Menu

 

A+ A A-

BUDAYA DOSA! APABILA DOSA RASUAH YANG LUAR BIASA, DIANGGAP BIASA

POLITIK wang, pecah amanah, sogokan dan lain-lain bentuk rasuah adalah dosa-dosa luar biasa yang sudah dianggap biasa. Ia adalah dosa yang 'luar biasa’ kerana rasuah bukan sahaja merosakkan kehidupan individu yang terlibat, masyarakat dan negara, bahkan menyebabkan penderitaan yang dahsyat di akhirat kelak.

Ironinya, ia juga dianggap 'biasa’ kerana sudah kerap benar berlaku, dilakukan oleh semua peringkat masyarakat, malah hampir-hampir menjadi budaya.

Anehnya, negara-negara Islam adalah antara negara yang paling terkedepan dalam pengamalan rasuah. Ini satu hakikat yang sangat memalukan. Kalau kita terus berhujah bahawa ada bezanya antara agama Islam dan umatnya yakni Islam sentiasa unggul tetapi masalah hanya terletak pada umatnya... bagaimana kalau nanti ada pihak yang mula mempersoalkan, kalau begitu mana keupayaan Islam dalam mendidik umatnya menjadi baik?

Kita tinggalkanlah dulu persoalan yang boleh mengundang polemik itu. Kita kembali kepada persoalan pokok. Mengapa rasuah seolah-olah menjadi budaya? Pakar psikologi menyatakan, kejahatan (dalam konteks ini rasuah) bukanlah kerana kebetulan atau keterlanjuran yang berlaku sekali-sekala tetapi ia adalah satu kebiasaan yang telah lama berakar umbi justeru telah dilakukan berulang kali. Perasuah-perasuah “profesional” sebenarnya sudah memulakan “karier” mereka sejak awal lagi.

Kenapa seseorang itu terlibat dengan rasuah – memberi, menerima atau menjadi perantaranya? Tidakkah semua orang tahu keburukan rasuah dan membencinya? Politik wang misalnya, dikecam oleh semua pihak. Seolah-olah semua pihak membencinya, tetapi anehnya ia terus berlaku. Benar-benarkah yang mengecam dan membencinya telah berpatah arang dengannya? Berani kita katakan bahawa mereka yang mengecam rasuah kadang-kadang turut sama melakukannya.

Tapi kenapa mereka melakukannya? Miskin? Ingin ditegaskan miskin bukan sebab utama orang melakukan rasuah. Tidak percaya? Lihat orang kaya pun terlibat dengan rasuah. Pangkat rendah? Sekali lagi kita terkejut, perasuah kerap kali bukan daripada kalangan mereka yang berpangkat rendah. Orang yang berpangkat tinggi, yang berkuasa pun melakukan rasuah. Terdesak? Tidak juga, kerana ada orang yang tidak terdesak pun tergamak melakukan rasuah.

Tamak Punca Rasuah

Sewaktu menghadiri satu seminar mengenai integriti dalam pengurusan tidak lama dahulu, seorang pembentang kertas kerja menegaskan bahawa rasuah disebabkan oleh “NGO” – need, greed dan opportunity. Rasuah berpunca daripada sifat tamak. Akibat tamak, seorang lebih mementingkan diri berbanding orang lain. Asal aku senang, orang lain sudah tidak peduli. Tamak tidak mengira orang itu kaya atau miskin, pemimpin atau pengikut, pandai atau jahil. Bila ada sahaja sifat tamak, maka seorang itu berpotensi untuk melakukan rasuah.

Kenapa pula seorang itu tamak? Dalam Islam, tamak adalah antara sifat mazmumah (buruk). Menurut Islam lagi, sifat mazmumah berpunca daripada iman yang lemah. Tegasnya, manusia yang melakukan rasuah ialah manusia yang lemah iman atau langsung tidak beriman. Iman itu pula apa? Secara mudah kita katakan, iman itu adalah keyakinan terhadap Allah dan Hari Akhirat.

Keyakinan adalah sesuatu yang bukan bertapak pada akal sahaja, tetapi mesti bertunjang di hati. Jika hanya akal yang mengetahui tetapi hati tidak merasai, maka iman itu lemah. Orang yang lemah iman, hanya mampu untuk tidak melakukan kejahatan di hadapan manusia, atau ketika diawasi oleh undang-undang, tetapi apabila bersendirian, ia melakukan kejahatan sewenang-wenangnya.

Kaya Harta, Miskin Jiwa

Sebaliknya, orang yang beriman akan meninggalkan rasuah dalam keadaan apa sekalipun. Cukup bagi mereka amaran daripada Rasulullah ini, hadis daripada Thauban katanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Apabila Rasulullah yakni kekasih Allah melaknati kita, maka apa upaya untuk kita mendapat keberkatan dan ketenangan dalam hidup? Wang, harta, kuasa yang sebanyak mana pun tidak berguna lagi. Cuba lihat betapa ramai orang yang kaya, tetapi hidupnya resah – rezekinya cukup tetapi masih tidak cukup-cukup (kaya harta, miskin jiwa). Inilah impak laknat yang maknawi sifatnya tetapi sangat menghancurkan kehidupan – ‘neraka’ dunia, sebelum neraka akhirat!

Lebih buruk lagi, satu dosa itu kerap kali mempunyai ‘reaksi berantai’ dengan dosa-dosa yang lain. Rasuah misalnya, boleh menjangkit kepada zina, judi, arak, bunuh dan sebagainya. Malah menurut pengalaman, wang yang diperoleh dengan cara yang haram, selalunya mudah dibelanjakan ke jalan yang haram juga. Begitu juga kuasa atau jawatan yang diperolehi secara haram (politik wang), sering digunakan ke arah yang haram (salah guna kuasa, penzaliman dan penindasan).

Jadi bagaimanakah cara sebaiknya kita boleh membanteras rasuah? Apakah cukup dengan mengenakan undang-undang yang ketat dan keras? Atau ada cara lain yang lebih berkesan?

Tidak dinafikan undang-undang perlu untuk membanteras rasuah tetapi itu bukan jalan penyelesaian muktamad. Lihatlah betapa kerasnya undang-undang untuk pengedar dadah, hukuman mati mandatori! Namun, mengapa masih ramai yang berani mengedar dadah?

Begitu juga hukuman terhadap kes rasuah, walau bagaimana keras sekalipun masih ramai yang berani melakukannya. Apatah lagi apabila rasuah telah menjadi budaya – yakni diamalkan secara majoriti – maka ketika itu orang yang tidak mengamalkannya
pula dianggap terpinggir.

Rasuah Dianggap Suatu “Skill”

Dalam masyarakat yang terlalu rosak, memberi dan menerima rasuah sudah dianggap suatu “skill” dalam urusan perniagaan dan pentadbiran. Filem Sivaji the Boss, sedikit sebanyak berjaya menggambarkan keadaan ini.

Untuk menangani rasuah yang telah membudaya, kita perlukan kaedah pencegahan dari dalam, dibuat secara bertahap- tahap dan memakan masa yang lama. Maksudnya, kita perlu mengatasi sebab-sebab dalaman (yang berkait dengan soal iman dan taqwa). Seperti yang telah ditegaskan sebelumnya, rasuah dilakukan oleh manusia yang tidak yakin akan pengawasan Allah s.w.t. terhadap dirinya.

Kita tidak boleh mengharapkan kepada undang-undang dan hukuman sematamata. Kadangkala kita sudah ada undangundang yang keras, tetapi masalahnya sukar pula untuk dikuatkuasakan. Sinisnya, sering terjadi “pemantau” rasuah pun kekadang perlukan pemantauan. Bak seni kata lagu Allahyarham P. Ramlee, “Alhasil, balik asal… Itu pasal tak hasil.”

Apabila manusia mencipta undang-undang, maka manusia sentiasa ada cara untuk mengatasi atau melepasi undang-undang itu. Sebab itu pada sesetengah keadaan, jaring undang-undang hanya mampu menjerat “ikan bilis”, manakala si “jerung” dapat membolosi diri.

Oleh sebab itu, cara terbaik mengatasi rasuah ialah melalui pendidikan, kesedaran dan bimbingan yang berterusan kepada masyarakat. Terutamanya untuk generasi muda. Awal awal lagi perlu ditanamkan rasa beriman kepada Allah melalui pendidikan formal dan informal. Kemudian ajak remaja menghayati rasa beriman itu dalam kehidupan. Beri bimbingan dan pimpinan selalu kepada golongan remaja. Isi dan fokuskan ke arah pemantapan iman menerusi kaedah-kaedah yang sesuai dengan jiwa mereka yang dinamik, aktif dan adventurous.

Banteras keburukan di peringkat kanak-kanak lagi, supaya tidak jadi kebiasaan. Kata pepatah Arab, mendidik sewaktu kecil bagai melukis di atas batu. Mendidik sewaktu dewasa bagai melukis di atas air. Maksudnya, bukan mudah untuk melatih diri melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan apabila sudah meningkat usia.

Di peringkat remaja, jangan sekali-kali dibiarkan berlaku rasuah atau kejahatan yang seumpama itu. Misalnya, remaja menyogok kawannya untuk mendapat sesuatu yang bukan haknya. “Aku belanja kau makan kalau kau siapkan assignment aku.” Atau, “Eh, kau tak ingat dulu aku tolong kau? Janganlah kedekut sangat bro, bagilah aku tiru sikit.”

Ini adalah contoh bibit-bibit kepada rasuah. Mula-mula, hal kecil, tetapi lama kelamaan melarat menjadi hal yang besar- besar. Mula-mula tentang kerja rumah akhirnya tentang “buat rumah”.

Oleh itu penting sekali membuang atau mengikis sikap tamak dalam hati remaja. Cuba tanam kesedaran bahawa sikap tamak yang membawa kepada rasuah tidak akan menguntungkan. Orang tamak selalu rugi.

Jangan mengambil sesuatu yang bukan hak kita

Apabila kita cuba mengambil sesuatu yang bukan hak kita, kita sebenarnya mengundang kecelakaan. Kita mungkin dapat apa yang kita inginkan, duit, harta, keseronokan dan sebagainya, namun kita tidak akan temui ketenangan dan kebahagiaan.

Sekiranya setelah berusaha, masih ditakdirkan tidak mendapat kerja yang baik; mungkin sekadar buruh, pembantu pejabat atau tukang sapu, namun tanamkanlah dalam jiwa bahawa mencari rezeki dengan cara yang halal, walaupun hasilnya sedikit adalah lebih baik daripada rezeki yang banyak tetapi haram. Terimalah kesusahan yang sedikit di dunia demi mengharapkan kenikmatan yang berkekalan di akhirat.

Kata orang, jangan cuba menaiki tangga dengan cara melompat. Biar sedikit, tetapi halal dan berkat... itu lebih baik daripada banyak tetapi haram dan mudarat. Justeru, sejak usia muda semacam itulah remaja harus dibiasakan dengan wang dari sumber yang halal kerana apabila dewasa dan memegang amanah yang lebih besar nanti, mereka akan terbiasa dengan kejujuran, amanah dan prihatin terhadap keadaan orang lain. Sekali lagi beringat-ingatlah… kejahatan bukanlah kerana keterlanjuran tetapi satu kebiasaan yang telah lama berakar umbi. Maka begitu juga dengan kebaikan, ia bukan satu kebetulan tetapi satu kebiasaan yang dihasilkan oleh latihan berterusan! Ingat kata pepatah pujangga:

“Untuk mengenal kebaikan seribu tahun tidak cukup tetapi untuk mengenal kejahatan… satu hari sudah terlalu lama!” ¤

 

Muhammad Jihad

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 


 

 

Kembali ke atas