Menu

 

A+ A A-

KEAJAIBAN SUSU

SABDA nabi s.a.w. “...aku tidak mengetahui ada sesuatu yang boleh menggantikan kedudukan makanan sekali gus minuman, melainkan susu.” (Riwayat Abu Daud)

Susu merupakan minuman fitrah. Haiwan-haiwan yang baru dilahirkan tidak perlu diajar untuk menghisap susu ibunya. Begitu juga dengan bayi yang baru dilahirkan, secara fitrahnya akan terus menghisap susu ibunya apabila tersentuh dengan puting susu ibunya.

Justeru, susu merupakan minuman pertama bagi kehidupan. Susu yang keluar daripada badan ibu cukup khasiatnya, sesuai dengan haiwan atau bayi yang dilahirkan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (Iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” (Surah an-Nahl 16: 66).

Di syurga juga terdapat apa yang dikatakan sungai-sungai susu. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (sudah tentu tidak sama)!”  (Surah Muhammad 47: 15).

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa diberikan makanan oleh Allah, hendaklah dia mengucapkan:
Ya Allah, berikanlah keberkatan bagi kami dalam makanan ini dan berikanlah kepada kami rezeki yang lebih baik daripadanya. Dan apabila diberikan oleh Allah rezeki minuman, hendaklah dia mengucapkan:
‘Ya Allah, berikanlah keberkatan bagi kami dalam minuman ini, dan tambahkanlah yang lebih baik dari ini.’ Aku tidak mengetahui ada sesuatu yang boleh menggantikan kedudukan makanan sekali gus minuman, melainkan susu.” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim terdapat sebuah hadis menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. suatu malam ketika bertolak untuk urusan Israk, Baginda dihidangkan secawan susu dan secawan arak. Baginda s.a.w. memandang dua minuman itu, kemudian Baginda mengambil cawan yang berisi susu. Malaikat Jibril berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan dirimu kepada fi trah. Jika kamu mengambil cawan berisi arak, umatmu pasti tersesat.”

Keistimewaan Susu Ibu
Minuman yang terbaik bagi seorang bayi adalah susu ibu. Warna susu ibu bergantung kepada peringkat susu tersebut. Pada setiap kali penyusuan, peringkat permulaan susu ibu adalah lebih cair kerana ianya mengandungi lebih banyak air berbanding lemak. Setelah bayi minum agak lama, barulah susu yang pekat akan dikeluarkan. Susu peringkat ini mengandungi lebih banyak lemak. Istilah yang biasa digunakan untuk peringkat susu ini adalah “fore milk” – susu awalan (cair) dan “hind milk” – susu akhiran (pekat).

Oleh sebab itu untuk memastikan bayi mendapat khasiat susu ibu sepenuhnya, pastikan bayi menghisap sehingga payudara ibunya kosong kesemuanya. Biasanya ini mengambil masa lebih kurang 15 -20 minit untuk setiap belah payudara. Susu ibu banyak kebaikannya berbanding susu-susu lain terhadap bayi. Antaranya dapat membekalkan antibodi untuk bayi menjadikan bayi kurang alah kepada penyakit. Susu ibu juga sangat sesuai untuk bayi kerana ia mudah dihadamkan berbanding susu yang berfomula.

Bayi yang menyusu kurang mendapat sembelit manakala najis bayi manjadi lembut, kurang berbau dan tidak mengandungi bakteria ammonis dermatitis. Bayi anda juga kurang mengalami ruam lampin dan bayi juga jarang mengalami lebihan berat badan. Setiap bayi mempunyai selera dan kadar metabolism yang berbeza. Anda tidak perlu gusar jika bayi anda gemuk atau lebih kurus berbanding bayi jiran anda. Berat badan bayi anda sesuai untuk dirinya sendiri. Bayi yang menyusu susu badan, jarang mengalami kembung perut.

Susu ibu juga memberi manfaat kepada ibu juga. Menyusu mengekalkan kerampingan bentuk tubuh badan dan jarang terjadi barah payudara di kalangan masyarakat yang secara tradisional masih mengamalkan pemberian susu ibu. Oleh sebab itu menyusukan bayi memberikan perlindungan kepada ibu daripada penyakit tersebut. Walaupun secara umumnya percaya menyusu badan menyebabkan bentuk dan saiz payudara tidak lagi cantik, kajian menunjukkan ia tidak ada kaitan dengan menyusukan bayi. Perubahan saiz dan bentuk payudara disebabkan proses mengandung. Semasa menyusu, hormon oxytocin dibebaskan dan ini membantu mengecutkan rahim. Hormon ini juga merangsang pengeluaran susu agar berterusan. Bentuk pinggang dan punggung kembali ke bentuk asal dengan segera. Lemak yang terkumpul akan hilang jika ibu menyusukan bayi.

Selain itu susu ibu juga dapat menjarakkan kehamilan dengan syarat hendak lah menyusukan sepenuhnya, iaitu memberi apabila bayi meminta. Sewaktu menyusu, hormon prolaktin dibebaskan oleh system tubuh. Hormon ini menghalang pengovulan dan ia merupakan cara untuk merancang kehamilan.

Banyak lagi kebaikan susu ibu bukan sahaja diperoleh oleh bayi, tetapi ibu yang menyusui juga. Ibu-ibu sepatutnya lebih cenderung dan bermotivasi tinggi untuk memberi susu badan kerana ia banyak manfaat dan paling penting ia menjadikan hubungan yang sangat intim antara ibu dengan anak.

Dalam al-Quran, Allah s.w.t. juga menyebut mengenai meyusu susu ibu iaitu dalam firman-
Nya dalam surah Luqman ayat 14 bermaksud:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapih (tahap tempoh cerai dari penyusuan) dalam dua tahun.”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Baqarah ayat 233 bermaksud: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi mereka yang hendak menyempurnakan penyusuan.”

Keistimewaan Susu Lain
Susu kambing pula termasuk susu yang paling kental dan lembap. Susu ini mengandungi lemak dan protein lebih dari yang ada pada lembu atau kibas, tetapi selain itu boleh menyebabkan kahak dan ampas serat. Ia boleh menyebabkan panau jika sering diminum. Justeru, sebelum minum hendaklah dicairkan dengan air agar tubuh tidak terlalu berat untuk menerimanya. Pada masa yang sama ia lebih mudah menghilangkan dahaga serta mampu menyejukkan badan.

Antara keistimewaan susu kambing juga ialah kaya dengan protein, enzim dan vitamin A. Ia juga mengandungi faktor anti artritis (infl amasi sendi) dan anti barah. Susu kambing juga diperakui oleh pakar-pakar kesihatan untuk mengubati demam kuning, penyakit kulit, gastrik, lelah (asma), insomnia dan ulser. Susu kambing mudah dihadamkan kerana zarah lemaknya lebih kecil. Khasiat susu kambing yang disimpan sejuk atau sejuk beku tidak akan berubah kualitinya.

Susu lembu pula boleh menambah zat dan menyuburkan badan, juga boleh mengendurkan otot perut secara stabil. Ia merupakan jenis susu yang paling stabil bahkan yang paling elok berbanding susu kambing dan kibas, iaitu dalam kandungan lemak dan kadar kekentalannya.

Manakala susu unta dikatakan lebih berkhasiat daripada susu lembu. Lemak yang terkandung di dalamnya 40 peratus lebih rendah daripada susu lembu. Susu unta juga kaya dengan vitamin C dan mineral seperti magnesium, sodium, kalium, dan zat besi. Begitulah keistimewaan susu unta.

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas