Menu

 

A+ A A-

KEHEBATAN AIR ZAMZAM

RASANYA anda pernah mendengar lagu Raikan Cinta yang pernah dipopularkan oleh“sifu” seni muzik tanah air, M. Nasir yang berbunyi: “Ke sana ke sini lari-lari kecil, bagai Siti Hajar mencari air, terpancur sinar di kering pasir, bekas hentakan kudus kaki Ismail…

Penulis agak tertarik dengan seni kata ini, yang agak sesuai untuk dijadikan pembuka bicara Haramain pada kali ini. Lirik tersebut secara ringkasnya menceritakan tentang sejarah sa’i dan air zamzam yang menjadi bukti kebesaran dan kekuasaan Allah Taala. Sejarahnya bukan sekadar air yang terpancar dari bumi itu, namun di sebaliknya tersirat nilai takwa dan taat seorang isteri kepada suami dan pengorbanan seorang ayah kepada anak dan isterinya yang tersayang…

Sucinya Zam zam

Mungkin ada dalam kalangan kita yang pernah melihat gambar Makkah dahulu kala. Antaranya terdapat gambar yang menunjukkan seorang pemuda yang “berenang” menuju ke Kaabah yang waktu itu ditenggelami air banjir. Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 40-an itu punya cerita menarik untuk ditatap. Masih jelas dalam ingatan penulis ketika bertemu dengan salah seorang daripada penduduk tetap Makkah berasal dari Kedah, yang tinggal di Makkah selama lebih 50 tahun.

Beliau (kini arwah) yang dihantar ke Makkah pada usia belasan tahun menceritakan pengalamannya sendiri berenang di sekitar Masjidilharam ketika banjir tersebut melanda.

Menurut ceritanya, beliau ingin tahu apakah yang terjadi kepada telaga zamzam akibat banjir. Alangkah terkejutnya apabila beliau sendiri menyaksikan keajaiban dan kesucian air zamzam tatkala melihat di permukaan kawasan telaganya terbitaliran mata air yang membuak-buak seolah-olah air yang sedang mendidih. Beliau lantas merapati kawasan tersebut dan melihat sendiri dan merasai air yang keluar darinya. Subhanallah! Itulah lafaz terpancar dari bibirnya. Air yang membuak-buak keluar itu ialah air zamzam yang tidak bercampur atau terkesan langsung dengan kekotoran air limpahan yang membanjiri Baitullah waktu itu.

Sekitar Sejarah Zam zam

Sumber sejarah ini ialah himpunan dan ringkasan daripada beberapa riwayat dalam Sahih al-Bukhari. Ibn Abbas menceritakan bahawasanya wanita pertama yang memakai bengkung ialah Siti Hajar ibu kepada Nabi Ismail a.s. Beliau menggunakannya (dengan melabuhkan hujung kainnya) untuk menghapuskan jejaknya daripada diikuti oleh Siti Sarah yang cemburu terhadapnya. Nabi Ibrahim a.s. telah membawa Siti Hajar dan anaknya Ismail yang masih menyusu ke lembah berdekatan tapak Kaabah. Baginda meninggalkan mereka di bawah pohon yang merupakan tempat telaga zamzam (pada hari ini).

Makkah pada asalnya bukanlah sebuah kawasan yang subur. Malah ia tidak berpenghuni dan tiada sumber air. Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan mereka di situ dengan berbekalkan beberapa biji tamar dan sebekas air. Kemudian baginda beredar tanpa sebarang kata. Hajar berasa hairan lalu mengikutinya seraya bertanya: “Wahai Ibrahim! Ke mana kamu ingin pergi? Apakah kamu ingin tinggalkan kami di lembah yang kering (tiada sumber air atau makanan) dan tidak berpenghuni ini?”

Soalan itu diulangi beberapa kali, namun tiada jawapan daripada suaminya Ibrahim a.s. bahkan langsung tidak berpaling muka. Akhirnya hasil tarbiah dan iman yang kuat dalam jiwanya, bertanya sesuatu yang cukup mahal nilainya: “Apakah ini merupakan perintah Allah?” Ibrahim menjawab: “Ya.” Lalu Hajar menyambung: “Jika begitu, pasti Allah tidak akan membiarkan kami.”

Kemudian Hajar kembali ke tempat Ismail a.s. dan Ibrahim a.s. meneruskan perjalanannya.

Kemudiannya Hajar terus menyusukan Ismail a.s. dan meminum air bekalan. Adatnya sesuatu yang ada, jika diguna pasti akan kehabisan. Lantas kedua-duanya merasa dahaga. Akhirnya apabila tangisan Ismail semakin kuat kerana dahaga, Hajar lantas mendaki Bukit Safa yang terdekat dengannya dengan harapan meninjau keadaan dan melihat jika ada kelibat manusia. Hasrat tersebut gagal. Hajar turun dari Bukit Safa dan berjalan-jalan. Naluri keibuan memuncak disulami kerisauan yang menyapa.

Apabila sampai ke tengah lembah (kini ditandakan dengan kawasan lampu hijau), Hajar menyingsing kainnya lalu berlari-lari anak. Kemudian beliau terus berjalan hingga tiba ke Bukit Marwa. Harapan yang sama dicari namun tidak kesampaian.

Hajar mengulangi perbuatan itu sebanyak tujuh kali. (Peristiwa inilah asal kepada pensyariatan rukun sa’i dalam ibadah haji dan umrah). Setelah sampai semula ke puncak Marwa, Hajar terdengar satu suara, lantas berpaling dan terkejut melihat malaikat sedang menggali tanah (dengan sayapnya) seraya dengan hentakan kaki Ismail a.s. yang sedang kerimasan sehingga terpancar keluar air dari tempat itu.

Siti Hajar terus berlari dan membuat batas di sekeliling tempat mata air tersebut sambil mengisi bekas minumannya dengan air yang mula melimpah keluar.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya: “Semoga Allah Taala merahmati ibu Ismail a.s. Jika beliau membiarkan air zamzam mengalir (tanpa dibuat batasanseumpama telaga) nescaya zamzam akan menjadi sebuah sungai yang mengalir ke seluruh pelosok bumi.”

zam zam

Ibrah daripada kisah

Itulah secebis kisah buat tatapan rohani kita. Kisah yang agung memalit kesan manis dalam lipatan sejarah. Banyak pengajaran yang hebat boleh diamati daripada kisah agung ini. Antaranya tatkala tiba waktu Ibrahim akan meninggalkan Hajar dan Ismail a.s., baginda berhenti di suatu tempat bernama Thaniyyah lantas menghadap arah Kaabahdan berdoa (tanda kerisauan baginda yang sangat mendalam) sebagaimana yang tercatat dalam surah Ibrahim ayat 37 yang bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di lembah yang tiada sebarang tanaman tetapi dekat dengan rumah-Mu (Baitullah) yang mulia. Wahai Tuhan kami, (dengan demikian bukanlah atas tujuan lain) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati-hati manusia sentiasa cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan, semoga mereka bersyukur.”

Faham daripada ayat ini membuktikan bahawasanya perkara yang paling dirisaukan oleh Ibrahim a.s. bukannya soal makanan ke perut anak dan isterinya untuk diisi, tetapi makanan rohani menerusi pengisian iman serta ketekunan dalam melaksanakan solat yang diutamakan. Namun, inilah yang menjerat para ayah zaman kini yang terlalu berusaha untuk menyuapkan makanan yang lazat-lazat kepada anak mereka tetapi lalai dalam memerhatikan pengisian keperluan rohani mereka.

Begitulah ketabahan dan keutuhan iman dan akidah yang cukup tebal dalam jiwa Siti Hajar. Reda dengan ketentuan Allah walau tersepit dengan naluri seorang isteri dan ibu yang bakal dibiarkan bersendirian walau tanpa bekalan yang cukup untuk menyambung hidup. Inilah yang patut dicontohi oleh para isteri, bukannya menjadi isteri yang terlalu banyak curiga dan banyak soalnya, walaupun suami ingin melangkah ke masjid kerana azan sedang berkumandang.

Persoalan yang harus membenak dalam minda kita; apakah kini kita punya bapa setulus Ibrahim a.s., anak yang semurni Ismail a.s. dan ibu setabah Siti Hajar a.s.? Atau kita hanya mampu menjadi nucleus dalam masyarakat duniawi masa kini yang cuba untuk bernafas dengan udara nilai kekeluargaan ala Barat yang semakin menenggelamkan nilai murni sebuah keluarga Islami? 

 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5


Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas