Menu

 

A+ A A-

BERATKAN TIMBANGAN AMAL KEBAIKAN

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qari’ah ayat 1 – 11 yang bermaksud: “Hari yang menggemparkan. Apakah dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (Hari itu ialah hari kiamat)
hari manusia menjadi seperti kelekatu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.

Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing) adapun orang yang berat timbangan amal baiknya. Maka dia berada dalam kehidupan yang senang-lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal kebaikannya. Maka tempat kembalinya ialah “hawiyah”. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “hawiyah” itu? (Hawiyah itu ialah) api yang panas membakar.”

Surah ini merupakan surah Makkiyah. Namanya diambil daripada perkataan al-Qari’ah yang bermaksud ketukan yang amat keras. Namun begitu, ia digunakan untuk maksud yang lebih luas iaitu merujuk kepada hari kiamat. Keseluruhan firman Allah dalam surah ini menjelaskan tentang hari kiamat. ia merangkumi gambaran fenomena kedahsyatan hari kiamat yang diingkari oleh golongan Musyrikin. Manusia yang selama di dunia ini dimuliakan akan berada dalam keadaan tidak dihargai sehingga ditiup berterbangan bagaikan kelekatu yang melayang-layang yang tidak dapat dikawal oleh  sesiapapun melainkan Allah s.w.t.

Gunung-ganang yang selama ini kukuh akan menjadi seperti bulu yang berterbangan ke sana sini bagaikan batu kerikil yang dilontar. Akhirnya nanti manusia akan dihimpunkan di hadapan Allah s.w.t. untuk dihisab dan menerima balasan atas segala tindak-tanduknya di dunia.

Apa yang memberatkan

Di hari akhirat kelak, manusia akan dihadapkan di mahkamah Allah s.w.t. untuk dikira amalannya di dunia melalui timbangan. Berbagai-bagai hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang timbangan ini antaranya adalah sebuah riwayat daripada ibn al-Mubarak daripada salman al-Farisi dalam al-Zuhd katanya: Diletakkan timbangan pada hari kiamat. Andai langit dan bumi diletakkan di atasnya nescaya ia cukup luas untuk keduanya. Para malaikat bertanya:

‘Wahai Tuhan, untuk siapa timbangan ini?’ Allah menjawab: ‘untuk makhluk yang Aku kehendaki.’ Para malaikat berkata: ‘Maha suci Engkau, kami belum menyembah-Mu dengan sebenar-benar ibadah.’”

Kesimpulan daripada pelbagai ayat dan hadis yang bercerita tentang timbangan ini, memberika gambaran bahawa timbangan ialah suatu alat yang akan dibawa ke hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat nanti, kemudian digunakan untuk menimbang secara amat teliti sekecil apa pun perbuatan baik atau buruk yang dilakukan seseorang. Alat ini memiliki dua bahagian; satu bahagian untuk diletakkan amal kebaikan dan bahagian lain untuk diletakkan keburukan. Mana-mana bahagian yang lebih berat, maka itulah yang akan menentukan nasib seseorang itu.

Allah Maha Mengasihani

Di akhir surah ini, Allah datangkan kesedaran betapa bahayanya api neraka. Allah menghendaki daripada manusia agar faham bahawa tiada bahaya yang lebih memudaratkan berbanding kesengsaraan menjadi ahli dan penghuni neraka. semoga Allah s.w.t. dengan kasih sayang-Nya melindungi dan menyelamatkan kita daripada kemurkaan-Nya. Berusahalah menyelamatkan dan menjauhkan diri dan ahli keluarga daripada disentuh dan dijamah api neraka. Allah berfi rman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.” (surah al-Tahrim 66: 6)

Wallahuaklam.¤.

Ustaz Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 8

 


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas