Menu

 

A+ A A-

TAFSIR SURAH AL-NASR – PERINGATAN AGAR TERUS MENGEKALKAN KEMENANGAN

Firman Allah s.w.t.:

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada- Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (Surah al-Nasr; ayat 1-3)

Menurut al-Wahidi dalam Asbab al-Nuzul, menerusi sebuah riwayat dari Ikrimah dari Ibn Abbas r.a. surah ini diturunkan ketika Nabi s.a.w. dalam perjalanan pulang dari peperangan Hunain. Peperangan ini berlaku dalam bulan Syawal tahun ke-8 Hijrah, iaitu selepas pembukaan kota Makkah, yang menyaksikan keislaman sebahagian besar bangsa Arab. Menurut al-Qurtubiy dalam al-Jamik Li Ahkam al-Quran, surah ini disepakati secara ijmak oleh seluruh ulama sebagai sebuah surah Madaniyyah. Surah ini mempunyai beberapa nama yang lain seperti al-Tawdi’ yang bermaksud selamat tinggal dan dikenali juga sebagai surah Izajaa anasrullah wal Fath, mengambil sempena ayat yang pertama.

Mengkaji mengapa dinamakan al-Tawdi’, terdapat sebuah riwayat yang menarik dalam Sahih Tafsir Ibn Kathir, bahawa Umar al-Khattab r.a. pernah membawa Abdullah bin Abbas r.a., seorang sahabat Rasulullah yang masih muda, memasuki majlis bersama para sahabat lain yang sudah berusia, untuk bermuzakarah mengenai ayat-ayat dari surah al-Nasr ini.

Umar bertanya, “Apakah pandangan kamu semua tentang surah ini?” Jawapan sebahagian mereka: “Kita disuruh memuji, beristighfar apabila Allah mengurniakan kemenangan buat kita nanti.” Umar lantas melanjutkan soalan itu kepada Abdullah bin Abbas r.a.

Jawapan Abdullah jelaslah di luar jangkaan, apabila beliau mengatakan: “Surah ini memaklumkan kepada kita tentang ajal Rasulullah s.a.w.” Lalu Umar menyokong pandangan Ibn Abbas itu. Riwayat ini sahih, dibawa oleh al-Bukhari dalam Sahihnya.

Berkaitan nama asalnya iaitu al-Nasr, Al-Qurtubi seorang mufassir yang cukup pakar dalam ilmu nahu dan saraf bahasa Arab, menjelaskan perkataan ini digunakan pada peringkat permulaannya kepada peranan air hujan yang menghidupkan tanah untuk menjadi subur, kemudian melalui peredaran masa, ia melalui perkembangan hinggalah digunakan, untuk menggambarkan pertolongan atau bantuan (al-Aun) yang berlaku dari satu pihak terhadap yang lain.

Pembukaan Kota Makkah

nabiMenurut Imam Muslim dalam sahihnya, semua ulama bersepakat mengatakan bahawa al-Fath yang dimaksudkan dalam ayat yang pertama adalah pembukaan kota Makkah. Pembukaan kota Makkah adalah suatu asas penting penerimaan kabilah-kabilah Arab di semenanjung Arab terhadap Islam kerana mereka semua mengatakan: “Jika Muhammad s.a.w. berjaya menakluki bumi yang menjadi asal kedatangannya, maka tidak syak lagi beliau ini memang seorang nabi.”

Maka apabila Nabi s.a.w. bersama para sahabat berjaya membuka kota Makkah, maka banyaklah kabilah Arab di jazirah memeluk Islam, dalam tempoh kurang dari dua tahun. Semuanya menjadi penyokong kuat terhadap Nabi s.a.w. dan Islam itu sendiri.

Jadi, kesimpulan yang dapat kita buat apabila mengaji idea para pentafsir al-Quran ialah, surah ini memberitahu kaum Muslimin tentang berita kemenangan yang akan dinikmati oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat, hingga menyebabkan masyarakat Arab secara khususnya akan memasuki Islam secara beramai-ramai.

Tujuannya juga yang tersirat di sebalik yang tersurat itu seerti yang dihuraikan oleh Habrul Ummah, Ibn Abbas adalah dekatnya ajal Nabi s.a.w. Ini disebabkan misi perutusan baginda sudah pun sempurna dengan berlakunya pembukaan kota Makkah dan keislaman manusia secara beramai-ramai. Seruan dalam ayat ketiga mengingatkan Nabi s.a.w. agar membuat persiapan untuk perjalanan kedua kehidupan pula, iaitu persiapan menghadapi kematian.

Maksud “Fasabbih” menurut al-Qurtubiy dari Ibn Abbas adalah banyakkan solat, manakala “bihamdi rabbika” bermaksud memuji Allah di atas nikmat yang diberikan oleh-Nya berupa kemenangan dan pembukaan Kota Makkah. ”Wastaghfrhu” pula bermaksud mintalah kepada-Nya keampunan. Keampunan yang dimakudkan buat insan yang maksum seperti Nabi adalah ketinggian darjat, dan untuk orang awam adalah keampunan daripada dosa-dosa.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh semua pemilik kitab hadis, dengan lafaz dari al-Bukhari dari Aisyah r.a. sebaik sahaja surah ini diturunkan, maka Nabi s.a.w. sentiasa memperbanyakkan ucapan “Subhanaka Rabbana allahummagh fi rli” dalam rukuk dan sujud baginda.

Hakikatnya tasbih dan tahmid sudah biasa diamalkan sebelum itu lagi. Cuma dalam konteks turunnya surah ini, ia lebih kepada peringatan mempertingkatkan persediaan menghadapi mati.

Jangan Tertipu dengan Nikmat Kemenangan

Manusia lazimnya berasa gembira atas suatu anugerah apatah lagi apabila perjuangan yang diusahakan melebihi tempoh puluhan tahun akhirnya berhasil. Maka boleh jadi akan timbul rasa bangga atas penguasaan itu. Maka turunnya surah ini adalah suatu ingatan mesra dari Pembimbingmu iaitu Allah yang telah merezekikan kemenangan itu, agar Nabi sentiasa mengingati-Nya dan yang lebih utama lagi adalah pertemuan dengan-Nya (kematian).

Antara pengajaran yang dapat dipetik dari surah yang ringkas ini adalah:

Kemenangan sebenarnya adalah suatu anugerah dari Allah semata-mata. Kemenangan ke atas musuh selalu difi kirkan manusia berbentuk penaklukan wilayah atau negara. Sebenarnya kemasukan orang-orang kafir menjadi Muslim juga merupakan suatu kemenagan yang tidak kurang hebatnya.

Allah memerintahkan umat Islam agar memperbanyakan tasbih, tahmid dan istighfar atas nikmat yang dikurniakan. Hakikatnya manusia memang tidak akan mampu mengagungkan-Nya sesuai dengan kebesaran-Nya. Namun mereka tetap dituntut melakukannya.

Manusia jangan mudah terpedaya dengan kemenangan zahir yang diperolehinya. Bukan sedikit manusia yang tertipu dengan nikmat kemenangan hingga akhirnya mereka menjadi umat yang lemah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahamd dalam Musnadnya, terdapat sebuah kisah bahawa Abu Ammar telah memberitahu bahawa jiran kepada Jabir telah menemui Jabir r.a. untuk bertanya tentang pertelingkahan yang berlaku sesama Muslim. Jawab Jabir, sambil menjelaskan ayat yang terakhir dari surah ini, “Sebagaimana manusia memasuki Islam secara berbondong-bondong maka mereka juga akan keluar Islam berbondong-bondong.”

Oleh Ustaz HJ Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas