Menu

 

A+ A A-

KIAMAT SEMAKIN DEKAT, RAMAI KEDEKUT SALAM

Salam kepada Orang Tidak Dikenali

UCAPAN salam tidak hanya untuk orang yang kita kenali sahaja. Namun apabila saya memberi salam, kerap juga saya menerima reaksi negatif daripada mereka. Mereka menunjukkan rasa sangsi dan pelik terhadap saya. Mengapa hal ini boleh berlaku?

Sememangnya mengucapkan salam ialah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Hukumnya adalah sunat, manakala yang menjawabnya adalah wajib. Istimewanya dalam praktik mengucapkan salam ialah orang yang mengucapkan salam (sekalipun sunat) adalah lebih afdal dan lebih baik pahalanya daripada orang yang menjawabnya (sekalipun ia wajib).

Sebenarnya Rasulullah s.a.w. meletakkan perkara ini dalam senarai tanda-tanda kiamat. Jelas Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat ialah seseorang yang mengucapkan salam kepada orang lain, namun salam tersebut tidak diucapkan melainkan kepada orang yang dikenalinya sahaja.” (Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya menjelangnya hari kiamat nanti, salam hanya diucapkan kepada orang tertentu sahaja.” (Riwayat Ahmad) Jelaslah bahawa apabila kiamat semakin dekat, salam hanya diucapkan kepada orang yang dikenali sahaja. Sedangkan Rasulullah s.a.w. menyarankan kita agar mengucapkan salam kepada orang yang dikenali ataupun tidak kenal. Seorang sahabat bertanya Nabi s.a.w.: “Apakah amalan Islam yang paling baik?” Baginda menjawab yang bermaksud: “Memberi makan orang yang susah dan memberi salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang kamu tidak kenali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ramai-kedekut-salam-1

Tip Suburkan Kasih Sayang

Mengapakah hubungan sesama kita yang beragama Islam kini kian jauh? Bahkan sesetengah daripada kita yang telah hilang rasa kasih sayang antara sesama Muslim walaupun kita bersaudara.

Sememangnya kita seluruh Muslimin tanpa mengira jantina, warna kulit, bangsa, bahasa dan sempadan geografi bersaudara. Seorang Muslim yang beriman akan terserlah daripada dirinya perasaan cinta dan sayang kepada saudaranya. Namun bagaimanakah cara untuk menyuntik perasaan tersebut?

Rasulullah s.a.w. mengajar kita dengan maksudnya: “Kamu semua tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman. Kamu semua tidak akan beriman (dengan sempurna) sehinggalah kamu semua saling berkasih sayang. Mahukah saya tunjukkan kepada kamu sesuatu perkara yang apabila kamu melakukannya, kamu akan merasai perasaan saling berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu.” (Riwayat Muslim)

Justeru, untuk menumbuhkan perasaan kasih sayang sesama kita, maka benihnya adalah dengan menyebarkan salam. Bahkan dalam kehidupan Rasulullah s.a.w., Baginda sentiasa mendahulukan mengucapkan salam kepada para sahabatnya. Bukan hanya kepada sahabat sahaja, malah kepada sahabiyyah (orang perempuan beriman pada zaman Nabi) jua. Asma’ bin Yazid menceritakan bahawa suatu ketika, Rasulullah s.a.w. melalui kawasan masjid yang ketika itu ada sekumpulan wanita yang sedang duduk di sana, kemudian Baginda melambaikan tangannya dan mengucapkan salam kepada mereka. (Riwayat al-Tirmizi)

Hukum Mengirim Salam

Bolehkah kita mengirim salam? Saya selalu mendengar ayah saya berpesan dalam perbualan telefon supaya menyampaikan salam kepada si polan dan si polan.

Sememangnya menjadi budaya kita menyampaikan salam. Menurut Islam, ia merupakan sesuatu yang dibolehkan. Namun hendaklah dilafazkan dengan lafaz salam yang sempurna seperti assalamu ‘alaih, bukan sekadar “sampaikan salam kepada si polan ya”, tanpa ada lafaznya. Demikian juga ketika menjawabnya, hendaklah dijawab dengan lafaz yang sempurna dan bukan sekadar diam atau menganggukkan kepala sahaja. Sayidatina Aisyah r.ha. pernah menerima kiriman salam daripada Jibrail a.s. Beliau menceritakan bahawa Rasulullah memberitahunya yang bermaksud:“Inilah Jibrail yang memberi salam kepadamu.” Saya menjawab: “Wa ‘alaihis salam wa rahmatullahi wa barakatuh.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, sebarkanlah salam. Dengan salam kita memupuk perasaan kasih sayang terhadap seluruh umat Islam, maka jangan kita tinggalkan sunnah dalam menyebarkan salam. Sebarkan kepada orang yang dikenali dan orang yang tidak dikenali. Jangan kita merasakan ia satu perkara remeh kerana salam ini antara tanda orang yang beriman. Dengan salam inilah juga akan terpupuk kasih sayang antara kita. Seterusnya dengan salam ini jugalah yang akan membawa kita ke syurga Allah s.w.t. iaitu destinasi terakhir yang kita idam-idamkan.

Wallahu a‘lam.

Mohd Solleh Abd. Razak
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas