Menu

 

A+ A A-

PILIHLAH UNTUK BERSABAR DAN BERSYUKUR

DIRIWAYATKAN daripada Suhaib, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: “Saya benar-benar kagum terhadap keadaan seorang yang beriman. Sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan perkara itu tidak akan berlaku kepada seseorang melainkan hanya kepada orang yang beriman. Jika dia mendapat kegembiraan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar dan itu juga baik baginya.” - (Riwayat Muslim).”

Mukmin yang mendapat perhatian

Dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. telah menzahirkan kekaguman Baginda terhadap urusan seorang Mukmin yang sentiasa tenang menghadapi segala perkara dalam hidupnya. Bukan sekali dua ia terjadi, bahkan banyak riwayat lain yang menunjukkan Baginda s.a.w. mengagumi peribadi seseorang disebabkan perbuatannya.

Antaranya seperti pertanyaan Nabi s.a.w. kepada Bilal tentang amalannya apabila Baginda mendengar tapak kaki Bilal sedang berjalan di dalam syurga. Maka, ia menjadi panduan kepada kita bahawa kagum kepada seseorang dalam perkara kebaikan dibenarkan selagi tidak berlebih-lebihan.

Sama juga dengan kandungan hadis ini, seorang Mukmin yang menganggap semua perkara yang dilaluinya sama ada baik ataupun buruk sebagai kebaikan, itu sangat menarik perhatian Nabi Muhammad s.a.w. Individu ini telah membuktikan keimanan yang mantap melahirkan jiwa yang tidak pernah resah dengan musibah yang melanda. Apatah lagi jika dia beroleh nikmat dan kurniaan daripada Allah s.w.t., pasti dirinya bersyukur dan terus bersemangat untuk mengabdikan diri kepada Penciptanya.

Kegembiraan bersambut syukur

Semua manusia pernah melalui pelbagai peristiwa yang menggembirakan. Kadang-kadang, mereka menceritakan kegembiraan ini kepada individu di sekelilingnya sebagai satu kepuasan. Malah, boleh jadi orang yang mendengarnya lebih gembira ketika mendengar khabar tersebut.

Ia dapat digambarkan seperti kegembiraan ibu bapa terhadap kejayaan anaknya dalam peperiksaan, kegembiraan seorang guru terhadap muridnya hasil didikan dan pengajaran ilmu yang disampaikan dan sebagainya.

Kadangkala, kegembiraan ini juga menyebabkan manusia mudah lupa kepada Allah s.w.t. Mereka sanggup meraikannya dengan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah dan menganggapnya sebagai ganjaran yang diperoleh melalui usaha dirinya sahaja. Ia sama seperti sikap takbur Qarun ketika mendapat banyak kekayaan, tetapi mendakwa ia diperoleh dengan kepandaian dan kecerdikan dirinya (rujuk Surah al-Qasas 28: 78).

Akhirnya, Allah s.w.t. menenggelamkannya di dalam bumi bersama-sama hartanya. Inilah sikap yang hilang daripada sebahagian manusia apabila mereka tidak mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan. Berbeza dengan orang yang beriman, ia akan disyukuri dengan melaksanakan pelbagai ketaatan dan ibadah kepada Allah s.w.t.

Sabar dalam semua perkara

Secara umumnya, sabar terbahagi kepada tiga; Sabar melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t, Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan dan kemungkaran. Dan Sabar menghadapi musibah seperti penyakit, bala bencana, dan sebagainya.

Kesemua jenis sabar di atas menunjukkan tabiat manusia yang mudah berasa lemah apabila menghadapi ketiga-tiga jenis dugaan ini. Perasaan malas dan waswas sentiasa mengganggu seseorang yang sedang mengerjakan ibadah kepada Allah s.w.t. syaitan juga turut menimbulkan perasaan suka untuk melakukan maksiat. Jika dia menghadapi musibah, jarum putus asa akan dicucuk bagi memastikan seseorang itu jauh daripada rahmat Allah s.w.t.

Hanya hamba yang bersabar akan mendapat pertolongan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Begitu juga dalam pergaulan bersama manusia di sekeliling, batasan dan panduan syarak perlu dijaga agar ia dapat terbentuk dengan baik dan harmoni. Kadangkala ia dilangkaui sehingga menyebabkan perasaan orang lain terguris, lalu menimbulkan kesan yang tidak baik. Maka, saranan Nabi s.a.w. datang untuk memastikan ukhuwah islamiah terus berkekalan.

Berkenaan hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang Mukmin yang bergaul dengan manusia serta bersabar dengan perbuatan jahat mereka kepadanya lebih utama daripada seorang manusia yang tidak bergaul dengan manusia serta tidak bersabar dengan perbuatan jahat mereka kepadanya.” (Riwayat Ahmad)

 

Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

Sumber artikel daripada majalah Gen Q 7


 

Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas