Menu

 

A+ A A-

FENOMENA TAKUT HANTU

Masyarakat kita sangat gemar dengan cerita-cerita hantu. Apa sebenarnya yang digambarkan oleh orang Melayu mengenai hantu?

Jawapan : Mungkin kita perlu bertanya dahulu adakah hantu itu wujud? Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa apabila roh seseorang tidak tenteram, maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu kehidupan manusia yang masih hidup? Hantu dalam masyarakat Melayu sering kali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan.

Sesetengah orang Melayu mengatakan bahawa hantu itu berasal daripada roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan sesuatu hajat yang belum selesai seperti untuk membalas dendam ke atas orang yang masih hidup. Antara jenis hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia ialah hantu puntianak, hantu kubur, pocong, langsuir dan lain-lain. Ada sesetengah orang Melayu menggunakan istilah “roh kembali” terhadap beberapa fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat sehingga ada sesetengah produser drama dan filem pula menjadikannya sebagai modal untuk melariskan filem dan drama mereka.

Apakah pandangan Islam tentang hantu yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu? Adakah benar hantu ada kaitan dengan roh manusia yang telah meninggal dunia?

Dalam Islam, hantu sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu itu sama sekali tidak wujud. Melalui perkhabaran daripada al-Qur’an dan sunnah, didapati apa yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena mengena langsung dengan roh orang mati, sebaliknya ia adalah iblis, jin dan syaitan. Malah, mempercayai kewujudan iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas di dalam al-Qur’an dan sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada Allah, Kitab dan Rasul.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Begitu juga firman Allah s.w.t dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang menjelaskan tentang asal usul syaitan dan iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’; lalu mereka sujud melainkan Iblis. Ia adalah berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh sebab itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu.” Manakala firman Allah s.w.t dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitansyaitan itu teman rapat bagi orangorang yang tidak beriman”.

Bolehkah iblis, jin dan syaitan menyerupakan diri?

Walaupun, pada hakikatnya iblis, jin dan syaitan tidak boleh dilihat, tetapi dengan kelebihan tertentu, iblis, jin dan syaitan boleh menyerupakan diri dengan rupa tertentu termasuk bagi tujuan menakut-nakutkan manusia. Al-Qadhi Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: “Tidak ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk. Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan.

Jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan perbuatan-perbuatan tersebut Allah s.w.t akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Dikatakan: syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan membuat khayalan dengan maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika ia mengatakannya atau melakukannya, maka Allah akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku.

Adapun jika ia mengubah dirinya sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak bahagian-bahagiannya. Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan.” (Rujuk Aakaam al-Marjaan, hlm. 19) Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah: “Sesungguhnya hantu pernah mereka sebutkan di sisi Umar al-Khattab. Maka beliau berkata: ‘Bahawasanya tidak ada yang mampu untuk merubah bentuk aslinya sebagaimana diciptakan Allah s.w.t mula-mula. Namun mereka mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang sihir yang ada di antara kalian. Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah azan pada mereka.” Al- Hafiz Ibn Hajar berkata: “Isnadnya sahih.” (Rujuk Fath al-Bari jil.6,hlm.344).

 

 

Mohd Aizam Mas‘od

 Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3


 

Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Kembali ke atas