Menu

 

A+ A A-

BILAKAH KIAMAT?

BANYAK tanda–tanda akan tibanya hari kiamat yang dijelaskan oleh al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w namun apakah hikmah dikemukakan semua tanda-tanda ini?

Antara rahmat Allah s.w.t. terhadap kita sebagai hamba-Nya ialah Allah s.w.t. menyediakan untuk kita di dunia ini dengan pelbagai perkara yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan kita dengan Allah s.w.t. Antara perkara tersebut adalah dengan menyatakan tanda-tanda kiamat yang semakin banyak muncul hari demi hari. Maka kiamat tidak akan berlaku secara tiba-tiba atau mengejut, bahkan ditonjolkan dahulu tanda-tanda akan berlakunya kiamat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka tidak ada lagi yang mereka tunggukan melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut, kerana sesungguhnya telah lahirlah tanda-tanda kedatangannya.”(surah Muhammad 47: 18)

Para ulama tidak lupa untuk menyatakan dalam kitab-kitab mereka tentang hikmah wujudnya tanda-tanda hari kiamat. Imam al-Qurtubi dalam kitabnya al-Tazkirah menyebut bahawa para ulama rhm. berkata, hikmah dikemukakan tanda-tanda dan petunjuk datangnya kiamat kepada manusia adalah sebagai satu peringatan kepada mereka yang tidur dan mendorong mereka agar memelihara diri mereka dengan cara bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Oleh yang demikian, selepas munculnya tanda-tanda kiamat ini, maka seluruh manusia sepatutnya memerhatikan dan bermuhasabah diri mereka, memutuskan daripada (kelekaan) dunia dan membuat persediaan untuk kiamat yang telah dijanjikan.

bilakah-kiamat-1

Imam Abu Abdullah bin al-Husain bin al-Hasan al-Halimiy pula menyebut dalam al-Minhaj fi Syu’ab al-Iman, setelah menyebut perkataan yang hampir sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi, beliau menambah dengan katanya: “Dan hendaklah manusia ketika munculnya tanda-tanda kiamat satu demi satu, mereka seumpama orang sakit yang dapat memerhatikan tanda-tanda kematian dirinya satu demi satu. Maka pada waktu itu dia tidak akan mengabaikan masanya untuk terus bertaubat, berwasiat dan mengkoreksi dirinya, ahli keluarganya dan seluruh sahabat yang mempunyai hubungan dengannya”.

Demikian juga, setelah munculnya tanda-tanda kiamat ini, manusia sewajarnya memerhatikan atau menilai (amalan kebaikan dan kejahatan) dirinya, memutuskan daripada (kelekaan) dunia, yakin dengan peristiwa kiamat dan seterusnya membuat persediaan untuk menghadapinya (dengan menjunjung perintah Allah s.w.t. dan menjauhi larangan-Nya).

Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan: “Sesungguhnya hikmah dikemukakan tanda-tanda kiamat ialah membangunkan orang yang lalai dan mendorong mereka agar bertaubat dan membuat persediaan menghadapinya.”

Wallahu a‘lam.

bilakah-kiamat-2

Terdapat pelbagai ramalan akan berlakunya kiamat, namun setakat ini semuanya tersasar daripada kebenaran. Namun persoalannya bilakah akan berlakunya kiamat?

Tidak dinafikan terlalu banyak ramalan kiamat yang dihebohkan. Antaranya William Miller, pengasas gereja Advent meramalkan berdasarkan Bible iaitu pada 23 April 1843. Joseph Smith, pengasas gereja Mormom yang mengaku dapat berbicara dengan Tuhan meramalkan kiamat pada tahun 1891. Harold Camping seorang penginjil dan penyiar di Family Radio Worldwide meramalkan melalui kajian Biblenya kiamat berlaku pada Hari Sabtu, 21 Mei 2011, pada jam 6.00 petang. Demikian juga Filem 2012, sebuah filem arahan Roland Emmerich yang mengisahkan ketibaan hari kiamat pada tahun 2012. Sehinggakan filem ini dinobatkan sebagai filem “paling jahil dan penuh kecacatan dari segi sains” dalam satu persidangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di California, Amerika Syarikat.

Bagi kita yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari kiamat, kita berpegang teguh bahawa Allah s.w.t. menyembunyikan masa akan berlakunya kiamat daripada pengetahuan manusia. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: ‘Bilakah masa datangnya? ’Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada pada sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi,’ mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah s.w.t., tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.’” (surah al-A‘raf 7: 187)

Malah terdapat pelbagai lagi dalil yang menunjukkan kerahsiaan tarikh berlakunya kiamat. Kesimpulannya, bila akan berlaku kiamat tidak diketahui oleh seluruh manusia kecuali hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahuinya.

Wallahu a‘lam.

 Ustaz Soleh bin Abd Razak

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2

 


 

Ustaz Soleh bin Abd. Razak

Lulusan Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Darul Quran, JAKIM. Menyambung Ijazah Sarjana Muda di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini bertugas sebagai imam masjid dan guru di Sekolah Menengah Tahfiz IQKL. Antara buku yang dihasilkan beliau "Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama" dan "Sehingga al-Quran Terpahat di hati", terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lawati: http://www.solleh-alfatimi.blogspot.com

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

wasiat 280 x 393 TBBK1275  TBBK1259

TBBK1283

Kembali ke atas