Menu

 

A+ A A-

MENGAPA PERLU MEMBACA AL-QURAN DENGAN BERTAJWID?

BOLEHKAH diterangkan mengapa perlunya membaca al-Quran dengan bertajwid. Apakah kepentingannya dalam kehidupan seharian kita?

Abdullah bin Mas‘ud r.a. adalah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang merdu suaranya serta pakar dalam bidang tajwid dan selok-belok al-Quran. Beliau juga seorang yang teliti dalam pembacaan al-Quran. Pengiktirafan ini telah disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang mahu membaca al-Quran bertepatan sepertimana ia diturunkan, hendaklah ia membaca sepertimana bacaan Ibn Ummi ‘Abd (Ibn Mas‘ud).”

Kesan daripada bacaan al-Quran yang mantap ini akan menjadikan jiwa serta nurani pembaca serta pendengar khusyuk dan tawaduk untuk memahami maksud yang tersurat mahupun yang tersirat dalam merungkaikan mukjizat al-Quran. Terdapat tiga kategori khas yang telah disusun oleh ulama tajwid dalam pembacaan al-Quran iaitu:

1 Tahqiq iaitu bacaan yang amat jelas sebutan hurufnya satu persatu sepertimana para ulama telah menetapkan dengan bacaan yang selaras dengan bacaan tartil.

2 Hadar iaitu bacaan yang laju serta cepat tetapi masih memelihara syarat-syarat bacaan yang sahih.

3 Tadwir iaitu bacaan yang tidak terlalu lambat ataupun cepat, antara tahqiq dan juga hadar.

Semua bacaan ini dianggap sah oleh para ahl al-ada’ iaitu mereka yang pakar dalam selok-belok pembacaan al-Quran ini, berdasarkan konsep talaqqi mushafahah dengan sheikh yang muqri’.

Sesungguhnya dalam pembacaan al-Quran yang sempurna, tajwid adalah salah satu daripada syiar Islam dan juga sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Memperbanyakkan bacaan al-Quran merupakan perkara yang amat disukai oleh Allah s.w.t. kerana dapat menjadikan jiwa pembacanya hidup dan hatinya bercahaya dengan panduan dan juga petunjuk.

membaca-quran-dengan-tajwid-2

Hal ini jelas sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang bermaksud: “Janganlah kamu berhasad kecuali dalam dua perkara iaitu seseorang yang dikurniakan Allah s.w.t. harta, lalu dia membelanjakan harta tersebut di jalan Allah s.w.t. pada waktu malam mahupun siang. Dan juga seseorang yang diberikan Allah s.w.t. ilmu al-Quran, lalu dia menghidupkan bacaan tersebut pada waktu malam mahupun siang.”

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas‘ud yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, akan dibalas dengan satu kebaikan, dan satu kebaikan itu digandakan 10 kali ganda sepertinya.”

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah yang bermaksud: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat kepada setiap pembacanya.”

Bolehkah diperincikan pengenalan imam-imam qiraat dan para perawi mereka? Adakah kesemua qiraat itu datang secara mutawatir daripada Nabi Muhammad s.a.w

Jadual berikut menunjukkan pengenalan bagi imam-imam qiraat dan juga perawi mereka mengikut negara kemasyhuran bacaan qiraat masing-masing:

membaca-quran-dengan-tajwid-1

Berkata Imam Jalaluddin al-Suyuti mengatakan dalam kitab beliau al-Itqan bahawa imam yang pertama paling muktabar dalam menyusun ilmu qiraat ini ialah Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam. Selepas itu, ia dipelopori pula oleh Ahmad bin Jubayr al-Makki, Ismail bin Ishaq al-Maliki, Abu Ja‘far bin Jarir al-Tabari dan Abu Bakar bin Mujahid. Pendapat ini disokong oleh Imam Ibn al-Jazari rhm. dalam kitab beliau, al-Nashr.

Kesemua 10 qiraat yang disebut di atas adalah mutawatir daripada Nabi Muhammad s.a.w. Para ahl al-ada’ telah mengkategorikan bahawa qiraat terbahagi kepada enam bahagian iaitu:

1 Al-Mutawatir iaitu bacaan yang diambil oleh kebanyakan para qurra’ yang thiqah dari mula sehingga akhir bacaan. Inilah cara kaedah ambilan yang biasanya diambil oleh kebanyakan ahl al-ada’.

2 Al-Masyhur iaitu sanad ambilannya sahih, tetapi tidak mencapai tahap mutawatir. Menepati nahu bahasa Arab dan juga rasm. Bacaan ini masyhur dalam kalangan para qurra’ dan tidak dianggap sebagai kesalahan dalam bacaan. Qiraat masyhurah ini dibaca oleh kebanyakan qurra’ dan ahl al-ada’.

3 Al-Ahad iaitu sanad ambilannya sahih tetapi tidak menepati nahu bahasa Arab dan juga rasm. Bacaan ini juga tidak masyhur dalam kalangan para qurra’. Qiraat ahadiyah ini tidak dibaca oleh kebanyakan qurra’ dan ahl al-ada’.

4 Al-Shaz iaitu bacaan yang tidak sah sanad ambilan bacaannya.

5 Al-Maudu‘ iaitu bacaan yang tiada sumber ambilan bacaannya.

6 Al-Mudraj iaitu bacaan yang dibaca atas penambahan tafsiran ayat.

Empat bahagian yang terakhir ini tidak dibaca secara terbuka serta tidak disampaikan secara ilmiah kepada masyarakat umum bagi mengelakkan sebarang fitnah, kemusyhkilan serta keraguan dalam pembacaan al-Quran. Imam al-Nawawi rhm. dalam kitab beliau Sharah al-Muhazzab menyatakan bahawa selain daripada qiraat mutawatirah, tidak sah dibaca dalam solat mahupun di luar solat kerana ia tidak diiktiraf sebagai al-Quran.”

Wallahu a’lam.

Ustaz Mohd Adib Bin Hasan Saari

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2

 


 

Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas