Menu

 

A+ A A-

SIAPA IBLIS SEBENARNYA?

Iblis ialah makhluk Allah yang derhaka dan berketurunan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah daripada jenis jin. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al- Kahfi ayat 50, bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’. Lalu mereka sujud melainkan iblis; ia berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti bagi orang yang zalim.”

Dari manakah diambil perkataan Iblis?

Menurut Ibnu Manzur dalam Lisanul Arab, perkataan iblis berasal daripada ablasa yang  bermaksud putus asa daripada rahmat Allah. Ibn ‘Abbas dan Qatadah menyatakan bahawa nama iblis dalam bahasa Ibrani ialah ‘azazil. Manakala dalam tafsir Ibn Kathir menyebut bahawa nama iblis dalam bahasa Arab ialah al-Harith. Dalam kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra disebut bahawa kunyah atau nama panggilan bagi iblis ialah Abu Murrah.

Berapa kalikah disebut perkataan Iblis dalam al-Quran?

Perkataan “iblis” telah disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali. Manakala kisah Adam a.s. bersama iblis pula disebut oleh Allah s.w.t. sebanyak tujuh tempat dalam al-Quran al-Karim. Surah-surah yang mengandungi kisah-kisah tersebut ialah; Surah al-Baqarah, al-A‘raf, al-Hijr, al-Isra’, al-Kahfi, Taha dan Sad.

iblis

Benarkah Iblis diperintahkan sujud mengabdikan kepada Adam dan kenapa Iblis diusir dari syurga?

Dalam surah al-Baqarah ayat 34, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.’ Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.”

Dalam ayat ini, Allah s.w.t. telah menceritakan bermulanya kesesatan iblis dengan keengganannya menurut perintah Allah iaitu sujud kepada Adam. Sujud yang dimaksudkan di sini ialah sujud sebagai tanda kemuliaan bukan sujud sebagai pengabdian. Iblis mengungkit asal kejadiannya daripada api yang kononnya lebih mulia daripada asal  kejadian Adam a.s. iaitu tanah. Api mampu melonjak tinggi dan bercahaya lebih mulia daripada tanah yang bersifat pasif pada sudut pandangan iblis.

Inilah analogi (qiyas) yang telah dilakukan oleh iblis menurut pemikirannya. Malangnya  analogi tersebut adalah salah. Dalam al-Tafsir al-Munir karangan Syeikh Wahbah al-Zuhayli disebut bahawa kebaikan tidak boleh dinilai berdasarkan unsur-unsur material sebaliknya ia dinilai berdasarkan unsur-unsur maknawi yang lebih berfaedah iaitu ilmu dan pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada Adam a.s. Akibat  kesombongan dan kesesatan iblis, Allah telah mengusirnya dari syurga yang penuh dengan kemuliaan dan kebahagiaan. Namun, iblis telah memohon supaya dia diberi tempoh hayat sehingga berlaku kiamat  kerana mahu menyesatkan manusia.

iblis1

Mengapakah iblis bersifat bongkak?

Menurut al-Suyuti dalam al-Dur al-Manthur, pada suatu ketika, Allah s.w.t. telah memerintahkan jin yang bernama iblis untuk mengetuai para malaikat untuk memerangi  para jin yang melakukan kerosakan di bumi. Lalu, mereka berjaya diusir ke pulau-pulau dan bukit bukau. Iblis berasa bangga dan bongkak atas kejayaannya itu. Namun,  kebongkakannya itu tidak disedari oleh para malaikat. Justeru, punca yang menghalangi iblis itu untuk sujud kepada Adam tidak lain adalah sifat bongkak, sombong dan riak. Dia merasa dirinya jauh lebih baik daripada Adam. Allah berfirman dalam surah al-A‘raf ayat 12 bermaksud: “Allah berfirman: ‘Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahkanmu?’ Iblis menjawab: ‘Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku daripada api sedang dia, Engkau jadikan daripada tanah.’”

Seterusnya iblis dengan angkuhnya mengisytiharkan permusuhan yang abadi dengan manusia. Allah berfirman dalam surah Sad ayat 82-83 bermaksud: “Iblis berkata: ‘Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu antara zuriat-zuriat Adam itu  yang dibersihkan daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan.’”

iblis2

Benarkah sampai sekarang iblis tidak mati-mati?

Allah memberikan keizinan kepada iblis untuk mempunyai usia yang panjang. Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa ciri yang paling utama daripada iblis ialah dia kekal hidup hingga ke hari kiamat. Dan penangguhan usianya itu memang telah diberikan oleh Allah s.w.t. Dalam surah Sad ayat 79-81, Allah s.w.t. menyatakan yang bermaksud: “Iblis  berkata: ‘Wahai Tuhanku! Jika demikian,  Berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).’ Allah berfirman: ‘Dengan permohonanmu itu, maka  sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh hingga pada hari masa yang termaklum.” Begitu juga dalam surah al-A‘raf ayat 14- 15, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Iblis berkata: ‘Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).’ Allah berfirman: ‘Sesungguhnya, engkau daripada golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).’”

Dr. Mohd Sukki Othman
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.1


Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas