Menu

 

A+ A A-

BEZA HADIS DAN SUNNAH

USTAZ, saya kurang faham, adakah makna hadis dan sunnah itu berbeza? Yang mana satukah harus dijadikan panduan dan ikutan?

Hadis dan sunnah berasal daripada sumber yang sama iaitu Rasulullah s.a.w. perbezaannya adalah penggunaan istilah dalam kalangan ulama yang berlainan bidang. Kita boleh lihat perbezaan dan persamaannya melalui takrif berikut:

Sunnah menurut bahasa >> Jalan yang dilalui sama ada terpuji atau tidak; juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sungguh, kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dab (serupa binatang biawak) nescaya kamu memasukinya juga.” (Riwayat al-Bukhari)

Sunnah menurut istilah >> ahli hadis adalah sama dengan istilah yang digunakan bagi hadis. Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul: Segala yang dipindahkan daripada Nabi s.a.w. selain al-Quran, sama ada perkataannya dan perbuatannya, mahupun takrir (perakauan)nya yang bersangkutan dengan hukum.

Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya; iaitu Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.” (Riwayat Imam Malik)

Manakala huraian pengertian hadis menurut istilah dan bahasa adalah seperti berikut:

Bahasa

Ada tiga iaitu yang baharu, perkhabaran dan yang dekat atau yang belum lama.

Istilah

Ahli hadis: Segala ucapan Nabi, perbuatan dan keadaannya.

Keadaan yang dimaksudkan adalah segala yang diriwayatkan dalam buku sirah seperti hal keputeraan Baginda, tempat dan segala yang berhubungan dengan Baginda. Pengertian ini sama seperti pengertian sunnah menurut istilah golongan ahli hadis. Tetapi pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul fiqh. Kelainan ini kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan mereka tinjau.

Ulama usul membahaskan Rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup (dustur al-hayat). Maka, mereka memperhatikan segala tutur kata Rasul, perbuatan Baginda dan takrir Baginda, iaitu pengakuan-pengakuan yang bersangkutan dengan perkara penetapan hukum. Wallahu a‘lam.

Bolehkah ustaz cuba berikan beberapa contoh jenis-jenis sunnah; supaya saya lebih mudah memahaminya?

Sunnah itu secara umumnya terbahagi kepada tiga iaitu: Perkataan (qauliyyah), perbuatan (fi’iliyyah) perakuan (taqririyyah).

1 Contoh sunnah (hadis) perkataan (qauliyyah) ialah sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Segala amal itu dengan niat.” (Riwayat Bukhari, Muslim)

2 Contoh sunnah (hadis) perbuatan (fi’iliyyah) ialah: Rasulullah saw bersolat kemudian Baginda bersabda, maksudnya: “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3 Contoh hadis (sunnah) perakuan (taqririyyah). Taqrir ialah:

[A] Nabi SAW membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredhaannya; Contohnya ialah sebagaimana Nabi s.a.w. membenarkan ijtihad para sahabat mengenai urusan sembahyang Asar di Bani Quraizah dengan sabdanya yang bermaksud: “Jangan bersolat Asar seorang kamu melainkan di Bani Quraizah.” (Riwayat Bukhari).

beza-hadis-sunnah-1

Sebahagian sahabat memahami perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu menta’khir (melewatkan) solat Asar. Dan ada sebahagian yang lain tidak memahami demikian, mereka memahamkan bahawa yang dimaksudkan nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu mereka mengerjakan solat Asar pada waktunya, sebelum tiba di Bani Quraizah. Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada Nabi s.a.w. beritanya, dan Nabi s.a.w. hanya berdiam diri tidak membantah apa-apa.

[B] Menerangkan kebaikan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.

Contohnya sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Khalid bin al-Walid pernah memakan dab (sejenis haiwan seperti biawak) kemudian dikemukakan orang kepada Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. sendiri enggan memakannya, maka sebahagian sahabat bertanya: “Adakah diharamkan memakannya wahai Rasulullah?” Lalu Baginda bersabda: “Tidak! cuma binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar kepadanya.”

Sementara itu ulama fiqah berpendapat, bahawa suatu yang diterima dari Nabi s.a.w. dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah. Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah bidaah, seperti; talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan: talak bid’ah.

Ulama Syafi‘e mengatakan bahawa sunnah itu ialah suatu yang diberi pahala orang yang mengerjakannya, tidak berdosa orang yang meninggalkannya. Menurut ulama mazhab Hanafi, sunnah itu ialah suatu yang disunnahkan Nabi s.a.w. atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti azan dan berjemaah. Wallahu a’lam.

Dr Abdul Basit Abd.Rahman


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas