Menu

 

A+ A A-

SURAH EKSKLUSIF UNTUK MUHAMMAD S.A.W

Kenapa dinamakan surah yang pertama dalam al-Quran dengan nama Surah al-Fatihah?

Surah ini dinamakan dengan Surah al-Fatihah ialah kerana ia surah yang pertama ditulis di dalam al-Qur’an dan ia juga surah yang mengawali setiap sembahyang. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, Jil 1, De Abdullah Bin Muhammad Bin Abdurrahman Bin Ishaq Alu Syaikh, Pustaka Imam asy-Syafie)

 

 

Adakah surah al-Fatihah yang mula-mula sekali diturunkan daripada ayat al-Quran?

Surah al-Fatihah adalah surah yang pertama diturunkan (nuzul) secara lengkap. Dalam erti kata lain, surah-surah sebelum ini diturunkan tetapi tidak lengkap seperti surah al-’Alaq, al-Muzammil, al-Muddaththir dan lain-lain. Ia juga merupakan surah yang pertama diturunkan di Makkah menurut pendapat sesetengah riwayat. (Tafsir Pedoman Muttaqin, Juz 1, Dr Abdul Hayei Bin Abdul Sukor)

Apakah nama lain bagi surah al-Fatihah?

Antara nama lain bagi Surah al-Fatihah ialah:-

1. Faatihah al-Kitab yang membawa maksud pembuka kitab atau pembuka al-Qur’an.
2. Al-Hamd yang membawa maksud puji-pujian.
3. Al-Sab’u al-Mathani yang membawa maksud tujuh ayat yang sentiasa diulangulang.
4. Al-Qur’an al-’Azim yang membawa maksud al-Qur’an yang agung.
5. Um al-Qur’an atau Um al-Kitab yang membawa maksud ibu atau induk al-Qur’an atau induk al-Kitab.
6. Al-Solat yang membawa maksud sembahyang.
7.  Al-Syifa’ yang membawa maksud penawar atau penyembuh.
8. Al-Ruqyah yang membawa maksud jampi atau doa (Rujuk Perbendaharaan al-Qur’an, Jil 1, MAIS dan KUIS)

al-fatihah 1


Apakah kelebihan surah al-fatihah?

Antara kelebihan-kelebihan Surah al-Faatihah ialah:

-    Surah al-Faatihah adalah surah yang paling agung dalam al-Qur’an. Kelebihan ini dinyatakan oleh hadis Nabi s.a.w yang bermaksud “Daripada Abu Said al- Mu’alla bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadanya, “Aku akan ajarkan kepadamu satu surah yang paling agung di dalam al-Qur’an sebelum kamu keluar daripada masjid ini.” Abu Said bin Mu’alla berkata, “Lalu Rasulullah s.a.w memegang tanganku, ketika baginda hendak keluar  dari masjid dan aku berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w, sesungguhnya engkau telah mengatakan bahawa aku akan ajarkan kepadamu satu surah yang paling agung dalam al-Qur’an?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Benar al fatihah  ia adalah al-Sab’u al-Mathani dan al- Qur’an al-’Azim yang telah dikurniakan kepadaku.”” (Riwayat al-Bukhari)

-    Surah al -Faatihah adalah satu surah yang diturunkan secara eksklusif untuk Nabi Muhammad s.a.w sahaja. Tidak pernah diturunkan satu surah seumpama surah al- Faatihah ini di dalam kitab Taurat, Injil, dan Zabur.

-    Surah al -Faatihah adalah sebaik-baik surah di dalam al-Qur’an.

-    Surah al -Faatihah adalah satu cahaya yang tidak pernah diberikan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w .

-    Surah al -Faatihah adalah menjadi rukun di dalam solat.

-    Surah al -Faatihah boleh menjadi penawar penyakit.

-    Surah al -Faatihah adalah 1/3 daripada al-Qur’an. (Rujuk Perbendaharaan Al-Qur’an, Jil 1, MAIS dan KUIS)

 

Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajit
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.1


Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas