Menu

 

A+ A A-

KADAR TEMPO BACAAN AL-QURAN

SAYA pernah mendengar seorang anak muda yang membaca al-Quran dengan begitu laju sekali. Rupanya dia seorang pelajar tahfiz. Cuma saya inginkan kepastian sama ada dibolehkan kita membaca al-Quran secara laju atau tidak.

Jawapan:

RINGKASNYA: Boleh, jika menepati caranya.

HURAIAN: Terdapat tiga cara membaca al-Quran yang dibincangkan dalam ilmu tajwid:

kadar-tempo-baca-alquran-2

1. Tahqiq

Pembacaan yang menepati kehendak dalam penekanan huruf-huruf al-Quran serta sebutan yang jelas dalam menyampaikan hak-hak huruf seperti tebal atau nipis dan lain-lain. Bacaan ini terhasil sekiranya seseorang qari itu membaca dengan bacaan yang lambat dan tenang. Cara ini biasanya berlaku dalam proses pembelajaran ilmu al-Quran agar pembacanya dapat menghayati setiap ayat yang dibaca. Bacaan al-Quran secara berlagu (taranum) juga dikira sebagai bacaan tahqiq.

2. Hadr

Pembacaan yang cepat dan pantas, namun tetap menjaga serta memelihara hukum-hukum tajwid. Pembacaan ini biasanya dilakukan dalam solat tarawih atau halakah tadarus al-Quran. Perlu diingatkan bahawa bukan sembarangan pembacaan laju dikira pembacaan secara hadr. Ada satu kisah, seorang lelaki datang berjumpa dengan Imam Nafi‘ (seorang imam qiraat yang terkenal). Beliau mendakwa bahawa bacaan al-Quran beliau adalah secara hadr. Lalu Imam Nafi‘ meminta lelaki memperdengarkan bacaannya. Setelah selesai, Imam Nafi‘ pun menyatakan bahawa bacaan hadr yang sebenar ialah baris setiap huruf mestilah tepat, tidak mentasydidkan perkataan yang tidak bertasydid serta sebaliknya dan tidak memendekkan bacaan yang panjang dan sebaliknya kerana bacaan kita ialah bacaan para sahabat Rasulullah yang agung.

3. Tadwir

Pembacaan sederhana antara tahqiq dan juga hadr. Cara ini biasanya dilakukan dalam solat kerana kesederhaannya yang tidak terlalu lambat ataupun terlalu cepat.

kadar-tempo-baca-alquran-1

Mempelajari Pelbagai Qiraat

Saya baru mengetahui bahawa ada cara membaca al-Quran yang berbeza-beza (qiraat). Saya juga baru tahu bahawa qiraat di Malaysia ialah qiraat riwayat Hafs. Bolehkah saya membaca al-Quran dengan qiraat lain?

Jawapan:

RINGKASNYA: Boleh, jika menepati caranya.

HURAIAN: Terdapat beberapa syarat untuk membaca al-Quran dengan qiraat lain sebagaimana berikut:

1. Hendaklah berguru dengan mereka yang ahli dan pakar dalam bidang ilmu qiraat. Mereka biasanya digelar al-hafiz dan muqri’. Kebanyakannya merupakan tenaga pengajar di maahad tahfiz.

2. Belajar dengan cara talaqqi mushafahah. Ini kerana penerimaan al-Quran itu sendiri perlu dibaca secara berhadapan dengan guru yang alim lagi faqih dalam ilmu al-Quran. Relevannya ialah talaqqi mushafahah adalah satu sanad yang mutawatir yang diterima secara langsung daripada setiap individu yang melalui proses pengambilan daripada Rasulullah dengan perantaraan Jibrail seterusnya daripada Allah s.w.t.

3. Memahami bahasa Arab dengan baik. Hal ini disebabkan buku rujukan untuk memahami ilmu ini amat sedikit ditulis dalam bahasa Melayu. Sementelah buku matan qiraat yang masyhur iaitu Hirz al-Amani wa Wajh al-Tahani karangan Imam al-Syatibi rhm. dan juga kitab Tayyibah al-Nashr karangan Imam Ibn al-Jazari adalah dalam bahasa Arab dan perlu dihafaz setiap formula dan rumuz yang digunakan untuk mengenali manhaj bacaan setiap imam dan para perawi serta riwayat bacaan mereka.

4. Sebaik-baiknya telah menghafaz al-Quran. Ini untuk mudah mengingati tempat-tempat khilaf (perbezaan) bacaan setiap imam dan perawi mereka. Adalah lebih baik lagi jika telah hadam dan cukup memahami tajwid riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim. Ini disebabkan setiap riwayat bacaan dan juga imam-imam qiraat mempunyai kaedah tajwid masing-masing yang berbeza mengikut bacaan qiraat mereka.

5. Mempunyai minat yang mendalam untuk mempelajari ilmu qiraat. Bagi mereka yang sekadar ingin mengetahui secara umum sahaja, anda dinasihatkan untuk meneruskan minat tersebut untuk mendalaminya kerana tidak wujud bacaan al-Quran kecuali dengan adanya ilmu qiraat. Al-Quran ialah qiraat, qiraat ialah al-Quran.

Mohd Adib Hassan Saari
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas