Menu

 

A+ A A-

KESALAHAN DALAM PEMBACAAN AL-QURAN

Kesalahan Nyata dan Kesalahan Halus

Apa hukum membaca al-Quran secara salah? Mohon ustaz bincangkan tentang kesalahan-kesalahan dalam pembacaan al-Quran.

Kesalahan dalam pembacaan al-Quran dalam bahasa arabnya disebut sebagai al-lahn. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1. Al-Lahn al-Jaliy: kesalahan nyata iaitu kesalahan-kesalahan yang jelas pada perkataan dari segi bacaan, sebutan, serta kaedah nahu bahasa Arab sama ada ia membawa kepada kecacatan maksud ataupun tidak. Kesalahan ini adalah haram hukumnya jika disengajakan dan dimaafkan bagi mereka yang tidak sengaja ataupun terlupa. Untuk memudahkan kefahaman, sila rujuk jadual ini:

kesalahan-pembacaan-alquran-2

2. Al-Lahn al-Khafiy: Kesalahan halus iaitu kesalahan yang hanya diketahui oleh pakar dalam bidang ilmu al-Quran. Kesalahan ini berlaku pada sebutan yang menyalahi hukum-hakum tajwid tetapi tidak mencacatkan maksud, tatabahasa dan makna dalam bahasa Arab.

kesalahan-pembacaan-alquran-1

Contoh kesalahan:

a. Mendengungkan bacaan pada tempat yang hukum bacaannya secara izhar dan sebagainya.

b. Menipiskan sebutan huruf ra’ pada tempat yang sepatutnya ditebalkan dan sebaliknya.

c. Memanjang dan memendekkan sebutan pada bukan tempatnya.

Al-Syeikh al-Birkawiy dalam kitab Syarh al-Dur al-Yatim menyatakan bahawa hukum kesalahan halus ini adalah haram dan tetap berdosa sebagaimana kesalahan nyata. Hujahnya, sekalipun tidak mengubah makna, ia tetap menyalahi sebutan yang boleh membawa kepada hilangnya ciri-ciri kemukjizatan serta keistimewaan al-Quran itu sendiri.

 

Kategori Huruf Hijaiyah

Minta penjelasan ustaz berhubung huruf-huruf yang dianggap sebagai huruf-huruf hijaiyah serta pembahagiannya.

Huruf-huruf hijaiyah terbahagi kepada dua kategori iaitu:

1. Huruf hijaiyah asli iaitu kesemuanya 29 huruf seperti yang kita telah maklumi. Huruf-huruf tersebut ialah:

kesalahan-pembacaan-alquran-3

2. Huruf hijaiyah pecahan iaitu huruf yang keluar daripada dua makhraj huruf hijaiyah yang asli.

Terdapat tujuh huruf kesemuanya iaitu:

1. Huruf hamzah hamzah yang ditashilkan. Ia berlaku apabila terdapat dua huruf hamzah yang sama baris. Bacaan tashil antara sebutan hamzah dengan alif jika kedua-dua huruf hamzah berbaris di atas, antara sebutan hamzah dan ya’ jika kedua-dua huruf hamzah berbaris di bawah dan antara sebutan hamzah dan wau jika sekiranya kedua-dua huruf hamzah berbaris depan. Ketiga-tiga bahagian tashil ini ialah salah satu bahagian daripada huruf hamzah asal.

2. Huruf sad sad yang di ishmamkan. Ia berlaku hasil daripada sebutan antara huruf sad dan huruf zaiy. Bacaan ini adalah daripada qiraat Imam Hamzah yang membaca dengan ishmam pada perkataan sirato dan asdaq. Ishmam ini juga adalah salah satu bahagian daripada huruf shad dan zal asal.

3. Huruf ya’ ya yang diishmamkan. Ia berlaku hasil daripada seolah-olah sebutan huruf wau. Bacaan ini adalah daripada qiraat Imam al-Kisa’i yang membaca dengan ishmam pada perkataan qil dan ngidha. Ishmam ini juga adalah sebahagian daripada baris yang asal.

4. Huruf alif yang diimalahkan. Bacaan ini ialah sebutan huruf alif yang hampir kepada sebutan huruf ya’. Imalah ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

a. Imalah kubra iaitu bacaan imalah yang hakiki yang hampir kepada sebutan huruf ya’ seperti yang terdapat dalam bacaan qiraat Imam Hamzah dan Imam Abu ‘Amr.

b. Imalah shugra iaitu bacaan taqlil yang hampir kepada sebutan huruf alif seperti yang terdapat dalam bacaan riwayat Warsy.

Kedua-dua istilah imalah ini juga adalah sebahagian daripada huruf alif yang asal.

5. Huruf alif yang ditebalkan sebutannya kerana mengikuti huruf yang ditebalkan sebelumnya. Ianya berlaku pada dua tempat iaitu:

a Huruf alif dalam perkataan “Allah”.

b. Huruf alif yang berada selepas huruf lam yang ditebalkan sebutannya oleh bacaan riwayat Warsy seperti perkataan assolatu dan bizzalimin.

6. Huruf lam yang ditebalkan sebutannya. Ianya berlaku pada dua keadaan:

a. Pada perkataan “Allah” selepas setiap huruf yang berbaris di atas ataupun depan.

b. Pada setiap perkataan yang dibaca tebal oleh riwayat Warsy seperti perkataan zolamamatlai dan yaslaunaha.

Kedua-dua bahagian ini juga adalah sebahagian daripada bahagian huruf-huruf yang dinipiskan bacaannya.

7. Bahagian yang berkaitan dengan hukum nun mati dan tanwin dari segi ikhfa’ ataupun idgham bighunnah. Ini kerana kedua-dua bahagian ini sebahagian daripada hukum izhar.

Ustaz Mohd Adib Hasan Saari

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas