Menu

 

A+ A A-

AYAT ALQURAN TELAH DIEDIT

PERNAHKAH kita terfikir bahawa al-quran yang tersusun begitu indah dan rapi ini telah diedit sebaik mungkin oleh para sahabat yang amat thiqah dalam ilmu al-quran?

Siapakah mereka? Adakah hanya empat orang barisan Khulafa al-Rasyidin sahaja? siapakah yang digelar sebagai “ketua editor” dalam penyusunan al-Quran ini?

istilah editor dalam penulisan serta penyusunan al-Quran ini bukanlah merujuk kepada suntingan yang dilakukan dalam sesebuah majalah ataupun buku. Bahkan istilah mengedit al-Quran ini suatu perkara yang dilakukan oleh para sahabat semata-mata untuk mempertahankan sunnah Baginda Nabi Muhammad s.a.w., serta mengekalkan mukjizat yang agung daripada Allah s.w.t.

Siapa di Sebalik Tabir Pengumpulan al-Quran?

Terdapat beberapa orang sahabat yang amat kuat ingatannya dan yang hebat kemampuan mereka dalam membaca serta menulis ayat-ayat suci al-Quran ini. Mereka adalah Zaid bin Thabit, ubay bin Ka‘ab, Mu‘az bin Jabal, Abu al-Darda’, sa‘d bin al-‘As, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Mas‘ud serta Abdul Rahman bin al-Harith.

Hal ini selaras dengan hadis Baginda Rasul s.a.w. riwayat daripada Qatadah, maksudnya: “Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a.: ‘siapakah para pengumpul al-Quran pada zaman Rasullah s.a.w.?’ Lalu beliau menjawab: ‘Empat orang yang terdiri daripada kalangan orang Ansar iaitu ubay bin Ka‘ab, Mu‘az bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.”

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang bermaksud: “setelah wafatnya Baginda Nabi Muhammad s.a.w., maka tidak terdapat seorang pun yang mengumpulkan al-Quran kecuali empat orang, iaitu Abu al-Darda’, Mu‘az bin Jabal, Zaid bin Th abit dan Abu Zaid.”

Maksud Mengumpul atau Pengumpulan al-Quran

1. Membaca al-quran secara talaqqi musyafahah tanpa perantaraan sahabat yang lain.

Mereka juga terkenal daripada sahabat-sahabat yang lain kerana sentiasa berdampingan bersama dengan Rasulullah s.a.w. serta banyak meriwayatkan hadis daripada Baginda.

2. Menulis serta menghafaznya sekali gus.

Kebanyakan sahabat tidak dapat menulis al-Quran dan sekadar menghafaznya sahaja. Terdapat dalam kalangan sahabat yang menghafaz al-Quran secara keseluruhan, secara separuh dan juga sebahagian surah tertentu sahaja.

3. Mendengar serta mentaati dan beramal dengan keseluruhannya isi kandungan AL-quran.

Hujah ini boleh dilihat dalam Kitab Fath al-Bari karangan al-imam ibn Hajar al-Asqalani.

Sahabat Pertama dan Utama

Sayidina Abu Bakar r.a. adalah sahabat yang pertama sekali menghafaz al-Quran secara langsung dengan Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Bacaan beliau menusuk kalbu dan menarik minat para pendengar terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak Quraisy.

Berikut merupakan hujah fakta ini berdasarkan hadis:

1 Sayidina Abu Bakar r.a. diminta untuk menjadi imam sedangkan Nabi Muhammad berada dalam kalangan Bani ‘Auf. Beliau lalu mengimamkan solat dan Baginda pun memasuki saf pertama. Apabila sahabat memberitahu kedatangan Nabi Muhammad dengan cara menepuk tangan, Abu Bakar berpaling dan memberi laluan kepada Baginda untuk menjadi imam.

2. Para sahabat melantik sayidina Abu Bakar r.a. untuk menjadi imam ketika Baginda sedang gering, terutamanya pada hampirnya kewafatan Baginda pada waktu subuh pada pagi hari isnin. Baginda mengisyaratkan kepada sayidina Abu Bakar untuk meneruskan solat tersebut tanpa menghiraukan Baginda.

Kedua-dua hadis di atas merupakan satu fakta terbesar dalam lipatan sejarah islam yang menunjukkan bahawa sayidina Abu Bakar r.a. adalah sahabat yang utama dan pertama dalam penerimaan kalamullah ini. Kuatnya keyakinan para sahabat kepada sayidina Abu Bakar r.a. berdasarkan satu hadis Baginda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu: “Orang yang layak menjadi imam kepada kaumnya ialah orang yang amat mengetahui al-Quran sama ada dari segi hafazan dan juga kefahamannya.” singkaplah pula firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ahzab, ayat 23 yang bermaksud: “Antara orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan ada antaranya yang menunggu giliran, dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “ORANG YANG LAYAK MENJADI IMAM KEPADA KAUMNYA IALAH ORANG YANG AMAT MENGETAHUI AL-QURAN SAMA ADA DARI SEGI HAFAZAN DAN JUGA KEFAHAMANNYA.”

 

Ust Mohd Adib Hassan Sa’ari.

Sumber artikel daripada majalah Gen Q 7

 


 

Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas