Menu

 

A+ A A-

SALAM YANG BETUL

DI DALAM kelas bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebentar tadi saya memberitahu mereka: “Sebelum keluar dari kelas hari ni, saya mahu kamu semua tinggalkan ucapan salam yang tidak betul seperti ‘samekum, samukum’ dan lain-lain lagi. Nanti saya akan kutip semua salam yang salah dan songsang itu. Kemudian buang dalam tong sampah! Ingat, sebagai seorang Islam kita wajib mengucapkan salam secara sempurna kerana ia ialah doa dan ucapan ahli syurga.”

Semua pelajar hanya saya lepaskan keluar daripada kelas apabila mereka menyebut lafaz salam yang betul: “Assalamualaikum.” Ucapan salam memiliki adab yang khusus sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Nisa’ 4: 86)

Kesimpulan Dan Pengajaran

1.       Salam yang betul amat penting kerana ia adalah suatu doa dan ucapan ahli syurga. Firman Allah yang bermaksud: “Doa ucapan mereka dalam syurga itu ialah ‘Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan!’ dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah ‘selamat sejahtera’ dan akhir doa mereka ialah ‘segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.’” (Surah Yunus 10:10)

2.       Salam yang tidak betul bakal mengubah makna menjadi amat negatif seperti tindakan Yahudi yang menyebut “Assaamu ‘alaikum” yang bermaksud “mampuslah kamu”. Allah mencela tindakan jahat mereka dengan firman-Nya yang bermaksud: “Antara orang Yahudi ada yang mengubah Kalamullah (isi Kitab Taurat) dari tempat dan maksudnya yang sebenar. Mereka berkata (kepada Nabi Muhammad): ‘Kami dengar’, (sedang mereka berkata dalam hati): ‘Kami tidak akan menurut’. (Mereka juga berkata): ‘Tolonglah dengar, tuan tidak akan diperdengarkan dengan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan): ‘Raaeina’. (tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam.” (Surah al-Nisa’ 4: 46)

 

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.6


Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas