PAKAIAN KITA, IDENTITI KITA
- Ditulis oleh Umar Muhammad Noor
- Kategori Dosa Pahala
- Read 9522 times
DALAM kalangan para ulama salaf, saya sangat mengagumi Imam Malik bin Anas (w.279H). Selain sangat rajin beribadah, beliau pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Sejak kecil lagi Imam Malik telah menimba ilmu daripada ramai ulama di Madinah.
Tidak dinafikan, antara punca kecemerlangan Imam Malik ialah jasa dan pengorbanan ibunya. Beliau tahu memotivasikan anaknya agar terus melangkah di jalan ilmu sehingga menjadi tokoh ulama terbilang.
Imam Malik bercerita: “Apabila aku hendak keluar menuntut ilmu pertama kali, aku meminta izin daripada ibuku. Beliau berkata: “Marilah ke sini, wahai anakku. Pakailah dulu baju ilmu.”
Ibu Imam Malik memakaikan kepadanya jubah yang lebar. Sebuah kopiah panjang diletakkan di atas kepalanya. Lalu kopiah itu dibalut dengan serban. Semua ini ialah baju yang biasa dipakai para ulama ketika itu.
Ibunya berkata lagi: “Sekarang, kamu boleh pergi. Tuntutlah ilmu dengan baik. Belajarlah dengan Rabiah bin Abdurrahman. Pelajari adabnya sebelum ilmunya.”
Kisah ini diriwayatkan oleh al-Qadi ‘Iyad dalam sebuah kitab yang khas menceritakan kisah hidup Imam Malik dan para ulama mazhab Maliki. Kitab itu bertajuk Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik li Ma’rifati A’lami Madzhab Malik.
Kecenderungan dan Identiti
Riwayat singkat di atas menunjukkan ketajaman minda ibu Imam Malik. Beliau sedar kesan pakaian pada jiwa pemakainya. Memakai baju seperti ulama akan melahirkan perasaan seolah-olah ia sebahagian daripada mereka.
Ilmu psikologi moden menyokong kenyataan ini. Sesiapa yang berminat untuk mahir dalam sesatu bidang ilmu, ia mesti meniru pakaian yang dikenakan oleh para pakar ilmu itu. Itu sebabnya, semasa majlis konvokesyen, para graduan memakai jubbah dan topi khas yang dipakai ahli ilmu agar mereka dapat merasakan dirinya sebahagian daripada ahli ilmu.
Jelas, pakaian bukan sekadar menutup aurat, malah mencerminkan identiti dan menunjukkan kecenderungan kita. Sesiapa yang menyukai permainan bola sepak, terlihat daripada pakaiannya. Begitu juga, sesiapa yang meminati pemuzik dan pelakon, pakaiannya menyerupai tokoh idolanya.
Hukum ini juga ditonjolkan melalui pelbagai aksesori yang kita pakai seperti rantai, gelang, jam tangan, kasut, beg dan lainlain. Semua ini melambangkan identiti dan kecenderungan jiwa kita.
Islam dan Pakaian
Islam telah mengatur pakaian dan penampilan tertentu sesuai dengan gender pemakainya. Pakaian lelaki mencerminkan kegagahan, sementara pakaian perempuan mencerminkan kesopanan. Kedua-duanya ialah pakaian takwa yang Allah perintahkan dalam al-Quran.
Melanggar ketentuan ini mengakibatkan kekeliruan identiti yang membawa kepada masalah kejiwaan seperti yang terjadi pada zaman ini. Tidak sedikit lelaki yang “berjiwa” perempuan, dan perempuan yang “berjiwa” lelaki. Fenomena ini membawa kepada kecenderungan seks sumbang berbentuk homoseksual dan lesbian. Nauzubillah, semoga Allah melindungi kita dan keluarga kita daripadanya.
Dari Ibn Abbas: “Nabi s.a.w. pernah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan, dan perempuan yang menyerupai lelaki.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Andalus
Sekarang, mari kita teliti pakaian yang kita pakai sehari-hari. Kebelakangan ini, kita sering melihat para pemuda Islam yang bertatu dan beranting-anting. Sebahagian yang lain, mewarnakan rambut dengan warna merah dan perang. Remaja perempuan pula sangat suka memakai skirt pendek. Kononnya, mahu menjadi seperti pelakon Korea!
Subhanallah. Remaja Melayu Muslim lebih suka menjadi orang lain yang beragama lain. Fenomena ini menunjukkan kelemahan jiwa. Jika tidak segera diubati, akan membawa akibat yang merugikan bangsa sendiri.
Ibn Khaldun berpendapat: “Sesiapa yang terjajah secara budaya, suatu saat akan terjajah secara zikal.” Apabila beliau melihat para pemuda Islam di Andalus sangat suka meniru cara berpakaian bangsa Kristian Sepanyol, beliau meramalkan suatu hari Andalus akan jatuh ke tangan bangsa Kristian.
200 tahun kemudian, ramalan itu menjadi kenyataan. Kaum Muslimin terusir dan Islam lenyap dari negeri ini hingga sekarang. La haula wala quwwata illa billah.
Hamba Allah vs Hamba Trend
Apa yang terjadi pada kaum Muslimin di Andalus seharusnya menyedarkan kita agar tidak terikut-ikut fesyen dan trend.
Kita hamba Allah, bukan hamba fesyen dan trend. Justeru, kita mesti berkata tidak kepada trend yang tidak selari dengan agama dan budaya kita. Ya, sekali lagi suka saya ingatkan, pakaian kita adalah cerminan identiti dan jiwa kita. Wallahuaklam.
Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.10
Umar Muhammad Noor
Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.