Menu

 

A+ A A-

BELAJAR DARIPADA HAIWAN

SUATU hari itu, masa yang diperuntukkan bersama anak-anak dihabiskan di Zoo Negara. Sudah lama benar rasanya tidak mejejakkan kaki di tempat perhimpunan binatang ini. Sudah banyak kemajuan dan peningkatan bagi menjaga penempatan dan keselesaan haiwan-haiwan serta tumbuh-tumbuhan persekitaran yang juga ciptaan Allah s.w.t.

Daripada burung hingga monyet, singa hingga beruang, buaya hingga kuda, gajah hingga zirafah… semuanya kami perhatikan termasuk aktiviti dan kegiatan haiwan-haiwan tersebut yang dijaga rapi umpama raja dan permaisuri oleh pelatih juga penjaga masing-masing. Hampir lima jam kami menghabiskan masa di Zoo Negara.

Dalam perjalanan pulang, saya sempat mendapat ilham untuk dikongsi dengan anda tentang pemerhatian dan juga iktibar yang boleh kita ambil daripada haiwan-haiwan berkenaan. Tidak peliklah Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 164 yang bermaksud: “ Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keEsaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”

belajar-daripada-haiwan-1

Sebagai ciptaan terbaik Allah s.w.t., manusia adalah khalifah di muka bumi ini seharusnya dapat menilai dan mengambil sebanyak-banyaknya iktibar melalui pandangan yang ada di persekitaran, (haiwan misalnya) – daripada sekecil-kecil serangga seperti semut sehinggalah sebesar-besar haiwan seperti gajah. Ambil contoh mudah – kehadiran semut kebiasaanya membangkitkan kejengkelan atau kemarahan kita, tetapi sedarkah kita, serangga kecil seperti semut, lebah dan lalat disebut namanya di dalam kitab suci al-Quran.

Apa istimewanya serangga-serangga kecil ini sehingga tertulis namanya di dalam al-Quran? Ya! Karakter, perwatakan dan cara hidup serangga itu yang menyebabkan ia mendapat tempat di dalam al-Quran, seperti; sifat disiplin, bekerjasama, setia, bekerja keras, tidak cepat mengalah dan sebagainya. Malulah kita sebagai ciptaan yang terhebat yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. tetapi tidak mempunyai sifat-sifat dan karakter serangga yang sering kita perkecilkan. Maka ambillah iktibarnya.

Yang lebih menarik lagi, bukan sahaja serangga, malah banyak lagi binatang atau haiwan yang tercatat namanya di dalam al-Quran. Antaranya:

Ikan – Kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan nun.

Burung Gagak – dikirim Allah agar mengajar manusia cara mengebumikan mayat.

Gajah – Allah telah mengutus burung-burung untuk menghancurkan sebuah angkatan tentera bergajah.

Ular – Mengenai tongkat Nabi Musa yang menjadi ular apabila dia melemparnya.

Unta – Cara unta minum air apabila kehausan, menjadi misalan perbandingan kepada bunga  api daripada api neraka dan kepada penghuni-penghuninya yang minum air mendidih.

belajar-daripada-haiwan-2

Walaupun masih banyak haiwan yang tidak tercatat namanya di dalam al-Quran, namun masih banyak yang boleh kita pelajari daripada tindakan dan aktiviti mereka. Kucing yang penuh dengan kelembutan dan kemanjaan sentiasa membelai dengan menjilat-jilat anak yang dikasihinya. Ibu dan ayah penguin berkorban mencari makanan dalam kesejukan dengan meletakkan si kecil di atas kaki mereka dan menghangatkannya dengan perut mereka. Juga, pelbagai lagi kelakuan haiwan yang boleh kita lihat dan renungkan di sebalik perbuatan tersebut.

Maka… bagaimanakah sifat kemanusiaan kita ini di kala haiwan mampu menzahirkannya walaupun tanpa sebarang bicara? Jom kita semak sama-sama.


Zarita Hj Kasim
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Zarita Hj Kasim

Merupakan kolumnis di Telaga Biru untuk majalah Gen-Q serta Fellow PPLI di Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM). Pernah memegang jawatan sebagai pensyarah separuh masa (Media Elektronik) di IIUM serta produser dan DJ di IKIM fm.

 

Kembali ke atas