Menu

 

A+ A A-

HUKUM HADIAH CABUTAN BERTUAH

Saudaraku yang mulia ustaz Muhammad Syed, Saya telah menerima soalan anda tentang hadiah (daripada cabutan bertuah) yang ditawarkan oleh penjual kepada sesiapa yang membeli barangan mereka. Pemenangnya nanti akan mendapat hadiah yang bernilai besar seperti kereta, peti sejuk, mesin basuh, televisyen dan macam-macam lagi.

Pendapat saya dalam masalah ini, kita mesti membezakan antara hadiah kecil yang biasa diberikan kepada pembeli (seperti hadiah percuma untuk setiap pembelian berupa mangkuk, kereta mainan dan sebagainya) dengan hadiah besar yang diberikan menerusi cabutan bertuah yang hanya dimenangi oleh beberapa orang pembeli sahaja. Hadiah-hadiah biasa tersebut adalah halal. Ini kerana ia merupakan bentuk penghargaan daripada penjual kepada pembeli.

Adapun berkaitan dengan soalan anda ini, yakni hadiah bernilai besar seperti kereta dan peti sejuk yang diberikan menerusi nombor-nombor kupon yang diberikan bagi setiap pembeli barangan dalam had harga tertentu, lalu diberikan menerusi cabutan bertuah, sehingga para pembeli menjadi tertarik untuk membeli barangan tersebut disebabkan hadiahnya, maka saya melihatnya tidak lain sebagai sebuah cabutan komersil yang dikira sebagai perjudian yang haram. Berdosa hukumnya ke atas kedua-dua pihak penjual dan pembeli yang melakukannya.

Jadi, apa yang diperoleh menerusi cabutan itu tidak halal. Lebih-lebih lagi cara ini boleh menjejaskan ekonomi para peniaga kecil yang tidak mampu untuk melakukan tawaran yang serupa. Semua orang tidak lagi membeli daripada mereka. Akhirnya mereka terkeluar daripada pasaran. Ini satu kerosakan ekonomi yang besar! Wallahu a‘lam.

 

 


Sheikh Mustafa bin Ahmad al-Zarqa
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 6


Sheikh Mustafa bin Ahmad al-Zarqa

Seorang pakar fiqah dan usul fiqah yang berasal dari Aleppo, Syria. Dilahirkan pada tahun 1904 dalam keluarga ulama yang sangat mencintai dan mengamalkan ilmu. Beliau terlebih dahulu menimba ilmu daripada ayahnya Syeikh Ahmad Zarqa sebelum belajar di Universiti Damsyik. Pernah mengajar di beberapa buah universiti antaranya di Universiti Damsyik dan Universiti Jordan. Sangat aktif dalam persidangan-persidangan fiqah

Kembali ke atas