Menu

 

A+ A A-

HIKMAH QISAS UNTUK HIDUP

Hukuman qisas itu bukannya bertujuan memuaskan perasaan dendam kesumat, malah ia mempunyai tujuan yang lebih mulia daripada itu, iaitu untuk membela hidup dan untuk kepentingan hidup.

Selepas kita membincangkan berkenaan dengan takrif qisas dan pensyariatannya, pada ruangan kali ini, penulis ingin membincangkan berkenaan dengan hikmah qisas. Sebelum dilebarkan lagi tajuk ini, suka diterangkan dahulu pengertian hikmah.

Mengikut Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi:
“Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan dengannya.” Untuk memahami pengertian dan takrif hikmah dengan mendalam di kemukakan di sini definisinya:

Pada bahasa diambil daripada kalimah hakama dengan maksud tegahan. Justeru dengan maksud tegahan daripada kezaliman. Hikmah pula membawa maksud tegahan daripada kejahilan.

Berkenaan dengan takrif hikmah pada istilah pula amat banyak, antaranya:

Ibn Qutaibah menyatakan, “Tidaklah seseorang dinamakan hakim (bijaksana) sehingga disekalikan antara ilmu dengan amalan.”

Sayid Qutub mendefinisikan hikmah dengan daya kebolehan yang memungkinkan seseorang meletakkan segala persoalan di tempatnya yang wajar dan menilai sesuatu dengan neracanya yang betul serta memahami matlamat, perintah dan arahan Ilahi. Begitu juga hasil kajian yang matang itu dapat dicapai oleh mereka yang telah diasuh dan dididik oleh Rasulullah s.a.w. yang telah membersihkan jiwa mereka dengan ayat-ayat Allah.

Di sisi ahli tafsir dengan maksud makrifat kitab, sunah dan faham kedua-duanya serta beramal dengan tuntutannya.

Di sisi ulama’ usul terdapat dua takrif:

  1. Pertama: Makna dan maksud daripada syariat hukum.
  2. Kedua: Makna yang munasabah bagi tasyri’ hukum.

Hikmah Hukum Qisas

Syeikh Sya’rawi berkata: Sesungguhnya Allah yang Haq mengangkat hukuman dan azab daripada pembunuh apabila diterima qisas dan dilaksanakannya atau apabila dimaafkan dengan membayar diat.

Akan tetapi Allah tidak menerima selain penggunaan masa yang diberikannya atau peluang bagi makhluk untuk mengangkat dalam perhubungan mereka. Dengan kata lain Allah tidak menerima untuk dilindungi pembunuh yang telah diberikan kemaafan dan dibayar diat. Kerana yang demikian itu adalah sia-sia yang tidak dikehendaki oleh Allah s.w.t. Dalam menerangkan hakikat ini, penulis merujuk kepada tafsir al-Quran daripada surah al-Baqarah ayat 179 yang bermaksud:
“Di dalam (undang-undang) qisas kamu mendapat jaminan hidup wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertakwa.”

Sebab Nuzul Ayat
Firman Allah s.w.t: Dalam (undang-undang) qisas kamu mendapat jaminan hidup. Alamah Ibn Khathir berkata: Sebab turunnya ayat ini diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Abu Muhammad bin Abi Hatim, dari Sa’id bin Jubair, mengenai firman Allah Taala yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh.” Ayat ini menunjukkan bahawa jika pembunuhan itu dilakukan dengan sengaja, maka orang merdeka dihukum dengan orang merdeka. Hal ini kerana pada zaman Jahiliah, sebelum orang Islam datang, berlaku satu peperangan antara dua kelompok masyarakat Arab.

Dalam peperangan itu, ada antara mereka yang terbunuh dan luka sehingga mereka membunuh wanita dan kanak-kanak. Terdapat satu kumpulan yang menzalimi kumpulan yang lain terhadap harta-benda mereka sehingga mereka bermusuhan dan bersumpah, darah mesti dibayar dengan darah. Maka turunlah firman Allah s.w.t.:

“Orang merdeka dengan orang merdeka, hamba sahaya dengan hamba sahaya, wanita dengan wanita.

Tafsiran Ayat
Syeikh Sya’rawi berkata: Di sini kita dapati bentuk ayat yang datang dengan firman-Nya:
“Hai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas.” Sedangkan di sini didatangkan dalam bentuk al-Quran: Bagi kamu pada qisas.

Ini menunjukkan betapa mendalam dan kukuhnya syariat yang datang dengan kewajipan dan hak-hak. Maka tiada wajib tanpa hak dan tiada hak tanpa wajib. Hingga kita mengetahui betapa tingginya syariat yang dituntut dari setiap orang yang beriman untuk melihat apa yang wajib daripada taklif dan disertakannya dengan hak. Supaya orang yang beriman dapat memahami cahaya manhaj Allah bagi mendapat keadilan yang mutlak.

Syed Qutub berkata: Hukuman qisas itu bukannya bertujuan membalas dendam dan memuaskan perasaan dendam kesumat, malah ia mempunyai tujuan yang lebih mulia dan tinggi dari itu lagi, iaitu untuk membela hidup dan untuk kepentingan hidup, malah qisas itu sendiri merupakan hidup. Dan di samping itu ia bertujuan supaya manusia berfikir tentang hikmat undang-undang qisas itu dan supaya menggerakkan dan merangsang hati mereka ke arah takwa kepada Allah.

“Hidup” yang wujud dalam undang-undang qisas itu adalah terbit dari tindakan mencegah penjenayah dari awal-awal lagi daripada melakukan pencerobohan, kerana orang yang yakin bahawa dia pasti membayar dengan nyawanya apabila dia membunuh orang tentulah dia akan berfikir panjang dan tentulah dia akan teragak-agak (untuk melakukan pencerobohan). Ia juga terbit daripada kepuasan hati wali-wali darah ketika berlakunya pembunuhan qisas itu kerana ia tidak lagi menaruh perasaan dendam kesumat dan keinginan menuntut bela.

Dalam undang-undang qisas terdapat jaminan hidup dalam erti katanya yang syumul, kerana pencerobohan ke atas semua nyawa dan semua manusia yang hidup yang mempunyai sifat hidup yang sama dengan si mati yang dibunuh. Apabila undang-undang qisas dapat mencegah penjenayah dari mencabut satu nyawa, maka bererti ia dapat mencegah penjenayah itu dari menceroboh seluruh nyawa yang lain. Pencegahan itu memberi jaminan hidup yang mutlak, iaitu ia bukan hanya memberi jaminan hidup kepada satu individu, kepada satu keluarga, kepada satu kelompok, malah memberi jaminan kepada hidup seluruhnya.

Kemudian ayat ini merangsang kesedaran supaya memikirkan hikmat kebijaksanaan Allah dan supaya bertakwa kepada Allah yang menjadi faktor terpenting dan pengaruh utama untuk memelihara keselamatan nyawa.

Firman Allah: “Wahai orang-orang yang berakal (Ulul albab).” Maksud Ulul albab atau yang berakal ialah merangkumi dua perkataan:
“ulu” yang bermaksud tuan, empunya atau pemilik manakala “albab” pula membawa maksud hati. Dalam Lisan al-Arab 8/16, oleh Ibn Manzur menyebut definisi al-Albab:

Ibn al-A’rabi berkata: “Albab ialah albal yang bermaksud akal.”

  • Dengan maksud beradab.
  • Dengan maksud keluasan.
  • Dengan maksud kesuburan.
  • Dengan maksud keamanan.
  • Dengan maksud di hadapan.

Al-Ahmar berkata: Lub ialah tapisan seperti tanah atau pasir yang halus. Dengan maksud tempat sembelihan daripada sesuatu. Sebahagian pendapat di atas disebut dalam al-Mu’jam al-’Arabi al-Asasi, hlm.1068.

Para Ulu al-Albab berfikir dan merenungi kejadian langit dan bumi dan kejadian pertukaran malam dan siang, kemudian menerima ilham dari kitab alam buana yang terbuka itu, di mana fitrah mereka menyambut saranan kebenaran yang tersembunyi dalam kejadian alam-alam buana itu. Alam terus bertawajjuh kepada Allah mengangkat doa yang khusyuk menggeletar, panjang dan mendalam kemudian menerima sambutan daripada Allah yang Pemurah dan Maha Pengasih yang telah memperkenankan doa mereka yang ikhlas dan mesra itu… apakah hakikat penerimaan itu?

Firman Allah: “Supaya kamu bertakwa.” Ibn al-Jauzi menyebut dua pandangan berkenaan dengan maksud takwa di sini:

Pertama: Supaya kamu bertakwa daripada menumpahkan darah seperti kata Ibn ‘Abbas.

Kedua: Mudah-mudahan kamu bertakwa daripada membunuh dan kamu tidak dibunuh dengan sebabnya seperti kata Ibn Zaid.

Takwalah satu-satunya tali yang mengikat hati manusia dari melakukan pencerobohan, iaitu pencerobohan memulakan pembunuhan dan pencerobohan membalas menuntut bela. Takwa ialah kepekaan hati dan perasaannya yang sentiasa takut kepada Allah, sentiasa segan mendapat kemurkaan-Nya dan sentiasa menurut keredhaan-Nya.

Tanpa ikatan takwa, syariat tidak mungkin tegak, undang-undang tidak akan berjaya dan tiada seorang pun yang merasa malu-malu dan segan. Peraturan yang kosong daripada rohnya, kepekaan, ketakutan dan daripada keinginan untuk mendapat keredaan dari satu kekuatan yang lebih besar dari kekuatan manusia adalah tidak cukup (untuk mencegah manusia).

Pendapat Abu Hasan al-Nadwi
Abu al-Hasan Ali al-Nadwi berkata: “Apabila nafsu kebinatangan manusia menjadi liar di suatu ketika dan terjatuh dalam suatu kesalahan, iaitu semasa ia tidak dilihat oleh orang lain dan tidak dapat ditangkap oleh undang-undang, maka keimanan akan berubah menjadi jiwa yang memberi kecaman dan kritikan yang tajam. Keadaan itu pasti akan mencubit hati nurani, lalu menimbulkan khayalan yang menakutkan dan menyebabkan tuannya tidak dapat mencapai ketenangan sehingga ia mengakui kesalahannya di hadapan undang-undang. Dalam keadaan itu dia akan menyerahkan dirinya kepada hukuman yang berat dan bersedia menanggungnya dengan hati yang tenang dan rela untuk menjauhkan dirinya dari kemurkaan Allah dan balasan Akhirat.”

Iktibar dan Pengajaran Ayat
Keadilan tasyrik Ilahi kerana penciptanya adalah Allah s.w.t. yang bersifat dengan sifat kesempurnaan. Pelaksanaan qisas merupakan jalan penyelesaian yang paling baik dengan syarat-syarat dan dowabit yang tertentu. Syeikh al-Maraghri berkata: Apabila qisas merupakan kehidupan yang dilaksanakan sudah tentu kamu akan selamat daripada sebarang pertumpahan darah. Justeru orang yang berakal amat berkeinginan untuk hidup dan menjaga dirinya daripada terbabit dengan hukuman qisas.

Hukum qisas jelas menunjukkan banyak kebaikan dan kemaslahatan untuk kehidupan manusia. Penulis mahu mengakhiri perbahasan ini dengan mengambil pendapat Syeikh al Azhar, Syeikh al-Maraghi. Antara lain katanya:
Dalam perlaksanaan qisas ini, terdapat hikmah tentang jaminan keamanan dan kedamaian, dan manusia terpelihara daripada saling bermusuhan antara satu sama lain. Lagipun, menurut pengalaman, seandainya seorang itu membunuh, dia akan dibalas. Dengan adanya qisas ini, orang lain akan berhenti melakukan pembunuhan.

Jadi, selamatlah jiwa orang yang akan menjadi korban dan pelakunya sendiri. Hukuman ganti yang berupa diat sahaja, kadang kala tidak berupaya mencegah setiap orang daripada membunuh musuhnya sekiranya ada kesempatan. Ini kerana sesetengah orang menganggap ringan untuk mengeluarkan sejumlah besar wang bertujuan menjatuhkan lawan. Dalam pepatah Arab terdapat kalimah yang menerangkan pengertian ini, iaitu: “Hukuman balas bunuh menyebabkan tiada pembunuhan”.

Menurut mereka lagi: “Perbanyakkan hukuman bunuh supaya pembunuhan liar berkurangan”. Ayat ini lebih singkat daripada yang lainnya namun mengandungi faedah yang amat jelas. Hal ini kerana pembunuhan yang dilakukan secara zalim tidak akan mampu membanteras pembunuhan, sebaliknya ia akan memperbanyakkan lagi pembunuhan.

Hukuman yang boleh menghapuskan pembunuhan hanyalah hukuman qisas. Perintah untuk membunuh bagi mengurangkan atau mencegah pembunuhan adalah tepat kerana suatu suku yang menyerang suku yang lain sebagai balasan dan secara melampau membunuh para tokoh suku musuh adalah supaya menjadi lemah, sehingga tidak dapat membalas dendam lagi. Jadi pembunuhan mengurangi pembunuhan bermaksud kami membunuh musuh kami supaya kami dapat hidup dan dapat melemahkan serta mencegah suku lain daripada membunuh kami.

QISSAS

Dr. Zulkifly Al-Bakri

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas