Menu

 

A+ A A-

MAHU TAK MAHU TETAP MAHU!

DARI ABU MAS’UD ‘UQBAH BIN ‘AMR AL-ANSHÂRÎ AL-BADRI R.A. DIA BERKATA, “RASULULLAH S.A.W. BERSABDA: “SESUNGGUHNYA SALAH SATU PERKARA YANG TELAH DIKETAHUI OLEH MANUSIA DARI KALIMAT KENABIAN TERDAHULU ADALAH, ‘JIKA ENGKAU TIDAK MALU, BERBUATLAH SESUKAMU.’”

Pengertian Malu
Malu adalah satu kata yang mencakupi perbuatan menjauhi segala apa yang dibenci. Seorang ulama berkata, “Malu berasal dari kata ‘hayaah’ (hidup), dan ada yang berpendapat bahawa malu berasal dari kata ‘al-hayaa’ (hujan), tetapi makna ini tidak masyhur. Hidup dan matinya hati seseorang sangat mempengaruhi sifat malu orang tersebut. Begitu pula dengan hilangnya rasa malu, dipengaruhi oleh kadar kematian hati dan roh seseorang. Sehingga setiap kali hati hidup, pada saat itu pula rasa malu menjadi lebih sempurna.

Al-Junaid pula berkata, “Rasa malu iaitu melihat kenikmatan sehingga menimbulkan suatu keadaan yang disebut dengan malu. Hakikat malu ialah sikap yang memotivasi untuk meninggalkan keburukan dan mencegah sikap menyia-nyiakan hak pemiliknya.”

Kesimpulan definisi di atas ialah bahawa malu adalah akhlak (perangai) yang mendorong seseorang untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk dan tercela, sehingga mampu menghalangi seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain.

Keutamaan malu
1 Malu pada hakikatnya tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan semata-mata.” Malu adalah akhlak para nabi, terutama pemimpin mereka, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang lebih pemalu daripada gadis.

2 Malu adalah cabang keimanan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “iman memiliki lebih daripada tujuh puluh atau enam puluh cabang. Cabang yang paling tinggi adalah perkataan – ‘La ilaha illallah’ dan yang paling rendah adalah menyingkirkan duri (gangguan) dari jalan. Dan malu adalah salah satu cabang iman.”

3 Malu adalah warisan para nabi terdahulu. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui manusia daripada kalimat kenabian terdahulu…” Maksudnya, ini sebagai hikmah kenabian yang sangat agung, yang mengajak kepada rasa malu, yang merupakan satu perkara yang diwariskan oleh para nabi kepada manusia generasi demi generasi hingga kepada generasi awal umat Nabi Muhammad s.a.w. Di antara perkara yang didakwahkan oleh para nabi terdahulu adalah berakhlak malu.

Kesimpulan malu menurut syariat Islam
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kalian malu kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar malu. sesiapa yang malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu, maka hendaklah dia menjaga kepala dan apa yang ada padanya, hendaklah dia menjaga perut dan apa yang dikandungnya, dan hendaklah dia selalu ingat kematian dan busuknya jasad.

Sesiapa yang menginginkan kehidupan akhirat hendaklah dia meninggalkan perhiasan dunia. Dan sesiapa yang mengerjakan yang demikian, maka sungguh dia telah malu kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar malu.”

Dalam apa juga keadaan, antara sifat malu yang tercela adalah malu untuk menuntut ilmu syariat – malu mengaji, malu membaca al-Quran, malu melakukan amar makruf nahi munkar yang menjadi kewajipan seorang Muslim, malu untuk solat berjamaah di masjid bersama kaum Muslimin, malu memakai pakaian yang menutup aurat, malu mencari nafkah yang halal untuk keluarganya bagi lelaki, dan yang semisalnya.

Sifat malu seperti ini tercela kerana akan menghalanginya memperoleh kebaikan yang sangat besar. semoga dengan adanya malu, maruah kita akan dipelihara oleh Allah s.w.t. Amin.

Oleh Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz

Penceramah personaliti radio

Kembali ke atas