Menu

 

A+ A A-

DI MANA ALLAH?

JIKA seorang anak kecil bertanya kepada kita: “Di manakah Allah?”, maka apakah jawapan yang perlu diberikan?

Kita perlu memahami bahawa tidak ada suatu makhluk pun yang menyerupai Allah s.w.t. sama ada pada zat, sifat, dan sebagainya. Perkara ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Syura, ayat 11 yang bermaksud: “… tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya (dari segi zat, sifat-sifat dan pentadbiran-Nya), Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Kita tidak perlu memikirkan tentang zat Allah s.w.t., bahkan lihat dan perhatikan kekuasaan dan penciptaan-Nya pada alam ini. Berbalik soalan yang diajukan, masalah ini termasuk dalam perkara aqidah yang wajib diimani oleh setiap orang Muslim. Jika aqidahnya rosak, maka amalan ibadah yang dilakukannya tidak akan diterima. Oleh itu, orang Islam perlu mengimani kewujudan dan keesaan Allah s.w.t. Allah tidak bersifat dengan sifat makhluk seperti tuduhan yang dilemparkan oleh golongan Yahudi apabila mereka mengatakan bahawa para malaikat ialah anak perempuan Allah s.w.t. Maha Suci Allah s.w.t. daripada perkataan mereka yang keji itu.

Sesungguhnya, Allah s.w.t. telah menjelaskan sifat-sifat-Nya dalam surah al-Ikhlas yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.): ‘Dialah Allah Yang Maha Esa. Allah menjadi tumpuan dan harapan segala makhluk. Dia tidak melahirkan dan tidak dilahirkan. Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya.”

Oleh itu, jika persoalan yang ditujukan bertujuan hendak mengetahui tentang keadaan dan kedudukan fizikal Allah s.w.t., maka ia tidak dibenarkan. Ini kerana, kedudukan suatu makhluk di sisi manusia adalah bergantung kepada arah yang terdapat di sekelilingnya. Jika seseorang mengatakan: “Kereta ayah saya di hadapan rumah.” Maka, orang yang mendengarnya akan memahami bahawa maksud perkataan ini adalah merujuk kepada kedudukan yang dimaklumi iaitu arah hadapan. Begitu juga dengan arah yang lain seperti bawah, atas, sebelah dan sebagainya.

Maka, Allah s.w.t. tidak layak untuk berada di mana-mana arah dunia kerana Allah tidak termasuk dalam kategori makhluk. Ini akan menyebabkan seolah-olah Allah s.w.t. memerlukan makhluk, sedangkan ini adalah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya. Jika Allah s.w.t. memerlukan kepada makhluk, maka Allah s.w.t. bersifat dengan sifat lemah.

di-mana-allah-1

Sudah tentu sifat ini tidak layak dinisbahkan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t. juga tidak boleh dibayangkan saiz dan keadaan-Nya seperti membayangkan Allah s.w.t. sangat besar dengan suatu ukuran tertentu atau mengikut bentuk sesuatu. Seorang Muslim yang baik aqidahnya perlu beriman bahawa Allah s.w.t. merupakan Tuhan yang menciptakannya serta layak untuk disembah. Dia tidak akan meletakkan pemikirannya luar daripada itu seperti memikirkan zat dan keadaan-Nya. Jika ingin menambahkan keyakinan, dia akan segera melihat kepada kekuasaan dan bukti ciptaan Allah s.w.t. di sekelilingnya. Maka, persoalan tentang kedudukan Allah s.w.t. tidak wajar ditanya dan dipersoalkan. Inilah yang perlu ditanam dalam pemikiran kanak-kanak Islam supaya mereka dapat mengimani aqidah yang sebenarnya.

Bagaimana pula dengan jawapan yang biasa dilemparkan kepada kenyataan ini: “Allah s.w.t. itu berada di mana-mana.” Adakah ia termasuk dalam larangan mempersoalkan kedudukan Allah s.w.t.? Ya, ia dikira sebagai suatu kesalahan dalam aqidah jika ia bertujuan untuk menzahirkan kedudukan dan zat Allah s.w.t. Tetapi, ia dibolehkan jika dapat dijelaskan bahawa maksud jawapan ini adalah ilmu dan kekuasaan Allah s.w.t. berada di mana-mana.

Ubahlah kenyataan tersebut kepada: “Allah s.w.t wujud tidak bertempat, tetapi kuasa Allah s.w.t. ada di mana-mana dan sentiasa melihat kita.” Bukankah terdapat hadis yang menyatakan bahawa seorang hamba perempuan menjawab pertanyaan Nabi s.a.w. bahawa Allah berada di langit. Lalu Baginda mengiktirafnya sebagai seorang Mukminah.

Bagi menghuraikannya, terdapat beberapa pendapat para ulama: Imam Badruddin al-‘Aini: “Baginda ingin memastikan bahawa dia ialah seorang yang mengesakan Allah s.w.t. melalui pertanyaan tersebut. Lalu, Rasulullah s.a.w. bertanyakan suatu soalan yang mudah difahami kepadanya kerana antara tanda-tanda keimanan seseorang adalah memohon hajat kepada Allah s.w.t. dengan berdoa sambil menadah tangan ke langit. Sedangkan masyarakat Arab pada waktu itu meminta sebarang hajat daripada berhala dan orang bukan Arab memintanya daripada api. Maka, mempercayai Allah s.w.t. dengan mengisyaratkan ke atas langit menunjukkan bahawa seseorang itu mengakui keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.” (Sharh Sunan Abi Daud)

Imam al-Baji: “Perempuan tersebut ingin menyatakan ketinggian martabat Allah s.w.t. melalui sifat yang biasa diketahui iaitu langit, bukannya memaksudkan kedudukan Allah s.w.t.” (Sharh al-Zurqani dan Hashiyah al-Sindi ‘ala al-Nasa’i) Imam al-Suyuti: “Maksud hadis diserahkan kepada Allah s.w.t. tanpa diperincikannya di samping menyucikan dan membersihkan Allah s.w.t. daripada segala perkara yang tidak layak bagi-Nya. Namun, ia juga boleh ditakwilkan dengan maksud Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk mengujinya; adakah dia seorang yang mengesakan Allah s.w.t. dan mengakui bahawa Dialah satu-satunya Tuhan Pencipta alam yang apabila berdoa, maka dia akan menadahkan tangannya ke langit atau tidak beriman.

Allah s.w.t bukanlah berada di langit, sama seperti Allah s.w.t. tidak berada di dalam Kaabah. Tetapi, langit merupakan kiblat doa bagi orang yang beriman kepada Allah s.w.t. sedangkan mereka yang menyembah berhala tidak memohon pertolongan daripada-Nya . Maka, Baginda ingin mengetahui sama ada dia beriman atau menyembah berhala.” (Sharh al-Suyuti ‘ala Muslim)

Kesimpulannya, ibu bapa, guru, dan semua pihak perlu berusaha menanamkan aqidah yang betul kepada anak-anak terutamanya, dan kepada masyarakat Islam yang lain secara khusus. Jika ia dapat dilakukan dengan sempurna, pasti persoalan ini tidak akan timbul dan dapat dielakkan.

Kesannya pada jangka masa yang panjang, si anak akan sentiasa menjaga dirinya dengan melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. dan meninggalkan maksiat. Ini kerana, dia telah meyakini bahawa ilmu dan pengawasan Allah s.w.t. sentiasa berada di mana-mana. Akhirnya, sebuah generasi yang mempunyai aqidah yang mantap dapat dilahirkan. Semoga Allah s.w.t. memberikan petunjuk kepada kita ke arah menghayati dan menyaksikan keagungan-Nya sehingga mampu melahirkan sifat ketakwaan dalam diri kita.

Muhammad Yusuf bin Abdul Kadir

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas