Menu

 

A+ A A-

SOLAT PADA AWAL WAKTU

KENAPA kita ditekankan supaya solat pada awal waktu, sedangkan tempoh bagi satu-satu solat itu panjang?

RINGKASNYA: Solat pada awal waktu adalah lebih afdal sekiranya tiada maslahat-maslahat lain yang ingin dicapai seperti ingin meramaikan jemaah bagi solat subuh, memperbanyakkan solat sunat sebelum solat Asar, membolehkan qiamullail sebaik selepas solat Isyak dan menunggu sejuk bahang matahari sebelum solat Zuhur. Tambahan pula, dibimbangi tidak sempat menunaikan solat jika kematian menjelma secara tiba-tiba disebabkan melewatkannya.

HURAIAN: Hadis-hadis Fadilat Solat pada Awal Waktu

Terdapat beberapa hadis yang merakamkan fadilat solat pada awal waktu antaranya:

1. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)

2. Nabi pernah ditanya tentang amalan yang terbaik (untuk dilakukan), maka jawab Nabi yang bermaksud: “Solat pada awal waktu.” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

3. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu melewatkan solat kerana makanan dan juga sebab selainnya.” (Riwayat Abu Daud)

Hadis-hadis saranan melewatkan solat

Namun terdapat juga beberapa hadis yang mengisyaratkan bahawa solat boleh dilewatkan antaranya:

4. Nabi bersabda yang bermaksud: “Tangguhlah sehingga sejuk bagi solat Zuhur kerana kekuatan panas (matahari) adalah dari bahang neraka jahanam.” (Riwayat al-Bukhari)

5. Nabi bersabda yang bermaksud: “Seandainya tidak menjadi keberatan bagi umatku, nescaya akan kuarahkan mereka agar melewatkan solat Isyak (berjemaah) hingga satu pertiga atau satu perdua malam.”

Nabi bersabda yang bermaksud: “Lewatkanlah solat fajar kerana ia lebih agung ganjarannya.” (Riwayat Ahmad)

solat-awal-waktu-1

Pandangan Fuqaha

Dua kumpulan hadis di atas memberi kesan terhadap pandangan para fuqaha mazhab sebagaimana berikut:

Mazhab Hanafi: Sebaik-baik waktu adalah pada awalnya kecuali solat Subuh dan Asar.

Mereka berpandangan solat Subuh lebih afdal ditunaikan ketika hampir terang bagi meramaikan jemaah di masjid. Mereka berdalil dengan hadis keenam di atas. Bagaimanapun majoriti fuqaha mazhab mengatakan solat Subuh ketika gelap (awal waktu) lebih afdal. Adapun solat Asar, melewatkannya lebih afdal bagi membolehkan solat sunat dilakukan sebanyak mungkin sebelumnya.

Mazhab Maliki: Sebaik-baik waktu adalah pada awal waktu sama ada berjemaah atau bersendirian, tidak kira sama ada solat Zuhur atau selainnya.

Mereka berdalilkan dengan hadis pertama, kedua dan kelima. Jadi semua solat fardu afdal diawalkan kecuali jika menunggu jemaah sampai.

Mazhab Syafi‘i: Disunatkan menyegerakan solat kecuali solat Zuhur.

Bagi solat Zuhur, disunatkan menunggu sekejap sehingga sedikit redup dan kurang panasnya. Pandangan ini berdasarkan hadis keempat.

Mazhab Hanbali: Afdal adalah pada awal waktu kecuali bagi solat Isyak dan Zuhur.

Melewatkan Isyak hingga ke sepertiga malam adalah afdal sekiranya tidak menyukarkan makmum berdasarkan hadis kelima. Adapun bagi waktu zuhur, mereka berdalilkan hadis ketiga.

Dr. Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas