Menu

 

A+ A A-

AWASI KEMUDAHAN ELAKKAN IANYA DARIPADA DISALAHGUNAKAN

Jika kelonggaran ini tersebar luas, masyarakat akan menganggap ianya  suatu yang diharuskan oleh syarak, dan akan menjadi perkara itu  sebagai adat biasa dalam kehidupan mereka. Sebagai agama yang syumul, Islam tidak sekali-kali memberat atau menyusahkan umatnya. Islam menyediakan hukum rukhsah dan mengambil kemudahan dalam perkara yang tidak mampu dilakukan oleh umatnya.

Dalam keluaran yang lepas telah dijelaskan beberapa syarat mengambil kemudahan (dhowabit al-yusr) dan kali ini kita dalami beberapa lagi syarat. Terdapat keyakinan bahawa memang berlaku kepayahan (masyaqqah) yang memerlukan kemudahan.

Masyaqqah itu satu sifat yang tidak tetap, berbeza antara seseorang dengan yang lain, keadaan dan masa yang berlainan, tahapnya Elakkan Ianya daripada Disalahgunakan juga berbeza, maka hukum mengambil kelonggaran juga berbeza. Jadi bukan semua masyaqqah itu boleh diambil kelonggaran. Sheikh al-‘Izz bin Abdul-Salam dalam menyatakan hal ini menyebut bahawa masyaqqah itu terbahagi kepada dua:

a. Masyaqqah yang tidak dapat dipisahkan daripada ibadat:

Seperti mandi wajib dan berwuduk sebelum solat, terutamanya pada waktu subuh ditempat yang mengalami musim sejuk yang melampau, berpuasa pada waktu musim panas di negara-negara gurun, bermusafir untuk menuntut ilmu, kesibukan haji yang tidak dapat dielakkan dan yang seumpamanya.

Jika masyaqqah ini diambil kira, maka hilanglah kemaslahatan dan kelebihan ibadat serta ketaatan pada setiap masa, juga terlepaslah kita daripada pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. selama kita hidup di dunia ini.

b. Masyaqqah yang biasanya terpisah daripada ibadah. Masyaqqah ini terbahagi kepada beberapa jenis:

  • Masyaqqah yang berat. Seperti takut hilang nyawa, binasa anggota, maka masyaqqah sebegini boleh membawa kepada keringanan dan rukhsah. Hal ini kerana menjaga diri dan anggota itu untuk keperluan maslahat dunia dan akhirat lebihutama daripada membiarkannya binasa dalam mengerjakan ibadat. Ibadat itu boleh ditangguhkan. Contohnya: Berhenti solat untuk menyelamatkan orang yang sedang kelemasan.
  • Masyaqqah yang ringan. Seperti sakit jari sedikit, pening kepala, rasa gementar dan seumpamanya. Masalah ini tidak diambil kira kerana menunaikan kemaslahatan ibadat itu lebih utama.
  • Masyaqqah yang terletak di antara dua kategori ini. Dalam hal ini harus dilihat ke arah kategori mana yang lebih hampir, jika berat, maka harus mengambil rukhsah darinya, jika ringan tidak harus mengambil rukhsah.

Meyakini terdapatnya kemudahan

Taisir (kemudahan/kelonggaran) adalah sebahagian maslahah yang wajib diambil kira ketika mengeluarkan hukum (fatwa). Oleh sebab itu meyakini terdapatnya kemudahan yang boleh menghilangkan kepayahan (masyaqqah) daripada seorang mukallaf, tanpa mengabaikan maslahah lain, adalah wajib.

Perlu dijelaskan di sini, sangkaan atau dakwaan terdapat kemudahan dalam sesuatu hukum yang diputuskan adalah sesuatu yang umum. Mungkin tidak semua orang dapat merasainya, dan mungkin juga terkeluar dari batasan syarat pada beberapa ketika.

Contohnya, hukum mengharuskan melontar Jamrah (di Mina) sebelum Zuhur pada hari-hari Tasyriq. Sebahagian ulama berpendapat, mengharuskannya adalah memberi kemudahan kepada jemaah haji. Tetapi ada sebahagian yang lain tidak menerimanyakerana kemungkinan kesusahan yang terjadi ketika melontar selepas Zuhur akan terjadi pula sebelumnya. Hal ini kerana mereka akan berebut pada waktu itu pula. Tidak timbul kerosakan/fasad kepada kemudahan sama ada dari segi jangka masa panjang atau pendek.

Kemudahan ini wajib mengambil kira kaedah masa depan (qaedah al-ma’al) dan kaedah menyekat (qaedah sadd al-zara’i) daripada melakukan suatu perkara yang akan membawa kepada kerosakan. Maksudnya dengan memberi kemudahan itu akan membawa kerosakan, yang segera atau yang tertangguh, sama ada kepada orang yang berkenaan atau kepada umum.

Contohnya, untuk menjaga kedudukan sebahagian golongan tertentu, para mufti atauahli agama mencari hukum bagi mengharuskan  bersalaman antara lelaki dan perempuan asing (bukan mahram), atau mencari hujah yang mengharuskan wanita tidak bertudung untuk menyelamatkan mereka yang tidak mahu memakainya. Jika kelonggaran ini tersebar luas, masyarakat akan menganggap ianya suatu yang diharuskan oleh syarak, dan akan menjadi perkara itu sebagai adat biasa dalam kehidupan mereka.

Demikian juga, fatwa yang dikeluarkan oleh ulama di Eropah dalam menisbahkan bin/binti anak hasil perbuatan zina kepada bapa zinanya. Kelonggaran ini adalah untuk menyelesaikan masalah yang cukup mencemaskan mereka. Sekiranya pandangan ini disebarkan dalam masyarakat Melayu yang mula runtuh nilai-nilai keislamannya, tentulah perbuatan tersebut akan menjadi lebih parah lagi.

Berdasarkan kepada kaedah ini, maka tidak boleh mana-mana pihak mengeluarkan hokum dalam perkara yang boleh membawa kepada terbatalnya hukum-hukum syariat kepada masyarakat. Hal ini demikian mungkin boleh disalahgunakan.

Mengambil kira Hal Keadaan Orang yang Bertanya

Manusia lazimnya berbeza pegangan dalam agama, ada yang kuat, bertegas atas dirinya sendiri, maka ia mencari pendapat yang lebih berat untuk diamalkan. Ada pula yang mahu mencari jalan mudah dengan hukum, mencari jalan dan helah, untuk mengambil amalan yang ringan dan mudah. Sebahagiannya pula bersederhana.

Seorang ahli ilmu yang mengeluarkan hukum, harus peka dan memahami keadaan orang yang bertanya, supaya mengeluarkan hukum yang sesuai dengannya. Ini supaya mereka yang terlalu longgar itu akan lebih sensitif terhadap amalannya, begitu juga sebaliknya, yang terlalu rigid akan lebih lunak.

Selain daripada itu, ada dalam kalangan manusia yang suka mengambil peluang untuk melakukan maksiat dan perkara yang haram, maka berhati-hati jika memberi kelonggaran (rukhsah) kepada golongan ini. Dibimbangi rukhsah itu dijadikan sebagai jalan dan alasan untuk mereka melakukan maksiat. Sebagai contoh; seorang yang sudah membunuh seorang Islam lain, dan tiada terdapat tanda-tanda penyesalan dan keinsafan pada dirinya, maka jangan sekali-kali kita mengatakan kepadanya bahawa rahmat Allah itu luas, pintu keampunan sentiasa terbuka. Kesannya, dia akan terus melakukan pembunuhan.

Sebaiknya dalam keadaan itu hendaklah dibacakan kepadanya ayat-ayat al-Quran yang menyatakan tentang azab dan balasan yang pedih ke atas dosa seperti itu, semoga ianya dapat menakutkanya, seterusnya akan menginsafkannya daripada terus melakukan dosa tersebut.

Dalam berhadapan dengan orang yang telah tampak padanya tanda-tanda penyesalan dan keinsafan pula, bolehlah bercakap dengannya tentang rahmat dan pengampunan Allah.

Hal ini supaya dia tidak akan terasa putus ada daripada rahmat Allah. Seorang ulama berhadapan dengan orang yang bertanya akan masalah, adalah ibarat seorang doktor berhadapan dengan pesakit, maka dia berkewajipan menentukan ubat yang sesuai dengan masalah si pesakitnya.

Hukum Taisir Diberi oleh yang Berkelayakan

Hukum Taisir diberi oleh yang berkelayakan dari segi ilmu dan ijtihad, bukan hanya dari segi jawatan. Kata Ibn al-Sam’ani r.hm.: “Ulama yang mengeluarkan hukum mesti mempunyai tiga syarat:

1. Mampu berijtihad.

2. Sempurna sifat-sifat keadilan dalam agama (alim dan warak), beramal dan beriltizam dengan ilmunya dan dipercayai untuk melaksanakan hak dan syarat-syarat ijtihad.

3. Bukan seorang yang bermudah- mudah dan mengambil perkara yang longgar sahaja dalam agama. Iaitu dengan menjaga hak Allah Taala dalam berhukum, dalam masa yang sama tidak mengabaikan hak orang yang bertanya.”

Beberapa syarat-syarat kemudahan dalam Islam seperti yang dapat dinukilkan di sini perlu difahami sepenuhnya oleh umat Islam. Suka diingatkan, kemudahan yang tidak memenuhi syarat-syarat adalah ditolak, maka begitu juga kepayahan/kesukaran yang tidak mempunyai dalil dan berlawanan dengan nas, juga ditolak. Para ulama telah menjelaskan  bahawa kedua perkara ini salah dan tidak harus mengamalkannya.

Satu contoh masyhur dalam topik ini, diceritakan bahawa seorang ulama, yang juga murid kepada Imam Malik r.hm., telah mengeluarkan fatwa ke atas seorang Raja Maghribi yang telah menyetubuhi isterinya pada waktu siang hari dalam bulan Ramadan. Sebagai kifarahnya, Raja tersebut telah ditetapkan untuk berpuasa selama dua bulan berturut-turut, tanpa ada pilihan lain.

Sedangkan hadis Rasulullah s.a.w. telah meletakkan susunan kifarah khas untuk kesalahan tersebut, yakni yang pertama memerdekakan seorang hamba, jika tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Alasan ulama ini: Dengan kedudukan beliau sebagai seorang raja, hanya denda ini yang dapat menggerunkannya, manakala kifarah yang lain adalah sesuatu yang ringan dan mudah baginya! (Siyar A’lam al-Nubala’, 11/21).

Maka kesusahan yang dibina dari fatwa ini tidak dikira dalam hukum syarak kerana jelas bertentangan dengan nas al-Hadis. Jadi, kepada golongan yang ingin memperkenalkan bahawa Islam itu mudah, jangan mengabaikan garis panduan dan syarat-syarat yang telah diperjelaskan oleh para alim ulama, supaya agama Islam tidak hilang kehebatannya dan kesuciannya terus terpelihara.

 

 

Dr. Abd. Basit Abd. Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas