Menu

 

A+ A A-

SABAR ITU BERSINAR

TERINGAT suatu ketika masuk ke sebuah restoran di Ipoh. Waktu itu pelanggan tidak berapa ramai. Setelah lima minit menunggu tibalah seseorang untuk meminta ‘order’. “Roti canai dan teh ais satu...” pinta saya. Setelah hampir satu jam menunggu barulah ‘order’ tadi sampai. Kalau diikutkan mahu juga ditanya kenapa tak hantar esok saja roti canai ni? Sesudah makan dan bayar, saya melangkah keluar dan terpandang nama restoran itu – ‘restoran sabar menanti’. Hmm… patutlah! Sabar… Sabar!

Dalam satu hadis riwayat Imam Muslim, daripada Abu Malik al-Asya’ari bahawasanya Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Kebersihan sebahagian daripada iman. Alhamdulillah akan memenuhi timbangan. Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi segala yang di langit dan di bumi. Solat itu cahaya. Sedekah itu bukti (iman). Sabar itu sinar. Al-Quran itu hujah bagimu atau ke atasmu. Setiap manusia itu menjadi pembeli jiwanya sendiri sama ada dia mengekalkannya atau memusnahkannya.” Hebatnya sabar. Ia mampu menyinar sesiapa sahaja yang mampu memurnikannya dengan perlaksanaan.

Sabar memberi sinar kepada kegelapan jalan menuju iman. Sabar juga menyinar peribadi dengan akhlak yang mulia dan terpuji.

Namun, untuk bersabar perlu latihan dan kemahiran. Menempuh ujian dan kesusahan. Sabarlah dalam mendengar teguran dan nasihat kerana kita belum faham akibatnya sekarang. Sabarlah menuntut ilmu dan mengutip hikmah kerana kesannya nanti bakal dinikmati. Sabarlah daripada membuat maksiat dan sabarlah ketika mengerjakan taat. Sabarlah… walau rasanya di dunia sepahit jadam kerana pulangannya bukan sesuatu yang biasa-biasa. Balasannya semanis
syurga yang tiada taranya.

Bersabarlah Allah pasti bantu

Renungilah juga hadis riwayat Imam Bukhari, daripada Abu Said al-Khudri r.a. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap kebaikan yang ada pada diriku tidaklah aku sembunyikan daripada kamu. Sesungguhnya sesiapa yang meminta dibantu akan dibantu Allah. Sesiapa yang sedaya upaya cuba bersabar akan diberikan kesabaran oleh Allah. Siapa yang meminta dikayakan dengan kebaikan Allah pasti akan tunaikan. Tiada sesuatu pemberian (hadiah) yang lebih baik dan luas manfaatnya melainkan dari dikurniakan kesabaran.”

Inilah yang kita perlu usahakan. Sesiapa yang cuba bersabar, pasti Allah akan bantu. Cuba perhatikan fakta ini. Kalimah sabar Allah titipkan lebih daripada seratus kali dalam al-Quran. Jika kalimahnya juga banyak, sudah tentu jalan-jalan dan usaha ke arahnya juga pelbagai dan banyak. Carilah kaedah terbaik dalam bersabar.

Pesanan kesabaran

Nabi s.a.w berpesan dalam satu hadis yang panjang kepada ibnu Abbas r.a. Di penghujung pesanan Baginda s.a.w berbunyi: “Ketahuilah bahawasanya bersabar dengan sesuatu yang kamu benci itu punya kebaikan yang sangat banyak. sesungguhnya kemenangan ada bersama kesabaran, jalan keluar ada bagi setiap kesusahan dan bersama-sama kesulitan itu punya kesenangan.” [ibnu Rajab dalam Jami’ al-’ulum wa al-Hikam 1/459]

Termaktub juga dalam sepucuk surat Khalifah umar al-Khattab r.a. kepada Abu Musa Al-Asyaari r.a: “Milikilah sifat sabar. Sifat sabar itu ada dua. sabar yang pertama lebih afdal daripada sabar yang kedua iaitu sabar dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. dan sabar dalam menghadapi musibah. Ketahuilah bahawa sabar itu sangkutan iman (orang yang bersabar akan mendapat iman) kerana kebajikan yang paling utama adalah taqwa dan taqwa hanya dapat dicapai dengan sabar.”

Justeru, ayuh kita praktikkan sabar dalam hidup. Hidup terlalu singkat untuk berkejar-kejaran dan tergesa-gesa. Jangan dikejar dunia dengan rakus dek ketidaksabaran kita. Tunggulah saat nanti untuk kita berkejarkejaran sepuas-puasnya dalam syurga yang luas tak bertepi di akhirat sana dengan sabar yang diusahakan di dunia! Fastaqim dan besabarlah.

 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Gen Q isu 7

 


 

 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas