Menu

 

A+ A A-

TENANG APABILA MEMAAFKAN

HIDUP adalah pentas perjuangan dan salah satu antaranya adalah perjuangan ketika berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain. Kita tidak terlepas daripada berselisih pendapat, dan berbeza pandangan dengan orang di sekeliling kita.

Secara umumnya, orang yang dizalimi pasti ingin membalas kepada orang yang menzaliminya. Tentu mereka akan membalas sama seperti yang telah diperlakukan kepadanya, atau lebih buruk daripada itu. Hanya segelintir sahaja yang akan berlapang dada, ikhlas, tidak berdendam, bahkan memaafkan kesalahan orang yang telah berbuat salah kepadanya.

Mengapa Sukar Memaafkan?

apabilaBenarlah, memaafkan itu memerlukan sejumlah besar keberanian. Orang yang mampu melakukannya adalah orang yang mempunyai jiwa yang besar. Jiwa dan fikirannya terlalu besar untuk dibelenggu dan disibukkan dengan perkara-perkara yang merugikan seperti tidak puas hati, geram, apatah lagi membalas dendam. Hatinya tidak mahu mengikut hawa nafsu kehendaknya. Orang yang beriman sentiasa menyedari bahawa kesan dan akibat jika dibalas kesalahan itu. Oleh sebab itu, mereka memilih untuk memaafkan sahaja agar jiwa memperoleh tenang, tenteram dan bahagia. Orang yang pemaaf menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna dan bebas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Baginya, memaafkan itu lebih mulia daripada berdendam. Allah berfirman dalamsurah al-A’raf ayat 119 yang bermaksud: “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang melakukan yang makruf, dan berpalinglah daripada orang yang jahil.”

Memaafkan bukanlah bermaksud kita melepaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Rasulullah s.a.w. semasa hayatnya adalah pemimpin yang paling pemaaf yang tiada tandingannya. Baginda sentiasa memaafkan sesiapa sahaja yang pernah menganiaya dan berbuat salah kepada Baginda.

Jangan Marah!

apabila1Rasulullah s.a.w. telah memaafkan perilaku zalim dan aneka ragam penganiayaan yang dikenakan kepada Baginda s.a.w. sewaktu menjadi golongan yang tertindas di Makkah sebelum berhijrah ke kota Madinah. Baginda membuat pengumuman penting pada hari pembukaan Kota Makkah kepada masyarakat Quraisy: Izhabufa antum tulaqa’ (Pergilah, kerana kalian golongan yang merdeka!) Tiada sebarang penganiayaan terhadap mereka yang pernah menindas dan melakukan kejahatan kepada Baginda sama sekali.

Sifat pemaaf ini telah terbukti dapat memberikan manfaat pada ketenangan hati, bahkan kesihatan tubuh badan. Betapa jiwa tidak tenteram jika sentiasa digugat oleh perasaan tidak puas hati dan marah. Bagaimana hati akan tenang jika sentiasa berfikir dan merancang untuk membalas dendam? Memaafkan sahaja yang akan mampu menstabilkan emosi, menyiram perasaan dendam, merasionalkan fikiran dan melapangkan hati. Justeru tidaklah seseorang yang mohon dinasihati: “Janganlah engkau marah!”

Pemaafnya Rasulullah

Pada suatu hari, ketika Baginda sedang berehat-rehat, seorang wanita Yahudi datang membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang. Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar makan kambing panggang. Bahagian kegemaran Baginda ialah paha kanan bahagian depan. Wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu. Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.

Melihat hidangan itu, Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, Baginda memakan dengan begitu berselera sekali. Seorang sahabat Rasulullah, Bisyir bin Barra bin Ma’rur turut makan bersama. Namun, sewaktu Baginda sedang mengunyah makanan itu, Baginda mendapat tahu tentang racun yang ada pada anggota kambing tersebut. Rasulullah s.a.w. meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah.

Bisyir bin Barra bin Ma’rur menjadi korban. Sahabat Baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut. Rasulullah bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang: “Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang Rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk tentang perkara ini. Tetapi jika engkau hanya orang biasa, maka aku pasti berasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau membawa banyak kemusnahan kepada kaum Yahudi.”

Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, Baginda memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu layak dikenakan tindakan yang sewajarnya.Ajaibnya sifat memaafkan yang dimilikioleh Nabi Muhammad s.a.w. Hanya insan berhati mulia yang ingin mencontohi Baginda dan mampu bermujahadah bersungguh-sungguh sahaja yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain.

 

Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas