Menu

 

A+ A A-

TANGISAN YANG MEMBAWA KEREDAAN

MAFHUM hadis Nabi s.a.w. tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat, yang mana tiada naungan lain selain naunganNya; salah satunya ialah orang yang mengingati Allah s.w.t. seorang diri hingga mengalir air matanya.

Setiap manusia dikurniakan kemampuan untuk menangis. Manusia pasti menangis dalam hidupnya dan ia berlaku kerana pelbagai sebab dan punca. Ada yang menangis kerana terlalu sedih dan ada pula sebaliknya menangis kerana terlalu gembira.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyad al-Salihin telah mengkhususkan satu bab khas untuk “Kelebihan Menangis kerana Takut dan Rindu kepada Allah”.

Beliau membuka bab ini dengan dua ayat al-Quran iaitu ayat 109 daripada surah al-Isra’ yang bermaksud: “Dan mereka menundukkan kepala lalu menangis. Maka itu menambah khusyuk pada diri mereka.” Ayat kedua ialah ayat 59 dan 60 daripada surah al-Najm yang bermaksud: “Apakah dengan mendengar al-Quran ini mereka hairan? Lalu mereka ketawa dan tidak menangis?” Terdapat banyak lagi ayat-ayat lain yang menyentuh mengenai kelebihan tangisan kerana takutkan Allah s.w.t.

Seterusnya Imam al-Nawawi menyebutkan sejumlah 11 buah hadis berkaitan tangisan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Saya ingin membawa pembaca melihat sebahagian daripada hadis tersebut, lantaran ruang yang terhad dalam artikel ini.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, diceritakan oleh seorang sahabat Nabi, Abdullah bin Mas’ud. Beliau menceritakan, suatu hari Rasulullah s.a.w. datang kepadanya dan menyuruh beliau membacakan ayat-ayat al-Quran. Abdullah bin Mas’ud kehairanan lalu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah aku perlu membacakannya untukmu sedangkan al-Quran itu diturunkan kepadamu?”

Maka Rasulullah s.a.w. membalas: “Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang selainku.” Maka beliau membacakan untuk Rasulullah s.a.w. beberapa ayat daripada surah al-Nisa’. Apabila sampai kepada ayat 41 yang bermaksud: “Maka bagaimanakah keadaannya apabila Kami mendatangkan daripada setiap umat itu (di akhirat) dengan seorang saksi dan Kami membawamu (wahai Muhammad) sebagai saksi kepada mereka semua”, maka ketika itu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abdullah bin Mas’ud: “Cukuplah setakat ini.”

Lantas Abdullah bin Mas’ud berpaling ke arah Rasulullah s.a.w. lalu kelihatan air mata suci Baginda mengalir menangisi dan menghayati ayat tersebut. Begitulah tangisan kerana mengenangkan keadaan di akhirat. Subhanallah! Alangkah sucinya air mata itu!

Imam al-Nawawi juga membawa hadis lain, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim berkaitan dengan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Antara sabda Baginda dalam khutbahnya itu: “Kalaulah kamu semua mengetahui apa yang aku tahu, pasti sedikit ketawamu dan banyak tangisanmu.”

Maka ketika itu, Anas Bin Malik (salah seorang sahabat dan pembantu Nabi) berkata:

“Para sahabat ketika itu telah menutup wajah mereka dan menangis teresak-esak.” Begitu sekali kefahaman para sahabat dalam menghayati pesanan tersirat daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Bolehkah kita mencontohi mereka?

Sebuah lagi ialah hadis yang masyhur dan diketahui ramai, juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Dalam hadis ini Baginda s.a.w. telah menceritakan tentang tujuh golongan yang bakal mendapat naungan Allah s.w.t. di akhirat kelak. Bermula daripada pemimpin yang adil, orang muda yang membesar dalam ketaatan pada Allah, seseorang yang sentiasa terpaut hatinya pada masjid, dua insan yang berkasih kerana Allah s.w.t., seorang lelaki yang menolak maksiat sehinggalah kepada seorang lelaki yang ikhlas dalam memberikan sedekah.

Namun, apa yang juga menarik perhatian ialah golongan yang ketujuh iaitu sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Seseorang yang mengingati Allah s.w.t. seorang diri lantas mengalir air matanya.” Inilah orang yang begitu ikhlas mengingati Allah s.w.t. dengan segala kurniaan-Nya, lalu dia insafi pula segala kekurangan dirinya dalam mensyukuri nikmat itu, lalu mengalir air matanya kerana pelbagai emosi; cinta, kasih, malu dan takut kepada Allah s.w.t.

Mampukah kita sampai ke tahap itu?

Dalam sebuah hadis yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam bab ini, yang di riwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, adalah mengenai keadaan Nabi s.a.w. ketika sedang solat. Menurut Anas bin Malik, beliau telah datang pada satu ketika sedang Rasulullah s.a.w. solat sunat dan Anas mendapati Baginda sedang menangis!

Begitulah pengamatan dan penghayatan Baginda s.a.w. terhadap ayat-ayat yang dibacanya ketika solat. Jauh sekali bezanya dengan kita yang ada kalanya tidak faham apa yang dibaca, malah terkadang kita memahaminya tetapi tidak pula menghayati maksudnya!

Kita berdoa untuk diri kita semua semoga kita dikurniakan nikmat yang tidak terhingga ini – nikmat tangisan kerana mengingati Allah s.w.t., takut dan cinta serta kasih kepada-Nya. Sesungguhnya tangisan sebegini tidak sia-sia dan tidak terbuang begitu sahaja. Tangisan inilah yang akan menyelamatkan kita di dunia ini malah ia sudah pasti ada harganya di negeri yang kekal abadi, akhirat tempat kembali. ¤

 

 

Ustaz Adlan Abd Aziz

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 6

 


 

Ustaz Adlan Abdul Aziz

Lulusan Ijazah dalam bidang Pengajian Bahasa Arab, Universiti Al al-Bayt, Jordan. Mendapat ijazah penyampaian hadis bersanad dari Muhaddis Jordan terkemuka, Al-Arnaut. Kini berkhidmat sebagai guru di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kembali ke atas