malulah kepada manusia di sekeliling kamu dengan cara tidak menyakiti mereka dan meninggalkan perbuatan buruk terhadap mereka. Malulah kepada dirimu sendiri dengan cara menjaga kehormatan diri dan memeliharanya. Maka, seseorang itu dapat merasai kemanisan iman yang dijanjikan oleh wahyu ilahi.

Percakapan keji yang dilarang
Secara kontra, sikap malu sangat bertentangan dengan perbuatan buruk dan salah satunya adalah menggunakan percakapan yang keji. Ia sangat banyak, contohnya seperti menipu, mengumpat, mencarut dan sebagainya yang dikenali melalui pertuturan yang menyakitkan hati orang lain. Mereka yang sudah terbiasa dengannya, cubalah untuk mengubahnya. Takut-takut Allah s.w.t. akan menjadikan dosa lidah ini sebagai sebab yang menempatkan pelakunya di dalam Neraka. Selain itu, akhlak dan perangai yang buruk turut termasuk dalam maksud hadis riwayat Abu Hurairah ini. Memang sesuai jika ia dipadankan dengan balasan yang buruk juga iaitu neraka Allah s.w.t. Jika seseorang berada di dalamnya untuk sementara waktu sahaja, ia sudah cukup derita dan sangat menyeksakan. Maka, lawanlah ia dengan akhlak yang baik. Bukan setakat malu, tetapi ia merangkumi pada segala perbuatan, percakapan, dan amalan hati manusia.

MALU 3

Malu Yang Bukan Malu
Malu itu baik, namun janganlah ia dipukul rata ke dalam semua tindakan kita. inilah contoh yang diberikan oleh para ulama terhadap malu yang bukan malu. Contohnya, seseorang itu malu untuk menyatakan kebenaran atau malu bertanya di dalam pelajaran. Akhirnya, dia tidak dapat melakukan kebaikan lain disebabkan sikap malunya ini. Dia tidak dapat mengajak orang lain kepada perkara yang baik, tidak dapat menegahnya daripada perkara yang buruk dan menyebabkan suatu ilmu itu sukar diperolehi. Benarlah kata pepatah, “Malu bertanya sesat jalan.”

Memahami kembali maksud hadis, malu itu termasuk sebahagian daripada iman. Apabila iman seseorang bertambah, maka dia akan mudah dan senang untuk melakukan kebaikan. Tindakannya akan mengarah kepada meninggalkan perbuatan keji dan mungkar. Maka, manfaatnya juga akan menimpa orang lain yang berada di sekelilingnya.

Oleh itu, layakkah malu yang bukan malu ini dikira sebagai malu? sudah tentu tidak. semoga kita diberikan kekeuatan oleh Allah s.w.t. untuk mengikut jejak langkah Baginda s.a.w. yang mulia ini.

Nabi s.a.w. bersabda:
“IMAN ITU MEMPUNYAI 70 CABANG DAN LEBIH, DAN MALU ADALAH SATU CABANG
DARIPADA IMAN.” { Riwayat al-Bukhari }

Pengajaran:
1 Sikap malu akan melahirkan tindakan yang berlandaskan kepada agama Islam.
2 Hubungan sesama manusia akan menjadi baik melalui sikap malu ini.
3 Balasan baik dan buruk seseorang dinilai melalui akhlaknya.

MALU 2

 

Oleh Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

 

 

 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas