Menu

 

A+ A A-

JERAT-JERAT GHAIB

KELIHATAN sekelompok manusia sedang berbual. Seketika kemudian kedengaran mereka mengilai-ilai sambil menyebut “gila kamu! tolol kamu!” Mereka berbual-bual lagi. Seketika kemudian pecah lagi ketawa ilai mereka. Kali ini pula sebutan “Hoi beruk! Engkau bengap!” dan banyak lagi perkataan sumpah seranah yang dihamburkan.

Semuanya berlaku dalam keadaan mereka ketawa terbahakbahak. Seolah-olah mereka bahagia mengucapkan perkataan sumpah seranah itu. Adakah mereka sedar apa yang mereka tuturkan itu dihisab oleh Allah? Adakah mereka berfikir jika rakan mereka yang disumpah seranah itu tidak ambil hati, maka Allah tidak akan peduli?

Terlajak Kata Buruk Padahnya

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendapat penjagaan Allah daripada kejahatan lidah dan kemaluannya, pasti dia akan masuk syurga.” (Riwayat al-Tirmizi). Aisyah r.ha. menceritakan bahawa beliau pernah berkata kepada Rasulullah: “Cukuplah Safiyyah yang begini dan begitu untukmu.” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sungguh engkau telah mengucapkan suatu perkataan, yang jika dicampurkan ke dalam air laut, pasti ia menjadikannya keruh!”

Kemudian beliau menceritakan tingkah laku seseorang (tentang kekurangannya), maka Nabi bersabda: “Aku sama sekali tidak senang menceritakan tingkah laku orang lain walaupun aku diberi seberapa banyak manapun (daripada harta dunia)!” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).

Hadis ini merupakan peringatan keras atas perbuatan mengumpat dan juga kejahatan lidah. Hati-hatilah bertutur, kerana ia jerat-jerat ghaib yang mampu membinasakan kita di akhirat. Kita pernah temui orang yang menghina orang lain padahal dia belum keluar dari masjid. Ada juga yang berbohong padahal dia masih berada di depan pintu masjid setelah selesai menunaikan solat. Ada peniaga yang menipu pembelinya, padahal baru sahaja selesai menunaikan solat di masjid. Subhanallah!

Adakah mereka tidak sedar bahawa ucapan sebegitu adalah dosa? Atau mereka terjerat tanpa sedar? Ternyata, inilah jerat ghaib yang akan mengheret tuannya ke dalam neraka Allah s.w.t. Na’uzubillah min zalik. Sebetulnya dan sebagusnya, kita bertutur sahaja percakapan yang baik dan molek. Penuhkan perkataan yang indah-indah dan manis-manis belaka.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dan kalimah yang baik itu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Nabi s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: “Takutlah kamu kepada neraka Allah dengan cara bersedekah walaupun dengan sebiji kurma. Namun sesiapa yang tidak memiliki sebiji kurma, maka bersedekahlah dengan perkataan yang baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

jerat-jerat-ghaib-1

Karamah Orang yang Menjaga Lidahnya

Di Kaherah, Mesir ada seorang guru al-Quran yang sangat taat kepada Allah. Dia mengajar al-Quran dan membimbing penghafaz al-Quran di kompleks tempat tinggalnya. Selama bertahun-tahun dia tidak pernah terlambat untuk datang mengajar pada waktunya iaitu selepas solat Subuh hingga terbit matahari. Pada satu hari dia mengucapkan selamat tinggal kepada semua yang hadir setelah menutup pelajarannya. Seakan-akan dia tidak akan kembali mengajar setelah hari itu. Hari itu juga sebelum tiba saat zuhur, murid-muridnya mendapat berita tentang kematiannya pada jam 10 pagi. Keesokan harinya, seorang murid bertemu dengan isterinya.

Lalu isterinya bercerita: “Kelmarin dia pulang ke rumah jam 7.30 pagi. Kemudian dia berkata: “Sesungguhnya, saya akan mati pada jam sepuluh!” Saya fikir dia bergurau. Lalu dia berkata: “Siapkanlah sarapan.” Saya menyiapkan sarapan, lalu kami makan bersama. Pada jam 8.30 pagi dia masuk ke kamar mandi dan mandi agak lama. Kemudian dia keluar dan memakai wangian sebagaimana yang dia lakukan ketika hendak berangkat untuk solat Jumaat. Lalu dia memakai pakaian yang paling bagus dan mulai membaca al-Quran.

Beberapa minit sebelum jam 10.00 pagi dia berkata: “Abang akan mati pada jam 10, maka maafkanlah abang. Lupakanlah semua kesalahan dan kekhilafan abang kepada awak.” Saya sangat terkejut sehingga tidak mampu mengucapkan apa-apa. Beberapa detik sebelum jam 10.00 pagi dia bersiap-siap untuk tidur dan mengucapkan dua kalimah syahadah, lalu dia pergi menghadap Tuhannya buat selama-lamanya.

Saudaraku, lihatlah kehidupan orang yang sentiasa menjaga lidahnya untuk berzikir dan mengajarkan al-Quran. Dia juga mengharamkan lidahnya sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Dia tidak berkata cabul, bercakap celupar mahupun mencaci manusia. Inilah orang yang diberikan kejayaan di akhirat oleh Allah. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat rahmat Allah s.w.t. dan diselamatkan daripada jerat-jerat ghaib yang membinasakan. Insya- Allah.

A.Ubaidillah bin Alias
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas